Wednesday, July 9, 2008

Iktibar dari sebiji kacang hijau

Pohon beringin yang besar itu asalnya dari satu biji yang kecil dan burung yang besar terbang di udara itu asalnya dari sebutir telur¨

Orang yang tidak berbuat apa-apa boleh berkata apa-apa sahaja. Dia nampak orang berniaga kecil-kecilan, dia kata,Buat apalah berniaga tepi jalan, bila nak kaya?¨

Dia lihat orang berlatih sukan, dia kata, Setakat jaguh kampung bolehlah¨Dia terserempak dengan orang yang menulis buku, dia kata,Setakat buku picisan macam ni aku pun boleh buat¨

Hakikatnya dia tidak pernah berbuat apa-apa. Maka itu dia bebas berkata apa-apa sahaja. Jika dia berbuat perkara yang sama, dia akan berfikir banyak kali sebelum memberikan komen. Dia tahu jerih-perihnya untuk membina gerai di tepi jalan, berhadapan dengan cabaran pelanggan dan penguatkuasaan, komennya mungkin bukan bersikap komplen.

Jika dia pernah berlatih untuk memenangi sesuatu pertandingan sukan, dia akan tahu betapa pentingnya sesuatu kemenangan itu, biarpun tarafnya setakat jaguh kampung, ia tetap penting untuk kemenangan-kemenangan yang lebih besar. Dia tidak pernah memiliki kesungguhan seperti itu, maka dia bebas berkata apa-apa sahaja.

Kalau tahu sukar dan sulitnya menulis buku, dia tidak mudah memperlekeh karya orang lain. Sebaris ayat pun tidak pernah dihasilkannya, tentulah dia boleh berkata apa-apa sahaja.

Orang begini pastinya tidak akan ke mana-mana. Dia akan statik pada kedudukannya sebagai pemerhati dan pengkritik. Ramai sungguh orang yang menjadi penganalisa tidak bertauliah. Cakapnya pandai, hujahnya kadang-kadang bernas juga tetapi suatu apa pun tidak pernah terhasil olehnya.

Kena lihat setiap sesuatu yang besar itu bermula daripada sesuatu yang kecil. Setiap yang lahir terus gagah, biasanya tidak bertahan lama. Gedung perniagaan yang gagah di bandar raya asalnya satu perniagaan kecil. Kebanyakan orang kaya asalnya orang biasa. Pemimpin asalnya rakyat biasa. Seekor ayam asalnya sebutir telur. Seekor burung yang terbang tinggi di angkasa asalnya kecil, lemah dan tanpa sayap. Setiap hari ibu burung akan mencarikan makanan untuknya dan memasukkan makanan itu ke dalam mulutnya. Tiada seekor burung pun tiba-tiba lahir dan terus boleh terbang.

Orang yang tidak berbuat apa-apa memang boleh berkata apa-apa sahaja. Bercakap itu mudah maka itu ramai orang melakukannya. Apabila tiba masa untuk berbuat, selalu menyerah sebelum mencuba.

Istimewanya mereka hanya pada, Eleh, setakat macam tu, aku pun boleh¨ namun dia tidak pernah melakukannya.

Itulah pelik dan anehnya sesetengah manusia.

Jika tidak pernah memegang berus cat, mudah saja mengatakan kerja mengecat itu senang dan boleh dilakukan oleh semua orang. Setelah benar-benar mengecat baru tahu sakit dan letihnya.

Menonton perlawanan bola sepak selalu menjadi juara jerit tetapi apabila disuruh bermain ternyata kaki bangku. Menonton orang menyanyi memang mudah mengatakan itu ini, begitu begini, tetapi apabila disuruh menyanyi tidak pula boleh mengotakan apa yang dikata. Memang, orang yang tidak berbuat apa-apa boleh berkata apa-apa.

Doktor, tolong saya. Sebiji kacang hijau masuk ke telinga saya¨ kata seorang pesakit.

Wah, ini sukar sekali. Perlu teliti mengeluarkannya, kalau tidak dalaman telinga awak boleh cedera¨

Apa susahnya doktor, sebiji kacang hijau je¨

Kalau begitu, awak masukkan air ke telinga, tunggu hingga ia tumbuh menjadi taugeh, senanglah awak cabut¨

Orang yang tidak tahu apa-apa memang boleh berkata apa-apa sahaja

No comments: