Monday, November 16, 2009

Tetap akidah, muhasabah benteng harungi hidup

Muslim sejati akan sentiasa mengingati Pencipta sekalipun berdepan dengan cabaran


UNTUK berdepan cabaran hidup, kita perlu memiliki pegangan dan amalan iaitu istiqamah, istiqarah dan istighfar.

Istiqamah dapat ditakrifkan sebagai: "kukuh dalam akidah dan konsisten dalam beribadah". Pentingnya istiqamah ini dapat dilihat daripada sabda Nabi SAW yang bermaksud, dari Abi Sufyan bin Abdullah berkata, " Aku telah berkata, 'Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku pesan dalam Islam sehingga aku tidak perlu bertanya kepada orang lain selain engkau'. Nabi menjawab: "Katakanlah aku telah beriman kepada Allah kemudian beristiqamahlah'." (Hadis Riwayat Muslim).

Orang yang istiqamah selalu kukuh dalam akidah dan tidak goyang keimanan dalam menghadapi hidupnya. Walaupun ia dihadapkan dengan persoalan hidup, ibadatnya tidak ikut surut. Ia tetap memperhatikan haram halal walaupun sakunya kering atau tebal. Sujud pantang berhenti, sekalipun dicaci dipuji. Ia hidup dalam kenikmatan, namun tidak tergoda melakukan maksiat.

Orang seperti ini dipuji Allah SWT melalui firman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang mengatakan: 'Tuhan kami ialah Allah' kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan): 'Janganlah kamu rasa takut, dan janganlah kamu rasa sedih, dan bergembiralah dengan syurga yang dijanjikan Allah kepadamu'" ( Fusshilat: 30)

Istiqarah pula dapat didefinisikan sebagai, selalu mohon petunjuk Allah SWT dalam setiap langkah dan penuh pertimbangan dalam setiap keputusan.

Setiap orang mempunyai kebebasan untuk berbicara dan melakukan suatu perbuatan. Namun, menurut Islam, tidak ada kebebasan tanpa batas, dan batas itu adalah aturan agama. Maka seorang Muslim yang benar, selalu berfikir berkali-kali sebelum melakukan tindakan atau mengucapkan sebuah ucapan serta ia selalu mohon petunjuk kepada Allah SWT.

Nabi SAW bersabda, "Barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka berkatalah yang baik atau diamlah. (Hadis Al-Bukhari dan Muslim). Orang bijak selalu berkata, berfikirlah hari ini dan berbicaralah esok hari.

Kalau ucapan itu tidak baik apalagi sampai menyakitkan orang lain, maka tahanlah, jangan diucapkan, sekalipun menahan ucapan itu terasa sakit. Tapi kalau ucapan itu benar dan baik maka katakanlah, jangan ditahan sebab lidah kita menjadi lemas untuk meneriakkan kebenaran dan keadilan serta menegakkan amal makruf nahi mungkar.

Mengenai kebebasan ini, malaikat Jibril pernah datang kepada Muhammad SAW untuk memberikan rambu-rambu kehidupan. Baginda bersabda yang bermaksud, "Jibril datang kepadaku dan berkata: 'Hai Muhammad hiduplah sesukamu, tapi sesungguhnya engkau suatu saat akan mati. Cintailah apa yang engkau sukai tapi engkau suatu saat pasti berpisah juga dan lakukanlah apa yang engkau inginkan, sesungguhnya semua itu ada balasannya,'" (Hadis Baihaqi dari Jabir).

Sabda Nabi SAW ini semakin penting untuk diresapi ketika akhir-akhir ini dengan dalih kebebasan. Banyak orang berbicara tanpa logik dan data yang benar dan bertindak sesuka hati tanpa mengendahkan etika agama.

Kita memasyarakatkan istiqarah dalam segala langkah kita, agar kita benar-benar bertindak secara benar dan tidak menimbulkan kekecewaan pada kemudian hari.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak akan rugi orang yang beristiqarah, tidak akan kecewa orang yang bermusyawarah dan tidak akan miskin orang yang hidupnya hemat. (Hadis Thabrani dari Anas)

l Istighfar pula dapat diertikan sebagai bermuhasabah diri dan mohon ampun kepada Allah SWT. Setiap orang pernah melakukan kesalahan, sama ada kesalahan individu atau kesalahan sebagai sebuah bangsa. Setiap kesalahan dan dosa itu sebenarnya penyakit yang merosak kehidupan kita, ia harus diubati.

Banyak persoalan besar yang kita hadapi akhir-akhir ini adalah akibat kesalahan kita sendiri. Muhasabah diri dan pohonlah keampunan kepada Allah SWT. Buatlah pembetulan untuk masa depan yang lebih cerah dengan penuh keredaan Allah SWT.

Dalam persoalan ekonomi, jika rezeki Allah SWT tidak sampai kepada kita disebabkan kita malas, maka yang perlu diubati adalah sifat malas itu. Kita tidak boleh menjadi umat pemalas. Malas adalah sebahagian musuh kita.

Namun, ada kalanya kehidupan sosial ekonomi sebuah bangsa yang mengalami kesulitan. Kesulitan itu disebabkan dosa masa lalu yang bertompok dan belum bertaubat darinya. Jika itu penyebabnya, maka satu-satunya ubat adalah beristighfar dan bertaubat.

Firman Allah SWT yang mengisahkan seruan Nabi Hud kepada kaumnya yang bermaksud, "Dan (Hud) berkata, hai kaumku, mohonlah ampun kepada tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa" (Hud: 52).


Friday, October 9, 2009

An-Nur: Qada puasa lebih utama

PUASA sunat Syawal sememangnya popular di kalangan masyarakat kita. Di kesempatan ini, saya suka menasihatkan semua yang mengamalkannya supaya berhati-hati daripada tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan individu berpuasa itu bermegah dan riak dengan amalannya.
“Kau dah hari ke berapa?” “Ini hari kelima.” “Esok aku raya (sunat Syawal).”
Itu semua antara kata-kata yang kerap didengari di bulan Syawal ini.
Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam.
Ia agak terpuji tetapi dicemari oleh hebahan yang dibuat berkaitan bilangan hari puasanya bertujuan melihat ‘siapa lebih hebat.’Amat dibimbangi, tindakan itu bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya kerana ia menjatuhkan seseorang di dalam dosa hati yang bernama ‘sum’ah’.
Sum’ah adalah satu penghapus amalan kebaikan apabila amalan kebaikan itu dihebahkan kepada umum bagi meraih pujian dan sanjungan.
Memang benar, tidak semua jenis pemberitahuan kebaikan itu salah. Ia lebih tertumpu kepada kawalan niat dan hati seseorang namun dalam banyak keadaan, ramai individu gagal mengawal niatnya daripada berasa bangga dan menunjukkan kelebihan diri.
Adapun, bagi segelintir orang soleh, mereka juga berkongsi amalan kebaikan khususnya kepada anak murid supaya ia dapat dicontohi dan diikuti.Jika guru mampu mengawal niatnya, ia tidaklah menjadi penghapus kepada amalannya.
Bagi individu biasa, lebih baik jika dapat disembunyikan puasa sunat itu supaya tidak membuka ruang syaitan untuk merosakkan niat.
ZIARAH DAN PUASA SUNAT
Tidak dinafikan ada yang terpaksa memberitahu diri ‘berpuasa’ apabila ada rakan yang menjemput, menjamu dan menziarahi rumah.
Ketika itu, ia tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggungjawab menjaga niat dan hati supaya tidak timbul perasaan terbabit.
Dalam masa sama, puasa sunat juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan atau saudara yang membuat rumah terbuka.
KEUTAMAAN ANTARA SUNAT SYAWAL DAN QADA
Jika ada yang bertanya mana lebih baik di antara puasa sunat Syawal atau puasa qada?Jawapannya sudah tentu puasa qada.
Ini terbukti daripada hadis Qudsi yang sahih bermaksud: “...dan tidaklah hampir kepada-Ku seorang hamba-Ku dengan apa jua pun, maka yang lebih Kusukai adalah mereka melaksanakan amalan fardu/wajib ke atas mereka dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepada-Ku dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah Aku kasih kepadanya...,” (Riwayat Al-Bukhari).
Hadis itu sebagai asas keutamaan. Bagaimanapun, daripada sudut praktikal, jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang. Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu qada puasanya selama berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama ketika Ramadan) dan tubuhnya juga sihat dan diyakini masih kuat, eloklah dia mengerjakan puasa sunat Syawal terlebih dulu.
Ini kerana waktu sunat puasa Syawal yang singkat berbanding qada (sepanjang tahun). Bagaimanapun, perlu diingat, walaupun tempoh bagi puasa qada panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dulu. Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.
Bagaimanapun, seseorang yang mati selepas berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawal, pastinya tiada sebarang masalah, malah mungkin dia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat Syawal itu sekali. Ia berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW: “Barang siapa yang ingin melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, sudah dituliskan Allah SWT baginya pahala penuh, maka jika ia berkeinginan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.” (Riwayat Al-Bukhari).
Kita harus memahami bahawa darjat puasa qada adalah lebih tinggi dan tanggungjawab menunaikannya jauh lebih besar daripada sunat Syawal. Ini kerana, puasa qada adalah puasa wajib dan ‘hutang’ ibadat dengan Allah SWT berbanding puasa Syawal yang hanya sebagai tambahan pahala.
dipetik dari harian metro.....

Thursday, October 1, 2009

Al-Quran pedoman hidup insan takwa

MEMILIH gaya hidup berpandukan al-Quran adalah jalan yang sesuai untuk mengembalikan landskap kehidupan harmonis. Kesempurnaan yang dicari untuk pengisian sebuah jiwa bukan bergantung kepada insan lain atau sebarang bentuk hiburan ataupun kecenderungan minat.
Kesempurnaan jiwa bermula dari kebergantungan kita kepada Allah SWT melalui bacaan al-Quran dengan lidah atau penghayatan maksud ayat suci al-Quran melalui maksud dan tafsirnya. Mencari ketenteraman jiwa melalui menyebut dan berzikir nama Allah adalah permulaan kepada kebahagiaan. Firman Allah, “Orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia”. (Surah Al-Ra‘ad: 28)
Membaca al-Quran setiap kali solat adalah amalan yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan manusia apatah lagi pelajar. Otak yang segar akan terpancar dari kemuliaan lidah yang dibasahkan dengan kalam Allah setiap fajar terbit dan terbenam. Kehitaman atau hati yang berkarat kerana terlalu biasa melakukan dosa juga boleh dipulihkan dengan bacaan ayat al-Quran seperti hadis daripada Ibnu Umar r.a. berkata, sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya hati ini berkarat seperti berkaratnya besi apabila terkena air, seorang sahabat bertanya, “Bagaimana menghapuskan karat itu”? Jawab Nabi SAW, “Banyakkan menyebut mati dan membaca al-Quran”.
Ganjaran membaca ayat suci al-Quran dijelaskan Allah SWT sebagaimana hadis, daripada Ibnu Mas'ud r.a. ia berkata: “Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan 10 pahala, aku tidak bermaksud: Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf. (Riwayat ad Darimi Tarmizi).
Jelas pada hari ini, kebanyakan remaja atau belia memilih untuk menghadiri pusat hiburan sebagai tempat mencari kepuasan hidup. Kepuasan hidup yang cuba dicari melalui pelbagai bentuk hiburan adalah satu pilihan yang boleh menenggelamkan akidah, maruah diri, kemuliaan peribadi dan agama yang akhirnya membawa kepada perbuatan riddah.
Kehidupan yang tidak berasaskan al-Quran dalam rutin harian mampu menolak jauh manusia ke arah petanda kehancuran umat Islam. Kita semakin khuatir bagaimana generasi akan datang melihat Islam kerana agama yang diwarisi dari ibu bapanya adalah lebih bersandarkan kepada namanya Islam, hakikatnya jauh dari apa yang dikatakan penganut Islam.
Ibu bapa pada hari ini perlu menitikberatkan kecenderungan ke arah memberi kefahaman anak-anak mengenai al-Quran. Tanggungjawab ini bukan sekadar menghantar anak untuk belajar mengaji al-Quran tetapi ada sesuatu yang lebih bermakna lagi iaitu bagaimana hendak menjadikan anak-anak cenderung ke arah memahami maksud al-Quran seterusnya boleh menerapkan sebagai asas dalam pemikiran dan segala hal perlakuan.
Jiwa umat Islam yang membiasakan diri dengan bacaan ayat suci al-Quran begitu hebat sehinggakan Rasulullah SAW membuat perumpamaan dalam hadisnya, daripada Abu Musa Al Asy'ari r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Umpama orang mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujjah (seperti limau besar) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis dan umpama orang munafik yang membaca al-Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit. (Riwayat Bukhari & Muslim)
Kebimbangan hari ini adalah sejauh mana kesedaran masyarakat Islam khususnya yang bergelar remaja dan belia memahami al-Quran untuk diletakkan dalam asas tindakan dan perlakuan. Kecenderungan memilih gaya hidup yang bebas sebenarnya mampu membawa masa depan negara ke arah kemusnahan keamanan negara.
Justeru, keprihatinan masyarakat masa kini memilih al-Quran untuk dijadikan panduan dalam segala perkara amatlah dituntut. Kelapangan masa pada waktu malam dan memulakan fajar hidup dengan bacaan al-Quran mampu melunakkan pemikiran agar berubah kepada kehidupan yang lebih permai.
Membaca al-Quran bukan saja mampu menerangi hati, sebaliknya yang paling besar rahmatnya ialah pada hari pembalasan kelak. Pahala membaca al-Quran alah pertolongan kepada kita di sana kelak, hadis Abu Umamah r.a yang mendengar Nabi SAW bersabda, “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”. (Riwayat Muslim).

Wednesday, September 2, 2009

Coretan Untuk Bakal Isteri

Assalamualaikum wrt. wbt.
Untukmu, Bakal isteriku..

Tangan ini mula menulis apa yang telah dikarangkan oleh hati ini di dalam kalbu. Aku mula tertanya-tanya adakah aku sudah seharusnya mula mencari sebahagian diriku yang hilang. Bukanlah niat ini disertai oleh nafsu tetapi atas keinginan seorang muslim mencari sebahagian agamanya. Acap kali aku mendengar bahawa ungkapan "Kau tercipta untukku."
Aku awalnya kurang mengerti apa sebenarnya erti kalimah ini kerana diselubungi jahiliyah. Rahmat dan hidayah Allah yang diberikan kepada diriku, baru kini aku mengerti bahawa pada satu hari nanti, aku harus mengambil satu tangungjawab yang sememangnya diciptakan khas untuk diriku, iaitu dirimu. Aku mula mempersiapkan diri dari segi fizikal, spiritual dan juga intelektual untuk bertemu denganmu.
Aku mahukan pertemuan kita yang pertama aku kelihatan 'sempurna' di hadapanmu walaupun hakikatnya masih banyak lagi kelemahan diri ini. Aku cuba mempelajari erti dan hakikat tanggungjawab yang harus aku galas ketika dipertemukan dengan dirimu. Aku cuba membataskan perbicaraanku dengan gadis lain yang hanya dalam lingkaran urusan penting kerana aku risau aku menceritakan rahsia diriku kepadanya kerana seharusnya engkaulah yang harus mengetahuinya kerana dirimu adalah sebahagian dariku dan ianya adalah hak bagimu untuk mengetahui segala zahir dan batin diriku ini.
Apabila diriku memakai kopiah, aku digelar ustaz. Diriku diselubungi jubah, digelar syeikh. Lidahku mengajak manusia ke arah makruf digelar daie. Bukan itu yang aku pinta kerana aku hanya mengharapkan keredhaan Allah. Yang aku takuti, diriku mula didekati oleh wanita kerana perawakanku dan perwatakanku. Baik yang indah berhijab atau yang ketat bert-shirt, semuanya singgah disisiku. Aku risau imanku akan lemah. Diriku tidak dapat menahan dari fitnah ini. Rasulullah S.A.W pernah bersabda, "Aku tidak meninggalkan setelahku fitnah yang lebih bahaya untuk seorang lelaki melainkan wanita."
Aku khuatir amalanku bukan sebulatnya untuk Rabbku tetapi untuk makhluknya. Aku memerlukan dirimu untuk menghindari fitnah ini. Aku khuatir kurangnya ikhlas dalam ibadahku menyebabkan diriku dicampakkan ke neraka meninggalkan kau seorang diri di syurga. Aku berasa bersalah kepada dirimu kerana khuatir cinta yang hak dirimu akan aku curahkan kepada wanita lain. Aku sukar untuk mencari dirimu kerana dirimu bagaikan permata bernilai di antara ribuan kaca menyilau. Tetapi aku pasti jika namamu yang ditulis di Luh Mahfuz untuk diriku, nescaya rasa cinta itu akan Allah tanam dalam diri kita. Tugas pertamaku bukan mencari dirimu tetapi mensolehkan diriku. Sukar untuk mencari solehah dirimu andai solehku tidak setanding dengan ke’solehah’anmu. Janji Allah pasti kupegang dalam misi mencari dirimu. "Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik."
Jiwa remaja ku ini mula meracau mencari cinta. Matang kian menjelma dan kehadiran wanita amat terasa untuk berada di sisi. Setiap kali aku merasakannya, aku mengenangkan dirimu. Di sana engkau setia menunggu diriku, tetapi di sini aku curang kepadamu andai aku bermain dengan cinta fatamorgana. Sampaikan doamu kepada diriku agar aku dapat menahan gelora kejantananku disamping aku mengajukan sendiri doa diperlindungi diri.
Bukan harta,rupa dan keturunan yang aku pandang dalam mencari dirimu. Cukuplah agama sebagai pengikat kasih antara kita. Saat di mana aku bakal melamarmu, akan ku lihat wajahmu sekilas agar mencipta keserasian diantara kita kerana itu pesan Nabi kita. Tidak perlu alis mata seakan alis mata unta, wajah bersih seakan putih telur ataupun bibir merah delima tetapi cukup cuma akidah sekuat akar, ibadah sebagai makanan dan akhlak seindah budi.
"Kahwinilah isteri kerana empat perkara; keturunan, harta, rupa dan agama. Dan jika kau memilih agama, engkau tidak akan menyesal.” Jika aku dipertemukan dengan dirimu, akan ku jaga perasaan kasih ini supaya tidak tercurah sebelum masanya. Akan ku jadikan syara’ sebagai pendinding diri kita. Akan ku jadikan akad nikah itu sebagai cop halal untuk mendapatkan dirimu. Biarlah kita mengikuti nenek moyang kita, Nabi Adam dan Siti Hawa yang bernikah sebelum disatukan agar kita dapat menikmati kenikmatan perkahwinan yang menjanjikan ketenangan jiwa, ketenteraman hati dan kedamaian batin. Doakan diriku ini agar tidak berputus asa dan sesat dalam misi mencari dirimu kerana aku memerlukan dirimu untuk melengkapkan sebahagian agamaku.
Dariku, Bakal suamimu.


Saya Pun Budak Kampung

"Saya pun budak kampung, pun boleh berjaya, anda bila lagi?" - Zulkifli b Aziz; Usahawan Hai-O
Biasa dengarkan dengan iklan Hai-O di atas tu? Alhamdulillah. Apabila iklannya sudah menjangkau ke iklan, makin lebarlah kata-kata usahawan Hai-O lepas ini. Makin berleluasalah projek MLM Hai-O ini. Walau bagaimanapun, fokus saya ialah istilah 'budak kampung'. Tidak tahulah, apa yang dipandang oleh saudara berkenaan. Apa salahnya budak kampung? Adakah budak kampung diketegorikan sebagai second class di Malaysia ini? Kalau yang berjaya, hanya di pundak orang-orang bandar?

Sikap Menentukan Siapa Kita
Sikap adalah sesuatu yang dipelajari melalui pengamatan, pendengaran dan pengalaman. Dengan kata lain, sikap adalah tindakan dan tingkahlaku diri berlandaskan cara fikir seseorang individu. Dua orang yang mempunyai cara fikir yang berbeza akan bertindakbalas secara berbeza juga terhadap sesuatu peristiwa atau persekitaran. Cara fikir mengubah tingkah laku seseorang dan mempengaruhi sikap seseorang. Cara fikir sebenarnya sesuatu yang dipelajari dan ditiru melalui sumber-sumber seperti:

Orang sekeliling - Ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan, idola
Pengaruh media - TV, radio, internet
Bahan bacaan - novel, majalah, akhbar, buku-buku.
Persekitaran - Agama, bangsa, kebudayaan
Peristiwa silam - besar atau kecil

Pengalaman


Sebab itulah ada pepatah yang mengatakan bapa borek anak rintek. Kalau bapa jenis panas baran maka anaknya berkemungkinan juga demikian. Tetapi tidak pula semua anak berkelakuan serupa seperti bapa. Mungkin anak yang lain pula cukup mengkagumi gurunya dan kebetulan pula guru seorang yang penyabar maka sikap sabar ini mempengaruhi anak. Maka sikap panas baran bapa tidak ditiru oleh anak ini kerana dia dapat menilai bahawa sikap itu tidak menguntungkan sesiapa. Sebaliknya, pengaruh guru lebih besar atas diri anak ini dalam dalam pembentukan sikapnya.
Jadi seorang anak membesar dengan meniru tingkah laku orang lain. Sikap-sikap negatifnya mungkin diperolehi daripada gabungan pelbagai sumber. Pemarah macam ayah, boros macam emak, malas macam abang, pakaian macam artis, buang masa macam rakan-rakan dan sebagainya. Begitu juga dengan sikap positifnya juga ditiru dari orang lain. Berani macam ayah, bercakap benar macam emak, suka mencuba macam abang, gigih macam artis pujaan dan hormat ibu bapa macam rakan.
Satu kelemahan otak ialah ia menerima segala maklumat yang dilihat, dirasa dan didengar ini, tanpa sekatan sama ada positif atau negatif. Apabila mesej yang sama diterima berulang-ulangkali maka sedikit sebanyak mula terbentuk kepercayaan dalam diri bahawa tidak salah untuk menerima pakai atau meniru cara orang lain ini. Keadaan ini berlaku diluar kesedaran seseorang. Ia berlaku dalam tempoh masa yang panjang sebelum menjadi lazim dalam pemikiran. Setelah ia menjadi kebiasaan segala tindak balas kita menjadi spontan dan kerap kali tindakan kita diluar kawalan diri.

Bolehkah sikap diubah?

Sikap yang negatif boleh diubah kepada positif hampir serta merta. Misalnya anda membonceng motosikal rakan. Rakan anda membawa motosikal dengan laju dan gopoh-gapah. Anda tumpang seronok. Akibatnya berlaku kemalangan dan rakan anda mati ditempat kejadian. Ketika itu juga anda berkemungkinan besar mula mengubah sikap anda apabila membawa motosikal.
Walaupun ia berlaku hanya sekali dalam kehidupan, tetapi pengalaman tersebut cukup menyakitkan dan menyedihkan. Ia mengubah cara fikir anda serta merta. Sikap anda juga berubah serta merta. Satu peristiwa mengubah segalanya. Sebenarnya untuk berubah anda tidak memerlukan masa yang panjang. Masa yang panjang sebenarnya untuk kita mengumpul maklumat dan membina keyakinan serta kepercayaan sememangnya perubahan diri itu sesuatu yang mesti dilakukan.
Setelah anda membuat keputusan tentang perlunya berubah maka perubahan berlaku serta merta. Masa yang panjang ini sebenarnya boleh disingkatkan dengan syarat anda mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk menyokong kepercayaan anda untuk berubah itu sekarang. Anda perlu mendapatkan maklumat dari orang yang boleh memberikannya kepada anda. Ramai yang tidak menyedari bahawa sikap ibarat pakaian yang boleh dipilih untuk disarungkan kebadan. Bagaimana mudahnya menukar pakaian begitu juga mudahnya mengubah sikap. Dengan syarat tahu rahsia dan kaedahnya.
Untuk berubah sikap, setiap kepercayaan dan pegangan hidup yang negatif perlu digugat, dicabar, dibenci dan kemudiannya digantikan dengan alternatif yang baru. Proses ini lebih mudah dilakukan sekiranya dibantu oleh seseorang yang pakar dalam bidangnya. Perhatikan sejenak, adakah sikap anda selama ini membolehkan anda menggunakan sepenuhnya potensi diri yang ada pada diri anda? Setiap kali guru memberikan markah ujian, cuba tanyakan diri anda, adakah ini yang terbaik boleh dilakukan oleh anda? Kalau tidak, apa yang menghalang anda melakukan yang terbaik? Tiada yang menghalang kecuali diri anda sendiri.
Kalau anda tidak mengubah sikap dan cara fikir anda sekarang, anda juga pastinya mencapai sesuatu yang serupa 5 - 10 tahun yang akan datang. Yang berubah ketika itu mungkin lokasi anda, rakan-rakan anda dan fizikal luaran anda tetapi dalamnya tetap sama. Kalau sekarang anda gagal di sekolah maka 5-10 tahun akan datang anda bakal gagal pula di alam pekerjaan. Sebab itulah anda perlu berubah, dan perubahan itu perlu dilakukan sekarang!
Sesungguhnya benarlah perintah Tuhan, “…sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah nasib mereka….” (Ar-Ra’du:11)
Kesimpulan Maka, dalam menentukan erti kejayaan itu sebenar, semuanya bergantung kepada kita. Sejauh mana sikap kita menentukan kejayaan kita itu. Terpulanglah kepada diri kita sendiri menentukan arah dan tingkat kejayaan kita!

Rujukan Selanjutnya berkaitan Hai-O dari pendapat Ustaz Zaharuddin (UZAR) : Kisah Uptrend & Hai-O Oleh Perunding Kewangan Islam

Tuesday, August 25, 2009

Setiap amalan akan dapat pembalasan setimpal

SETIAP amalan baik yang dilakukan Muslim di dunia ini akan mendapat balasan yang setimpal di akhirat kelak. Dengan berpandukan Al-Quran segala amalan dan kewajipan dijelaskan kepada manusia supaya beriman dan beramal kepada Allah SWT.
Sesungguhnya, segala kemewahan, kenikmatan, kemegahan yang ada di dunia ini tidak boleh membantu kita untuk ke jalan Allah, melainkan amal ibadah saja yang dapat membantu kita untuk memperoleh segala nikmat pada alam akhirat nanti. Allah SWT mengingatkan dalam firman-Nya yang bermaksud; "Hai orang yang beriman, bertakwa kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya." (Ali Imran: 102).
Amalan itu adalah solat lima waktu, solat sunat, mengeluarkan zakat, berpuasa bulan Ramadan dan berpuasa sunat, menunaikan haji dan umrah serta amalan yang lain seperti bersedekah dan melakukan amal jariah. Allah berfirman yang bermaksud; "Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Beramallah kamu maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah), Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan." ( At-Taubah:105).
Ayat ini jelas membuktikan bahawa amalan yang baik yang dilakukan dengan penuh keimanan akan mendapat balasan pahala di akhirat nanti. Beriman kepada Allah SWT, tauhid dan menghambakan diri dengan tidak menyekutukan-Nya akan mengukuhkan keimanan dalam jiwa setiap Muslim.
Berkaitan dengan syurga, Jabir berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Kunci syurga adalah solat dan kunci solat itu adalah wuduk." (Riwayat Tirmidzi dan Ahmad). Sesungguhnya, solat itu amalan yang utama kepada umat Islam selain daripada amalan yang lain. Tiada siapa yang boleh menentukan seseorang itu masuk syurga atau neraka. Sementara itu dalam satu hadis yang lain, dari Abdullah bin ' Amar r.a., beliau bertanya Rasulullah SAW, " Wahai Rasulullah! Apakah keuntungan majlis zikir itu? Baginda menjawab: Keuntungan majlis zikir itu adalah syurga, syurga." (Riwayat Ahmad).
Dalam hadis lain, yang diriwayatkan Tasuban r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; " Barang siapa yang mati dalam keadaan bebas dari tiga perkara, yakni kesombongan, dendam dan hutang, nescaya dia akan masuk ke syurga." (Riwayat Tirmidzi dan Syaibani).
Amalan yang baik yang dilakukan secara berterusan sangat digalakkan dalam Islam. Oleh itu lakukan segala amalan yang baik dalam kehidupan ini bagi mendapat keredaan Allah SWT.
Kesimpulannya, sifat yang baik dan amalan yang mulia yang dilakukan oleh seseorang Islam itu yang diterima Allah akan membawa ke syurga. Jadikan keimanan dan ketakwaan dalam setiap amalan kepada Allah untuk menuju ke syurga-Nya.

Tuesday, August 18, 2009

Binalah kebahagiaan ikut acuan kita sendiri….

Assalamualaikum.diharapkan semua didalam keadaan sehat n ceria sentiasa =) hari ni selasa seperti biasa saya di ofis dgn keje yg biasa di lakukan, dgn kes aduan yg agak bertambah.bulan2 baik pun ade masalah huhu tulah lumrah kehidupan yg bergelar manusia. Berbalik kepada tajuk diatas, kebahagiaan......sesuatu nilai yg cukup tinggi dan bermakna buat kehidupan seseorang. Jika ia hilang dan tiada maka hilanglah seri kehidupan tu kan. Senyuman...adalah salah satu penunjuk bahwa seseorg tu bahagia atau tidak..kerana senyuman itu adalah sedekah dan diberi pahala kepada setiap yg melaksanakannya. Sesuatu yg mudah tetapi jarang utk kita amalkan.betul x? Ade teman saya berkata senyuman itu awet muda, walaupun tiada nas yg sahih tetapi ade jg kebenarannya kerana ia akan sentiasa menggambarkan keadaan diri kita.dan kita sendiri mesti boleh nilaikannya...hakikatnya hidup ini indah dan sangat menarik kepada yg benar2 menikmatinya, apepun masalah dan dugaan yang kita hadapi adalah sebagai pemangkin buat diri kita utk jd lebih baik,juga membuatkan hidup kita lebih bermakna.kebahagiaan adlah bermula dalam diri kita, kitalah yg berkehendakkannya dan berusalah kearah itu....jika tidak kitalah orang yg rugi n akan jauh ketinggalan.....bukan faktor orang lain atau sebagainya tetapi kitala penentunya.

Peganglah prinsip ini bahawa kita sememangnya dicipta untuk memakmurkan alam semesta ini dan seterusnya menerajui alam ini sebagai khalifah Allah.maka buatlah yg terbaik juga pada org disekeliling kita....ini kerana setiap kejadian Allah di dunia ni ada hikmahnya,justeru itu binalah kebahagiaan mengikut acuan kita berdasarnya syariatNya dan diasa cara kita yg terbaik dlm menilai sesuatu.hanya kita sahaja yg lebih memahami perasaan kita sendiri.jangan diperbesarkan sangat perbezaan,lihatlah pada persamaan.....usahakan agar persamaan itu terus menjadi satu lalu satu itu akan menjadi jitu.moga kita menjadi orang yg berbahagia dan juga menikmatinya .......all d best utk semua ^_^

Thursday, August 13, 2009

Insan bersikap positif anggap bencana ujian tingkat iman, takwa

KEHIDUPAN di dunia hanya sementara, malah dianggap permainan dan hiburan yang tidak berkekalan seperti dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: "Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain daripada main-main dan senda gurau belaka. Sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?" (Surah al-An'am, ayat 32)

Justeru, kita jangan mudah terpedaya sehingga terus melupakan urusan akhirat.

Kesenangan hidup menyebabkan manusia lalai mengingati Allah. Oleh itu, Allah mengutuskan nabi dan rasul memberi peringatan supaya manusia berwaspada, beramal salih dan segera bertaubat.

Namun, masih ada juga manusia ingkar dan sombong dengan tidak mahu mengikut perintah Allah. Sebagai balasannya, Allah menurunkan bencana sebagai ujian dan dugaan supaya manusia segera insaf.

Allah berfirman maksudnya: “Sudah timbul pelbagai kerosakan dan bencana di darat dan laut disebabkan perbuatan tangan manusia kerana Allah hendak mereka rasai sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang dilakukan supaya mereka kembali insaf dan bertaubat.” (Surah al-Rum, ayat 41)

Sesungguhnya musibah dan bencana terhadap manusia adalah ujian dan peringatan. Kita perlu bersabar dan reda dengan qada dan qadar Allah.

Anggaplah ujian itu proses memantapkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Sebenarnya pelbagai ujian diturunkan Allah antaranya wabak Influenza A (H1N1). Penyakit ini boleh menjejaskan sistem pernafasan yang lazimnya menjangkiti haiwan khususnya babi disebabkan Virus Influenza jenis A.

Sesuatu yang lebih penting untuk difahami umum ialah penularan penyakit berjangkit ini bukan hanya berkaitan isu bawaan haiwan, tetapi berkait rapat dengan tahap kebersihan diri dan persekitaran.

Menjaga kebersihan amat diutamakan Islam. Allah berfirman yang bermaksud: “Allah Mengasihi orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” (Surah al-Taubah, ayat 108)

Dalam menghadapi segala ujian atau bencana daripada Allah, kita perlu banyak bersabar dan memohon perlindungan Allah SWT dengan mengadakan solat hajat dan membaca doa Qunut Nazilah ketika solat jumaat di seluruh negara. Mudah-mudahan rakyat dihindari daripada segala bencana dan wabak berbahaya.



Saturday, August 1, 2009

nur kasih

hari ni aku ingin bercerita ttg sebuah drama yg tgh ditayangkan sekarang di tv3 pada hari jumaat,sebuah drama yg aku rasa amat baik untuk tontonan umum.sebuah karya ttg kehdpn masyarakat yg realitinya ramai xtahu.nurkasih sebuah kisah tentang ketaatan,cinta,pengorbanan,keihklasan serta perjuangan bagi mengharungi hidup yg dinamakan kehidupan.bukan semua yg kita nak n harapkan berlaku n begitu juga sebaliknya.apepun setiap yg berlaku bukanlah sia2 kerana Allah yg maha Agung maha bijak untuk mengatur perjalannya yg kita sbg manusia tidak mengetahui.ape yg menarik pd drama ni,watak aidil yg leh dikagumi kerana pengrbanan cintanya diatas dasar tggjwb dan amanah.jarang jumpa lelaki zaman skrg begitu kan huhu lg2 pglmn aku berdepan dgn masyarakat skrg yg bermacam2 ragam.apepun ia semua adalah ragam kehidupan yg mana sbg seorg manusia tidak lari dr salah n silap.tp sbg manusia sejauh mana dia ingin mengubah hidupnya kepada yg baik atau sebaliknya?hya kita dapat menjawabnya....sebagai mana kata sohibul jauharah tauhid" Allah memberi pahala kepada kita semata2 kerana rahmat n limpah kurnianya,sebaliknya jika diseksa semata2 kerana keadilanNya".....jd kita sbg manusia jalan mana yg perlu kita pilih?jalan yg membawa kt ke syurga atau sebaliknya?untuk mendapatkan nurkasihNya memerlukan pengorbanan,perjuangan n keikhlasan....jika ia tiada maka hilanglah nur...hilanglah kasih....marilah kt sama2 renungkan n fikirkan.....mudah2an akan ada manfaat buat kt semua i'allah.akhirnya selamat menonton utk episod2 seterusnya yg makin menarik....=)

Thursday, July 30, 2009

mari membaca....

assalamualaikum...
alhamdulillah hari ini baru aku ade kesempatan untuk menulis semula setelah sekian lama menyepi,lagipun arini di ofis xramai orang sangat yg datang jadi banyakla masa utk aku cari maklumat yg berguna.pagi td ade kelas tafaqquh oleh dr.zulkifli dr usim.satu pengajian dan pengisian yg amat baik yg aku rasekan.tetapi aku xdpt nk join sepenuhnya,bila datang td sempat la 10 minit sebelum abis,terkilan jugak tp terubat jugak dgn kitab yg di tawarkan yg bertajuk "ahasinul kalimi" yg bermaksud mutiara kata yg indah.dan kitab ini merupakan syarah kepada kitab alhikam yg mana satu kitab turath yg sangat bermanfaat untuk kita baca dan hayati.sape yg berminat leh cntc aku,aku leh tlg belikan.kitab terjemahan n senang di fahami.berbalik tajuk diatas n sempena bulan membaca negeri selangor,jd aku mengajakla diri aku sendri yg agak malas membaca ni huhu serta kawan2 supaya lebih banyak membaca n mulakan pembacaan walaupun sedikit.byk sbnrnya manfaat.seperti kata2 al-jahizh yg dipetik dr buku "la tahzan" buku adalah teman yg tidak akan memujimu dengan berlebihan, sahabat yg tidak akan menipu dan teman yg tidak membuatmu bosan.buku adalah sst apabila dilihat akan memberikan kenikmatan,menajamkan kemampuan intelektual,melancarkan lidahdan mengindahkan lafaz.....
jadi ape lg,kt pkns shah alam ade pesta buku,pegi sana beli n baca tambah ilmu k =)

Tuesday, July 28, 2009

sekadar renungan....

Diceritakan kepada Sokrates, “Penduduk kota menertawaimu.” Dia menjawab, “Semoga tawa mereka itu semakin menyempurnakan diriku.”

Ada seorang raja yang berkata kepada Sokrates,”Apa yang membuatmu tidak mau menghadapku padahal engkau adalah budakku?” Sokrates menjawab,”Jika engkau jujur kepada dirimu, engkau pasti mengerti bahwa aku bukanlah budakmu.” Raja bertanya, “Bagaimana bisa begitu?” Sokrates menjawab, “Pernahkah engkau mengetahui bahwa diriku melakukan sesuatu atas dasar dorongan nafsu dan marah?” Raja menjawab, “Tidak.” Sokrates bertanya lagi, “Pernahkah engkau begitu?” Raja itu menjawab, “Pernah.” Sokrates berkata, “Saya menguasai nafsu dan marah, sementara keduanya menguasaimu. Jadi engkau adalah Budak dari budakku.”

Lalat mencari dan menempel pada tempat-tempat kotor dan menjauhi tempat-tempat yang sehat. Begitu juga orang-orang yang jahat. Mereka mencari kejelekan-kejelekan orang lain lalu menyebarkannya dan menyembunyikan kebaikan-kebaikan orang lain dan tidak mau menyebutkannya.

- Sokrates -

Monday, July 20, 2009

Awak Sudi Jadi Isteri Kedua Saya?


"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tegas dan yakin.

Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fulanah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Syazni liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… " Fulanah mula sebak.

"Tak. Maksud saya…"

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fulanah dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fulanah semakin tinggi, setinggi egonya.

Syazni diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fulanah' di sebalik Fulanah yang dia kenal selama ini. Fulanah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Syazni seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Syazni muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Syazni, sekecil pandangannya terhadap Fulanah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Syazni sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Syazni berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Syazni dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama.

Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fulanah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Syazni. Bagi Fulanah, Syazni seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Syazni melamarnya menjadi isteri kedua. Syazni masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fulanah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fulanah, namun sikap Fulanah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Syazni tersebut.

Bagi Fulanah, Syazni tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Syazni berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Syazni semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Syazni – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Syazni.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Syazni dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Syazni sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Syazni menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fulanah atau tidak? Syazni bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Syazni berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya.

Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Syazni mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fulanah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tanpa segan silu.

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.

"Er, betul ke ni?" tergagap Syazni menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Syazni.


"Kenapa saya?" tanya Syazni ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Syazni tersenyum.

Akhirnya, Syazni dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Syazni terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Syazni semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Syazni membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Syazni. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Syazni sambil memandu.

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Syazni menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Syazni dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Syazni yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Syazni aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Syazni membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.

Syazni berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Syazni menuding jari ke arah khemah tersebut

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Syazni.

"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.

Syazni tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"PERJUANGAN, " jawab Syazni.

***************

Sedarlah semua wahai muslimah serikandi dan perwira Islam ... kalian akan dimadukan!

Jika dirimu bakal seorang isteri…

Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri kedua kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!

Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan…

Kehadiran dirimu adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan islam bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu. Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga diri \mu dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan islam!

Jika dirimu bakal seorang suami…

Terimalah bahawa anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu! Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya, kerana suami yang pertama baginya ialah perjuangan islam dan memartabatkannya.

Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai islam dan memperjuangkan islam. Jika dirimu tidak sedemikian, sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu…

Bantulah isterimu atau suamimu dan kuatkanlah dia untuk meneruskan perjuangan islam ke serata dunia!!Takbir ! Allahuakbar!


Layakkah Kita Bergelar Saudara?

“Umi!!!!” Khalid menjerit nyaring.

Sebaris rumah baru sahaja dihancurkan oleh jentolak di hadapan matanya. Khalid yang bersembunyi di sebalik batu-batu yang ada hampir sahaja menjerit ketakutan, mujur suaranya itu tersekat di kerongkong sehinggalah tentera-tentera kejam itu berlalu pergi. Jika tidak, entahkan hidup entahkan tidak lagi dirinya di muka bumi ini.

“Umi!!!” Khalid menjerit lagi.

Kanak-kanak berusia 6 tahun itu berlari-lari di atas serpihan batu-bata, terpaksa memungkinkan bahawa ibunya ada di situ.Cuaca yang panas terik tidak memberhentikan kakinya daripada terus melangkah, berlari ke segenap penjuru mencari insan yang paling dikasihinya.

“Khalid.. Khalid anak umi…” Suara lembut itu membuatkan kepala Khalid menoleh ke arah sisinya.

Wajahnya yang dibasahi peluh tersenyum senang melihat kehadiran Nur Laili, satu-satunya ahli keluarganya yang masih hidup pada saat itu. Khalid berlari ke arah Nur Laili, Nur Laili mendakapnya senang.

“Umi, Khalid ingat umi dah tinggalkan Khalid macam abi...”

* * *

“Khalid... Mari cepat pergi masjid, sekejap lagi azan ni!” Kedengaran suara Salman Al-Farisi memanggil dari luar rumah.

Khalid yang baru sahaja keluar dari bilik air terkedek-kedek lari mendapatkan bapanya.

“Umi, Khalid pergi dulu..” ucapnya seraya melangkah pergi.

“Abi, kenapa kita kena solat kat masjid? Umi tak pergi masjid pun abi...” Khalid bertanya.

Matanya yang bening memandang tepat ke dalam anak mata Salman Al-Farisi. Salman Al-Farisi menarik nafas panjang.

“Kita kan orang Islam sayang, kita lelaki, lelaki kuat, jadi kena solat kat masjid. Umi tak apa solat kat rumah. Lagipun, bila ramai-ramai orang Islam berkumpul kat masjid, orang kafir pun akan gerun, nampaklah orang Islam ni bersatu, bila bersatu,kita kuat kan sayang?”

Salman Al-Farisi cuba menerangkan seringkas mungkin buat kanak-kanak berusia 6 tahun itu.

“Tapi abi....”

“Kenapa Khalid?”

“Kenapa dulu masjid kosong je.. Sekarang ni baru nampak penuh... Bukankah sekarang ni banyak tentera, kat setiap penjuru ada tentera, dulu tak ada tentera kenapa orang tak sibuk ke masjid?” Penuh ketulusan suara itu bertanya.

Salman Al-Farisi termenung jauh. Tangannya yang memimpin tangan Khalid digenggam seerat mungkin. Bagaimanakah cara terbaik untuknya menerangkan keadaan ummah pada masa kini kepada kanak-kanak sekecil Khalid.

“Khalid... Kalau Khalid dapat apa yang Khalid nak, tapi Khalid degil, tak mahu dengar cakap abi. Tiba-tiba satu hari semua tu abi ambil balik , Khalid hidup susah, baru Khalid rasa betapa bermaknanya kesenangan yang lalu kan?”

Khalid angguk.

“Macam tu jugalah keadaan sekarang ni. Dulu, Allah bagi nikmat banyak sangat. Tapi manusia tak mahu bersyukur malah manusia tak nak dengar cakap Allah. Sekarang ni,bila dah susah baru semua tahu betapa pentingnya sesuatu arahan Allah. Mustahil arahan daripadaNya itu sia-sia.”

“Abi, Khalid tak mahu lawan cakap Allah!” Khalid bersemangat.

“Ye sayang, Khalid kena jadi macam Khalid Al-Walid. Dia seorang panglima perang yang hebat, dia tak pernah gentar dalam mempertahankan Agama Islam bahkan dia rela mati di jalan Allah” Bersemangat Salman Al-Farisi memberi kekuatan buat si anak kecil.

Satu-satunya anak yang masih tinggal untuk bersama-samanya berjuang di jalan Allah.

“Macam abang-abang?” Khalid bertanya lagi.

Terlalu perit kenangan yang lalu itu untuk dikenang. Anak-anaknya semua berjumlah 5 orang. Kelima-limanya adalah lelaki dan 4 orang daripadanya telah pun syahid di jalan Allah. Biarpun perit, namun Salman Al-Farisi tetap bersyukur kerana mempunyai anak-anak yang bergelar mujahid fi sabilillah!

“Abi.....”

Khalid mula menyorok di belakang Salman Al-Farisi. Lamunan Salman Al-Farisi terhenti. Matanya tertancap,melihat objek-objek yang bergerak di hadapannya. Kelihatan beberapa orang tentera berlegar-legar dengan senapang di sisi. Salman Al-Farisi memandang Khalid di sisi yang ketakutan.

"Allah... lindungilah anak yang tidak berdosa ini.."

Salman Al-Farisi mendukung tubuh kecil Khalid dan melangkah gagah menuju ke masjid yang berada beberapa langkah lagi di hadapannya. Khalid menangis semahunya di bahu abi tercinta.

* * *

Pom! Pom!

Bunyi ledakan peluru membantutkan konsentrasi seluruh jemaah yang sedang bersolat. Khalid terpaku melihat beberapa baris jemaah yang telah pun rebah ke bumi akibat ditembak ketika sedang bersolat. Sebentar sahaja, dan tentera-tentera kejam itu pun pergi meninggalkan mayat-mayat bergelimpangan di dalam masjid. Khalid mula tidak keruan. Di mindanya tergambar wajah abi tercinta. Khalid mundar-mandir. Satu persatu wajah para syuhada’ yang berada di lantai masjid di tatapnya. Dan...

“Abi!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!” Khalid meraung.

Wajah insan yang amat disayanginya berada di situ. Kepala Salman Al-Farisi berlubang ditembusi peluru. Darah yang berwarna merah pekat mengalir membasahi separuh mukanya.Mengerikan.

“Abi... Kenapa tinggalkan Khalid...”

Pandangan Khalid mulai kelam dan Khalid rebah di situ.

* * *

“Umi...” Khalid bersuara dalam sendunya yang masih berbaki.

Nur Laili yang asyik mengelamun tersentak.

“Ya sayang..” Tangan yang mampu menggoncang dunia itu mengusap lembut kepala Khalid. Penuh kasih.

“Kenapa negara Islam yang lain tak bantu kita?”

Nur Laili terdiam, terpegun dengan pertanyaan si anak kecil yang dimatangkan dengan kesusahan hidup, kengerian peperangan,melarat tanpa insan bergelar ayah di sisi.

“Mereka bantu sayang, mereka beri duit, makanan..”

“Tapi umi, Khalid nak senjata! Khalid nak lawan tentera-tentera yang zalim tu!” Nur Laili tersentak sekali lagi.

“Umi...” Perlahan, Khalid memanggil.

“Ya sayang...”

“Adakah mereka mendoakan kita?”

“Siapa?”

“Semua orang Islam. Orang Islam semua bersaudara, kan umi?” Nur Laili terdiam.

Kepetahan Khalid membuatkan jiwanya bergelora. Ya Allah, adakah kami berada dalam ingatan saudara-saudara kami yang sedang hidup dalam kesenangan sekarang?

“Umi...” Khalid memanggil lagi.

“Ya...”

“Tidak malukah mereka apabila ditanya di Padang Mahsyar nanti apa yang mereka telah lakukan untuk saudara mereka yang berada dalam kesusahan seperti kita?”

“Siapa?”

“Semua orang Islam. Orang Islam semua bersaudara, kan umi?”

Nur Laili diam.

“Umi..”


“Ya nak..”

“Apa yang telah mereka lakukan untuk kita?”


Khalid yang selesa berada dalam pelukan seorang wanita bergelar umi menggenggam erat tangan wanita solehah itu.

“Siapa?”

“Semua orang Islam. Orang Islam semua bersaudara, kan umi?”
Ayat yang sama diulang-ulang oleh anak kecil itu.

Mata Nur Laili mula digenangi air.

“Umi tidak tahu sayang...” Oh Allah... Masihkah kami layak bergelar saudara. Nur Laili berbicara dengan hatinya.

“Umi...”

“Ya sayang...”


Nur Laili mengucup penuh kasih dahi anak kecil itu. Khalid tidak seharusnya merasai suasana seperti ini, terlalu kejam buat dirinya.

“Umi... Abi pernah kata kalau perang, seharusnya mereka berperang dengan tentera sahaja, bukan orang awam macam kita. Betulkah umi?”

“Ya sayang..”


“Jadi mengapa kita digelar pengganas umi?”

Nur Laili tidak mampu lagi menahan air matanya daripada tumpah. Setitik demi setitik, dia tidak tahu mengapa mereka digelar pengganas. Mungkinkah faktor media massa atau apa? Itu semua dia tidak kisah tapi mengapa ada juga segelintir umat Islam yang mengatakan mereka pengganas? Tidakkah mereka tahu keadaan saudara mereka ketika ini.

“Kenapa umi menangis?”

Khalid yang merasa titisan air mata jatuh ke atas kepalanya lantas bangun dan mengelap air mata itu.

“Umi, di padang Mahsyar nanti, air mata ini bakal menjadi saksi buat saudara-saudara kita yang diam, membisu tanpa memberi bantuan,kan umi?”

Nur Laili angguk.

Pom!

Ledakan peluru itu tepat mengenai dada Nur Laili. Khalid terperanjat. Ini merupakan kali kedua insan kesayangannya rebah di hadapan matanya. Khalid menangis. Tangannya yang kecil menggoncang-goncang tubuh Nur Laili yang kaku. Sekejap sahaja, tangannya merah dibasahi darah umi tercinta.

“Umi, siapa lagi yang akan menerangi malam Khalid...”

Tentera-tentera kejam itu mara menghampiri Khalid. Senapang diacukan ke kepala kanak-kanak kecil itu. Khalid memandang dengan perasaan amarah kerana maruah dia dan keluarganya telah dirobek-robek. Dia tidak lagi gentar. Batu di sebelahnya di genggam kemas, dan..

“Aku mahu jadi seperti Khalid Al-Walid. Allahu akbar!!”

Khalid bangun dan melontar batu itu ke arah tentera yang hampir dengannya. Serentak dengan itu juga bunyi ledakan peluru kedengaran lagi,tepat menembusi kepala Khali.Khalid rebah di samping uminya.

“Umi.... Kita dapat jumpa abi dan abang-abang nanti...”

Dan mata Khalid terpejam jua, untuk selamanya.

Sunday, March 22, 2009

MAFELA KASIH


Usai solat Zuhur dan berdoa, dia terpaku seketika. Fikirannya masih menerawang ke arah kata-kata ibunya melalui telefon tadi. Sambil melipat telekung, perbualan dengan ibunya tadi seolah-olah diputarkan kembali. “Maria, ibu tak tahu nak kata apa lagi. Umur Maria dah nak masuk 28.. takkan la nak tunggu umur sampai 30..ibu tak suka tengok anak ibu kawin lambat. Fikirlah sendiri, suami macam mana lagi yang Maria nak. Nabil tu bukannya ada rupa saja, pangkat tinggi..kaya pulak tu. Kakak dan abang kau pun setuju kalau kau terima aje lamaran dia. Fikirlah baik-baik,”. “Entah la bu.. bagilah Maria masa dulu. Banyak perkara tengah Maria fikir sekarang.” Itulah jawapan yang sering dilontarkan tatkala ada orang yang merisik dirinya. Bukan dia menolak untuk menegakkan sunnah Rasullullah s.a.w itu, tapi hanya dia sahaja yang memahami dirinya sendiri. Seperti pilihan-pilihan yang datang sebelum ini, pastinya dia akan merujuk dulu pada yang maha menentukan sesuatu keputusan, Allah s.w.t. Dengan istikharah beberapa kali, dia yakin petunjuk yang diberikan Allah kepadanya adalah tepat. Tetapi pilihan kali ini, Nabil…hatinya seolah-olah menolak mentah-mentah. Bukan dia tidak kenal siapa Nabil itu. Nabil yang selalu mengacaunya, dan pernah ingin memegang tangannya semasa kali lepas sewaktu pulang ke kampung. Adakah suami seperti itu yang didambakannya? Bolehkah dia menjadi suami soleh yang boleh memandu rumahtangga Islami yang selalu diimpikannya? Kalaulah ibu faham, desis hatinya. Kakinya segera melangkah menuju ke wad A4. Tanggungjawabnya tidak harus dilupakan sama sekali. Dia tahu, itulah amanah Allah padanya. Sesibuk atau seletih mana pun, sebagai seorang doktor, Maria tetap mengukir senyuman kepada pesakit-pesakitnya. Masa rehat sekalipun, dia akan melawat wad atau dihabiskan sedikit waktu untuk membaca Al-Quran . Bagi Maria, mukjizat Al-Quran itu bukan saja boleh menenangkan jiwa sesiapa membaca atau mendengarnya, tetapi mampu menyembuhkan penyakit yang dihidapi oleh pesakit-pesakitnya dengan izin Allah. Melawat wad kanak-kanak, tidak pernah rasa bosan baginya. Bagi Maria, melihat wajah-wajah comel mereka mampu memberi ketenangan dan menyejukkan jiwa. Suara tangis kanak-kanak memaksa hatinya untuk memujuk mereka. Melihat muka-muka mereka menderita, timbul rasa simpati dalam dirinya. Selalu bermain di fikirannya, untuk memiliki anak-anak comel seperti mereka. Sudah lama dia menantikan untuk bergelar ibu tetapi belum tiba masanya dia menjadi seorang isteri kepada seseorang. Dia yakin sekali Allah pasti akan mengurniakan suami soleh yang didambakannya kelak. Oleh sebab itu, dia tidak putus-putus berdoa. Langkah kakinya menuju ke bilik-bilik sakit di wad pesakit jantung. Sunyi sekali. Dia melangkah masuk ke dalam memerhatikan pesakit yang baru dipindahkan dari Hospital Kuala Lumpur tadi. Kata rakannya di unit jantung, Dr Bahtiar pesakit mengalami kecacatan septum ventrikel. Itulah yang dialami oleh kanak-kanak kecil di hadapannya kini. “Ya Allah.. dia terlalu kecil …mengapa diuji berat sebegini,”getus hatinya. Wajah mulus kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun itu diperhatikannya. Dia masih terbaring lesu tanpa ditemani sesiapa. Tertulis di hujung katilnya, MARDHIYA QISTINA MUZAMMIL..nama yang sangat comel, secomel orangnya. Ingin saja dia memeluk kanak-kanak itu. Andai aku adalah ibunya, pasti aku sentiasa menemaninya dalam keadaan begini. Rasa simpatinya menebal. Maria tahu waktu pembedahan jantungnya dalam masa terdekat ini, menurut kata Dr Bahtiar tadi. Pintu terkuak dan seorang wanita lewat 60an masuk. Maria sedikit terkejut, namun terus dia melemparkan senyuman dan memberi salam. Wanita tua itu membalas senyumannya walaupun agak tawar sambil memandang pada wajah comel itu. Tiba- tiba saja wanita tua itu menitiskan air mata lantas bersuara. “ Hati makcik kadang-kadang tak tahan melihat wajahnya saat dia tidur macam ni. Makcik takut kalau dia terus tidur dan meninggalkan makcik. Makcik takde anak perempuan, dan makcik tak nak lagi kehilangan cucu perempuan. Tolong makcik, nak. Walaupun dia masih kecil, dia budak yang bijak, dan sangat baik. Walaupun ibu dia tinggalkan dia, dia tak pernah bertanyakan ibunya…dia tak pernah susahkan ayahnya yang sibuk. Dia betul-betul menjaga hati papa dan neneknya. Tolonglah doktor, makcik tak nak kehilangan dia ,”. Air mata Puan Nuraini semakin laju membasahi pipinya. Maria agak faham hati dan perasaan seorang nenek terhadap cucu perempuan tunggalnya. Sememangnya anak ini terlalu tabah, dan kini Allah mengujinya lagi. “Sabarlah makcik..saya mungkin tak berada di tempat makcik tapi saya faham apa yang makcik hadapi sekarang..banyakkanlah berdoa makcik. Kami di sini akan berusaha sedaya upaya..selebihnya, itu adalah hak Allah, mohonlah pertolongan padaNya agar dia dapat diselamatkan.” Maria mendekati dan memeluk bahu wanita itu. “Insyaalah.Terima kasih doktor. Jarang dapat jumpa doktor seperti kamu, nak. Anak makcik, ayah Mardhiya ni pun doktor, tapi sekarang bukak klinik sendiri. Katanya, hospital ni terbaik dalam rawatan jantung, jadi terus Dhiya ditukarkan ke sini. Tapi, memang makcik ni kurang sabar sikit bila berhadapan dengan ujian agaknya. Mak cik kagum lihat anak lelaki makcik..pelbagai ujian yang dia terima, dia nampak sabar..tenang sekali walaupun makcik tahu, dia sering menitiskan air mata di masjid. Dulu, isterinya nak pergi tinggalkan dia dengan anak dia, dia tenang lepaskan..walaupun makcik tahu hatinya perit. Kini, anaknya pula menderita. Tapi, anaknya pun sama, ikut sabar dan tabah macam papanya. Kalau makcik tahu nak jadi macam ni, makcik tak kasi dia kawin dengan mat saleh tu dulu. Astaghfirullahalazim… maafkan makcik, nak. Makcik tak sepatutnya makcik luahkan masalah makcik pada kamu. ” " Tak apa lah makcik..saya faham perasaan makcik. Kadangkala bila luahkan apa yang terpendam di hati..kita akan rasa lebih ringan dan insyaalah tenang, jadi, makcik jangan malu dengan saya.,” Maria mengukir senyuman walau dalam hatinya kembali memikirkan masalah yang diungkit ibunya siang tadi. * * * * * * * * * * * * “Macam mana dengan Dhiya kat sana, Ummi?” Puan Nuraini tidak segera menjawab. Dia menghenyakkan tubuhnya ke sofa, mendekati anak lelakinya. “Macam biasa la Mil. Petang tadi dia tidur je masa ummi pegi. Ummi hairan la Christina takkan tak ingat langsung kat anak dia ni? Anak tengah sakit camni taknak jenguk langsung! Ummi tak faham betul dengan dia tu!”. Wajah Puan Nuraini sedikit berubah. “Ummi jangan cakap macam tu. Dia bukan tak nak ke sini, cuma dia takut ummi dan Dhiya lagi terluka. Walaupun dia dah balik ke agama asalnya, dia tetap ibu kandung Dhiya. Pasti dia juga rindu Dhiya. Dah takdir yang hidayah tak betul-betul sampai ke dalam hatinya, atau mungkin salah saya yang tak berjaya didik dia jadi muslim sebenar. Jadi, Ummi janganlah terlalu membenci dia lagi dan tolonglah jangan ungkit lagi pasal ni.” Muzammil menjawab tenang. Selepas menyalami ibunya, dia segera berangkat untuk menjenguk anaknya di hospital. Janjinya pada diri sendiri, sesibuk macam manapun dirinya, pasti dia akan mencari masa untuk Dhiya, dan mendengar tasmi’ hafalan Dhiya. Baginya, dia mahu Dhiya mengenal Penciptanya dahulu melalui sentuhan al-Quran di hatinya yang bersih. Dialah mama, dialah papa kepada Dhiya sekarang. Barang-barang kesayangan Dhiya dibawa bersama untuk menemani dia sewaktu di hospital. Antaranya, buku ‘Fairy tales’ yang dibeli di Ireland oleh bekas isterinya semasa Dhiya berumur 1 tahun dan… mafela kesayangannya yang kini menjadi barang kesayangan Dhiya. Mafela yang sangat istimewa buat dirinya. Mafela yang sentiasa menyelimuti lehernya semasa menuntut di Ireland dahulu. Mafela yang menemani Dhiya selepas ditinggalkan ibunya. Mafela yang mengingatkan Dhiya tentang dirinya. Mafela pemberian seorang gadis yang betul-betul mencintainya suatu ketika dahulu! Maria masuk setelah memberi salam. Kelihatan anak comel itu tersenyum manis padanya sambil menjawab salam. “Doktor suka tengok Dhiya ceria pagi-pagi ni. Bertuah nenek dapat cucu macam Dhiya, cantik dan pandai!” Pujian Maria membuatkan Dhiya tersengih lebar. Seketika Dhiya diperiksa dan jantungnya kelihatan masih berfungsi normal. “Doktor nak dengar tak Dhiya hafal surah Al-Waqiah? Dengar Dhiya baca ye,” sambil memperbetulkan jubahnya dan duduk, Maria memperhatikan bacaan Dhiya. Sememangnya, bacaannya baik sekali dengan makhrajnya yang jelas. Hatinya berbisik, alangkah bagusnya sekiranya dia miliki anak seperti Dhiya, baru sahaja 4 tahun umurnya, tapi sudah berjaya menghafal surah Al-Waqiah, Al-Rahman dan surah-surah pendek dalam juz Amma, seperti kata neneknya. Sekiranya dia miliki anak kelak sudah pasti akan dididiknya seperti Dhiya. Dia sudah pasti ingin lahirkan zuriat yang comel, soleh dan solehah mengikut acuan Al-Quran.. tapi,sudah pasti dia perlukan seorang suami yang benar-benar boleh membentuk diri dan anak-anaknya dengan akhlak Islami. Bukan dia terlalu memilih atau memandang dirinya sempurna dalam memilih calon suaminya..tidak sama sekali. Tetapi, itulah keluarga yang diidaminya…keluarga yang dipenuhi dengan limpah mahabbah wal rahmah oleh Allah s.w.t, dan melahirkan generasi soleh setanding Salahuddin Al-Ayubi, Al-Biruni, Al-Khwarizmi, Ibnu Sina, Umar al-Khattab dan generasi solehah, seperti Aisyah r,a, Fatimah az-Zahra, Khadijah dan Sumaiyyah. Itulah yang dipintanya di dalam doa setiap hari. Fikirannya kembali menuju kepada Dhiya tatkala kanak-kanak itu menghabiskan bacaannya. “Subhanallah. Bagus sekali bacaan Dhiya. Doktor kagum sangat dengan Dhiya, dan..Allah juga pasti sangat sayang pada Dhiya. Siapa yang ajar Dhiya hafal Quran?” “Papa. Papa kata Allah sayang pada orang yang selalu baca Quran. So..Dhiya pun nak Allah sayang Dhiya jugak. Semalam pun papa datang ajar Dhiya.. pastu dia bagi chocolate 'kisses' sebab Dhiya dah ingat surah Al-Waqiah,”.Bibirnya mengukir senyuman bangga. Tidak dinafikan, hati Maria tertanam sedikit kagum pada papa Dhiya itu. Maria mendekati Dhiya sambil mengelus-ngelus rambut perangnya. Semasa memegang tangan Dhiya, matanya tertancap pada sesuatu yang dipegang oleh Dhiya. Ia betul-betul kelihatan sama. Dia segera memohon untuk beredar! Entah kenapa hatinya terusik apabila memandang barang yang dipegang oleh Dhiya tadi. Maria menangis! “Kenapa kau harus menangis?? Mungkin ia kelihatan sama tapi ….ia memang sama! Atau kau marah pada diri sendiri sebab barang tu menyebabkan kau kembali ingat pada dia? Orang yang pertama telah kau jatuh cinta..? Atau kau ingin usirnya dari fikiran takut cintamu pada orang yang bukan jodohmu??” hatinya berkata-kata pada dirinya sendiri. “Ya Allah..aku pernah mencintainya dan merinduinya. Aku tak pasti…aku mencintai kerana apa atau kerana akhlak dan pekertinya. Ampunkanlah aku sekiranya ini membawa dosa kerana hatiku kembali mengingati seseorang yang aku tak pasti di mana atau tak mungkin ku milikinya jika dia bukan jodohku,” Air matanya menitis lagi. Dia yakin sekali lelaki itu mungkin kini sudah berumahtangga dan mengecapi kebahagiaan yang indah. * * * * * * * * * * * * Suara azan Asar telah berkumandang dari surau An-Nur, Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud. Sungguh gemersik dan syahdu. Dia tahu, suara itu selalu diminatinya, iaitu suara yang sama membaca al-Quran sebelum solat Maghrib semalam. Entah kenapa dia jatuh hati pada suara itu. Sering dia bertanya pada Anis, rakan sebiliknya tentang pemilik suara itu. Kata Anis, dia senior mereka di tingkatan 5 Alpha. Orangnya tinggi,berkulit sawo matang dan rakan-rakan memanggilnya Najmi. Tetapi, tetap dia tidak dapat meneka yang mana satu orangnya. Manakan tidak, wajah dan nama semua pelajar lelaki tingkatan 3 pada masa itu pun tidak dapat diingatnya, inikan pula pelajar tingkatan 5. Sememangnya matanya jarang memandang lelaki, apatah lagi bercakap dengan lelaki. Walaupun hanya di sekolah sains biasa, dia gembira kerana sekolah itu menekankan aspek keagamaan terhadap pelajarnya. Melalui program usrah muslimat yang diketuai oleh kak Fauzana, Maria mula mempelajari ilmu agama secara mendalam. Dia bersyukur kerana rahmat Allah sentiasa bersamanya. Semakin hari dia dapat rasakan perasaan aneh dalam dirinya. Semakin lama dia mendengar suara itu, hatinya semakin jatuh cinta pada suara itu. Segera dia beristighfar kerana bimbang hatinya terleka dari Allah. “Aku rasa kan Maria, kau ni bukan saja dah jatuh cinta pada suara abang Najmi tu, tapi juga orangnya kan?” gurau Anis padanya. Dia hanya menidakkannya dan mengatakan tumpuannya kini pada pelajaran. Pernah dia menemani Kak Fauzana ke bilik pengurusan badan dakwah semasa menjadi AJK Sambutan Maulidur Rasul dulu, dan ketika itu dia mula mengenali wajah orangnya. Sememangnya wajahnya cukup tenang. Ketika itu mereka berkerjasama dalam kumpulan untuk menjayakan program tersebut, secara tak langsung Najmi mengetahui nama panggilannya..Maria. Namun, cukuplah masa itu sahaja, sesama mereka berdua juga tidak pernah bersapa. Cukup hanya semasa mengutarakan idea semasa perbincangan umum. Bagi Maria, batas pergaulan harus dijaga, sekiranya tiada urusan penting..tiada guna dia bersapa mesra dengan lelaki bukan mahramnya.. walaupun ternyata hatinya mengidami pendamping soleh seperti Najmi suatu masa kelak.. Dia masih ingat kata Kak Fauzana.. “Kita kini hanyalah seorang pelajar. Dan tanggungjawab kita adalah belajar dan rasa cinta dan sayang kita haruslah pada Allah, rasul serta ibu bapa kita. Buat masa ini, cinta kita bukan lagi untuk lelaki kerana mereka tak berhak dicintai selagi mereka belum bergelar suami kita. Namun, sekiranya perasaan cinta itu tetap datang, Islam menyuruh kita supaya bernikah untuk mengelakkan daripada zina dan fitnah. Jika itu tidak dapat dilakukan lagi kerana kita masih seorang pelajar, harus kita elakkan daripada timbul rasa cinta dan syahwat”. Maria memilih untuk membuang perasaan itu, walaupun ternyata nama itu tersimpan jauh dalam lubuk hatinya. ********* Assalamualaika ya akhi…Najmi, Maaf kiranya saudara agak terkejut dengan kedatangan surat ini. Saya kagum dengan sikap saudara, suara saudara mengalunkan ayat-ayat Allah selama di Sekolah Menengah Sains. Maafkan saya..harus saya akui, saya juga hanya insan biasa yang tak mampu melawan fitrah di hati ini.. saudara muslimin yang baik, saya doakan agar saudara sentiasa dilimpahi rahmatNya Saya tahu ini bukan masanya kita bercakap tentang ini, soal hati dan perasaan. Saya yakin Allah beserta dengan orang yang sabar dan Allah sedang menguji hati saya ketika ini. Anggaplah hadiah pemberian saya tanda ucapan tahniah dari saya sempena melanjutkan pelajaran ke oversea.Iinsyallah, perasaan ini akan hilang bersama pemberian saya kepada saudara. Terimalah dengan ikhlas.Maat taufiq wa najjah M.Qibtiah Muzammil kembali teringat isi surat ringkas yang diterimanya sebelum dia berangkat ke Ireland. Surat yang disisipkan pada mafela biru tua yang dikaitkan nama..NAJMI. Bungkusan itu diterima melalui seorang rakan yang juga tidak tahu dari siapa. Dia memang dapat rasakan gadis itu mencintainya. Memang ramai yang dikenali meminatinya dahulu tapi tidak satu pun yang dilayannya. Tapi gadis ini cukup berbeza, terlalu ‘low profile’ sehingga orangnya pun dia tak tahu siapa. Biasanya, mereka akan memberi nombor telefon lah, e-mel lah.. tapi satu pun dia tak pernah contact balik. Baginya pada masa itu bukanlah waktu mengejar cinta tapi cita-citanya sebagai doktor menjadi keutamaan. Selepas menamatkan MBBSnya di Ireland, Muzammil berhasrat untuk bertugas di sana untuk menimba pengalaman. Tidak disangka-sangka, anak pemilik rumah yang disewanya sangat mencintainya. Christina James namanya. Minatnya terhadap Islam memungkinkan Muzammil untuk berdakwah dan menariknya untuk memeluk Islam. Jadi, dia berkeputusan menikahinya.Tetapi, hampir dua tahun berkahwin, Christina ternyata tidak dapat menyesuaikan diri dengan agama barunya. Paling menyedihkan, sedikit kata-kata Muzammil tidak lagi diambil peduli. Muzammil mula faham, Christina hanya menunjukkan minat pada Islam semasa ingin mendapatkannya dahulu. Dia yang bersikap keanak-anakan itu, kembali meneguk arak semasa Muzammil sibuk di hospital. Akhirnya, Muzammil terpaksa menceraikannya setelah Christina memutuskan untuk bersama lelaki lain dan ingin kembali ke agama asal. Dengan penuh kepiluan, dia pulang ke tanah air setelah berjaya menuntut anaknya, Mardhiya Qistina…itulah permata hatinya kini, diberi nama mengikut huruf pangkal nama gadis yang tidak dikenali, yang tulus mencintainya dahulu… * * * * * * * * * * * * Maria menyapa Dr Bahtiar yang melewati di luar wad yang dilawat olehnya. Dia juga berasa hairan kerana terlalu menyayangi dan mengambil berat terhadap anak itu. Lantas menyebabkan dia sedikit risau. “ Kami dah bincang tentang penyakit dia berdasarkan penelitian diagnosis.Bayangan gelombang jantungnya menunjukkan dia menghidapi sakit jantung secara semulajadi. Pada mulanya saya sangka ia bahaya. Tapi, persen pengaliran darahnya 25% sahaja, sedangkan pembedahan biasa memerlukan 30% atau ke atas. Juga tiada kemunculan tekanan darah pada paru-paru, menunjukkan tiada tanda bahaya.Walaupun pembedahan dilakukan, keadaan badannya yang kecil dan lemah memungkinkan adanya komplikasi lain. Jadi, asalkan mendapat rawatan susulan di bawah jabatan perubatan, ia akan pulih secara perlahan-lahan semasa pesakit membesar,” kata doktor bedah utama pembedahan Dhiya itu. Ditunjukkan kepada Maria hasil diagnosis untuk dipastikannya sendiri. “Alhamdulillah, anak kecil itu tidak perlu dibedah,”hatinya melafazkan kata syukur. Laporan perubatan Dhiya di tangan Dr Bahtiar diteliti oleh Maria. Nama penuh Dhiya ditelitinya berkali-kali. MARDHIYA QISTINA BINTI MUZAMMIL NAJMI. Najmi.. Mungkinkah nama Najmi ialah Muzammil Najmi?? Maria terkesima. * * * * * * * * * * * “Mil pernah jumpa doktor perempuan yang kadang-kadang ada datang melawat Dhiya tak?” Puan Nuraini tiba-tiba bersuara setelah lama menyepi di dalam kereta. Dia dalam perjalanan ke hospital semula bersama anaknya setelah pulang sebentar pada pagi itu untuk memasak bubur kegemaran Dhiya. “Tak ada la Mi. Saya selalu jumpa kawan saya, Dr Bahtiar je. Kenapa?” “Manis sangat orangnya….macam nama tuannya, Dr Maria Qibtiah. Dia selalu pakai jubah. Orangnya masih bujang lagi Mil, hari tu mak tanya.Takkan Mil tak pernah jumpa?” Muzammil terkesima mendengar nama itu. Maria Qibtiah. M Qibtiah. Dia cuba memastikan dari ibunya. “Dia pernah tanya pasal Mil tak, Mi?” “Takde pun. Ummi pernah cerita pun pasal anak Ummi pun doktor dan pasal Dhiya.tu je.Kenapa Mil kenal dia ke?” “Entah la..”Jawab Muzammil acuh tak acuh.Fikirannya masih memikirkan soal tadi, dan hatinya dapat mengagak sesuatu. “Eh, pelik pula jawapan budak ni,”.Puan Nuraini mengerutkan dahi tanda hairan. * * * * * * * * * * * * Susuk tubuh berkot putih itu masih di tepi Dhiya yang masih tidur. Dia kini memegang mafela di tangan Dhiya, diperhatikannya…dan di tepinya, tertulis nama NAJMI. Maria menangis lagi. Dia menangis lagi, marah kepada diri sendiri kerana masih mencintai lelaki itu walaupun sudah bertahun-tahun berlalu, hatinya tetap menafikan. Dia terlalu mengidami lelaki sesoleh Najmi sejak dahulu lagi. Dia tahu, Najmi mungkin tidak tahu sama sekali tentang dirinya.. dan dialah pemberi mafela itu. “Mustahil dia mencintaiku, bahkan tidak akan memandang diriku. Sedangkan tentang diri aku pun dia tak tahu. Pemberianku mungkin dianggap seperti dari sesiapa saja dikenalinya. Astaghfirullahalazim..maafkan aku ya Allah kiranya aku berfikir bukan-bukan,” “Doktor ada di sini rupanya” Puan Nuraini segera mendekatinya selepas menutup pintu. Segera dilapkan air matanya dan memberi ruang untuk Puan Nuraini duduk. Dia memohon untuk pergi dengan alasan mempunyai urusan lain, khuatir perasaannya diketahui oleh orang tua itu. Belum sempat dia membuka pintu,, sesusuk tubuh sasa dan tinggi lampai masuk…dan Maria memandang wajahnya. Mereka saling berpandangan. Namun, segera wajahnya ditunduk. Dia masih dapat mengecam wajah itu,wajah lelaki yang pernah dicintainya tak banyak berbeza…hanya sedikit berkumis. Dipaksa dirinya untuk senyum dan segera dia mengatur langkah untuk keluar. Rasa kaget bercampur malu kini menyelubungi hatinya. Dia tak pasti, lelaki itu mengenalinya atau tidak. Muzammil tahu, itulah Maria yang pernah dikenalinya, pelajar tingkatan 3 dahulu yang pernah mencuri hatinya. Namun, dia tidak pernah menganggap dirinya setanding untuk gadis sebaik dan sesolehah Maria. Sekarang, Muzammil pasti, dialah Maria…Maria Qibtiah, dan kini sudah jelas, gadis yang dicintainya dulu rupa-rupanya mencintainya..Dia pasti tidak berdiam diri lagi, kerana dia yakin tidak bertepuk sebelah tangan.. “Maria, tunggu dulu!” Maria berhenti tanpa membalikkan tubuhnya kearah Muzammil. “Saya tahu awak masih kenal saya. Saya Najmi..Muzammil Najmi yang awak pernah kenali dahulu. Kenapa awak lari dari saya….awak takut saya tahu yang awak bagi mafela tu? Atau awak takut jatuh cinta pada saya lagi? Maaf, saya tak tahu nama penuh awak Maria Qibtiah..ibu saya dah beritahu saya tentang awak. Saya tahu saya ada peluang kali ni. Saya tahu apa tersirat di hati awak, Sekiranya awak sudi…dan Allah izinkan, kita segera taaruf dan saya akan melamar awak.” Maria memejamkan matanya. Air mata syukurnya gugur ke bumi. * * * * * * * * * * * * Majlis berjalan dengan lancar. Suasana agak sunyi selepas ramai tetamu sudah pulang. Maria menitiskan air mata lagi…air mata kesyukuran ke hadrat illahi. Dia tahu, Allah menyayanginya,memelihara kesuciannya sehingga dia bertemu kembali dan diijabkabul dengan lelaki yang dicintainya kerana Allah. Rahmat dari Tuhan iyang dilimpahkan sangat dirasainya kerana kini memiliki suami soleh dan sekaligus anak solehah seperti Dhiya. “Sayang, kenapa menangis ni?”Muzammil mendekatinya. “Terima kasih abang…kerana menikahi Maria”. Air matanya jatuh perlahan-lahan. “Kenapa cakap macam ni.?Abang nikahi Maria kerana mencintaimu kerana Allah, dan Maria isteri solehah yang abang idamkan. Abang sepatutnya berterima kasih pada Dhiya yang sanggup menerima abang dan Dhiya.Abang cintaimu selama-lamanya..Insyallah,Doakan agar Allah sentiasa mencurahkan rahmahNya kepada kita.” Kelihatan Dhiya mengintai mereka dari tepi pintu kamarnya. Dia beransur sihat kini di bawah jagaan Maria yang kini bekerja bersama suaminya di Muzammil Medical Centre. Cepat-cepat Maria meleraikan pelukan suaminya itu. Dhiya meluru masuk memeluk ibu barunya.. “Papa, papa kena tidur kat rumah ibu ke malam ni? Boleh Dhiya tidur sama ngan ibu dan papa tak? ” soal Dhiya sambil tersengih. Maria tersenyum menantikan jawapan Muzammil. Agak lama menantikan sebelum Muzammil menjawab. “ Malam esok boleh kan sayang?Malam esok balik rumah kita nanti , papa janji kita tidur sama-sama ok,” jawab Muzammil memerhatikan reaksi puterinya. “Ibu pun janji!” Maria menambah. “Tapi mana papa letak mafela Dhiya ye?” “Oh.. ada kat bilik papa. Nanti Dhiya ambik kat bilik papa ye sayang,” Muzammil menjawab sambil tersenyum. Dia faham Dhiya selalunya tidak boleh tidur tanpa mafela itu. Mafela itu seolah-olah pengganti dirinya semasa ketiadaannya. Memang tidak hairan Dhiya begitu sayangkan mafela itu. “Alright,papa.Good night papa! Good night ibu!” Dhiya tersenyum tanda setuju lalu keluar setelah bersalam dan mencium pipi papa dan ibunya. “Kenapa ada kat bilik abang? Mafela tu kan dah jadi Dhiya punya?” Maria sengaja bertanya. “Semalam Dhiya tidur kat bilik abang. Jadi, ada kat bilik abang lah. Tapi, walaupun abang bagi pada Dhiya, ia tetap mafela kesayangan abang… sebab ia dari seseorang yang abang cintai tanpa abang sedari. Dan sekarang …abang dah milikinya,” kata-kata Muzammil menyebabkan Maria tersentuh. Dia tertunduk malu. “Kesian pulak kat Dhiya, tak boleh tidur dengan abang malam ni.” Maria cuba mengalih topik. “Habis tu, sayang tak kesiankan abang?” Maria faham maksud kata-kata Muzammil itu. Malam itu sememangnya milik mereka berdua. Malam yang indah yang mereka sinari dengan cahaya ibadah cinta dalam hubungan mahabbah yang suci dan diredhai olehNya. -layyinul qalbi-