Thursday, July 30, 2009

mari membaca....

assalamualaikum...
alhamdulillah hari ini baru aku ade kesempatan untuk menulis semula setelah sekian lama menyepi,lagipun arini di ofis xramai orang sangat yg datang jadi banyakla masa utk aku cari maklumat yg berguna.pagi td ade kelas tafaqquh oleh dr.zulkifli dr usim.satu pengajian dan pengisian yg amat baik yg aku rasekan.tetapi aku xdpt nk join sepenuhnya,bila datang td sempat la 10 minit sebelum abis,terkilan jugak tp terubat jugak dgn kitab yg di tawarkan yg bertajuk "ahasinul kalimi" yg bermaksud mutiara kata yg indah.dan kitab ini merupakan syarah kepada kitab alhikam yg mana satu kitab turath yg sangat bermanfaat untuk kita baca dan hayati.sape yg berminat leh cntc aku,aku leh tlg belikan.kitab terjemahan n senang di fahami.berbalik tajuk diatas n sempena bulan membaca negeri selangor,jd aku mengajakla diri aku sendri yg agak malas membaca ni huhu serta kawan2 supaya lebih banyak membaca n mulakan pembacaan walaupun sedikit.byk sbnrnya manfaat.seperti kata2 al-jahizh yg dipetik dr buku "la tahzan" buku adalah teman yg tidak akan memujimu dengan berlebihan, sahabat yg tidak akan menipu dan teman yg tidak membuatmu bosan.buku adalah sst apabila dilihat akan memberikan kenikmatan,menajamkan kemampuan intelektual,melancarkan lidahdan mengindahkan lafaz.....
jadi ape lg,kt pkns shah alam ade pesta buku,pegi sana beli n baca tambah ilmu k =)

Tuesday, July 28, 2009

sekadar renungan....

Diceritakan kepada Sokrates, “Penduduk kota menertawaimu.” Dia menjawab, “Semoga tawa mereka itu semakin menyempurnakan diriku.”

Ada seorang raja yang berkata kepada Sokrates,”Apa yang membuatmu tidak mau menghadapku padahal engkau adalah budakku?” Sokrates menjawab,”Jika engkau jujur kepada dirimu, engkau pasti mengerti bahwa aku bukanlah budakmu.” Raja bertanya, “Bagaimana bisa begitu?” Sokrates menjawab, “Pernahkah engkau mengetahui bahwa diriku melakukan sesuatu atas dasar dorongan nafsu dan marah?” Raja menjawab, “Tidak.” Sokrates bertanya lagi, “Pernahkah engkau begitu?” Raja itu menjawab, “Pernah.” Sokrates berkata, “Saya menguasai nafsu dan marah, sementara keduanya menguasaimu. Jadi engkau adalah Budak dari budakku.”

Lalat mencari dan menempel pada tempat-tempat kotor dan menjauhi tempat-tempat yang sehat. Begitu juga orang-orang yang jahat. Mereka mencari kejelekan-kejelekan orang lain lalu menyebarkannya dan menyembunyikan kebaikan-kebaikan orang lain dan tidak mau menyebutkannya.

- Sokrates -

Monday, July 20, 2009

Awak Sudi Jadi Isteri Kedua Saya?


"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tegas dan yakin.

Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fulanah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Syazni liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… " Fulanah mula sebak.

"Tak. Maksud saya…"

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fulanah dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fulanah semakin tinggi, setinggi egonya.

Syazni diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fulanah' di sebalik Fulanah yang dia kenal selama ini. Fulanah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Syazni seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Syazni muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Syazni, sekecil pandangannya terhadap Fulanah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Syazni sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Syazni berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Syazni dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama.

Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fulanah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Syazni. Bagi Fulanah, Syazni seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Syazni melamarnya menjadi isteri kedua. Syazni masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fulanah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fulanah, namun sikap Fulanah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Syazni tersebut.

Bagi Fulanah, Syazni tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Syazni berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Syazni semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Syazni – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Syazni.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Syazni dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Syazni sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Syazni menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fulanah atau tidak? Syazni bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Syazni berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya.

Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Syazni mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fulanah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tanpa segan silu.

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.

"Er, betul ke ni?" tergagap Syazni menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Syazni.


"Kenapa saya?" tanya Syazni ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Syazni tersenyum.

Akhirnya, Syazni dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Syazni terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Syazni semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Syazni membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Syazni. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Syazni sambil memandu.

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Syazni menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Syazni dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Syazni yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Syazni aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Syazni membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.

Syazni berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Syazni menuding jari ke arah khemah tersebut

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Syazni.

"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.

Syazni tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"PERJUANGAN, " jawab Syazni.

***************

Sedarlah semua wahai muslimah serikandi dan perwira Islam ... kalian akan dimadukan!

Jika dirimu bakal seorang isteri…

Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri kedua kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!

Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan…

Kehadiran dirimu adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan islam bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu. Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga diri \mu dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan islam!

Jika dirimu bakal seorang suami…

Terimalah bahawa anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu! Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya, kerana suami yang pertama baginya ialah perjuangan islam dan memartabatkannya.

Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai islam dan memperjuangkan islam. Jika dirimu tidak sedemikian, sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu…

Bantulah isterimu atau suamimu dan kuatkanlah dia untuk meneruskan perjuangan islam ke serata dunia!!Takbir ! Allahuakbar!


Layakkah Kita Bergelar Saudara?

“Umi!!!!” Khalid menjerit nyaring.

Sebaris rumah baru sahaja dihancurkan oleh jentolak di hadapan matanya. Khalid yang bersembunyi di sebalik batu-batu yang ada hampir sahaja menjerit ketakutan, mujur suaranya itu tersekat di kerongkong sehinggalah tentera-tentera kejam itu berlalu pergi. Jika tidak, entahkan hidup entahkan tidak lagi dirinya di muka bumi ini.

“Umi!!!” Khalid menjerit lagi.

Kanak-kanak berusia 6 tahun itu berlari-lari di atas serpihan batu-bata, terpaksa memungkinkan bahawa ibunya ada di situ.Cuaca yang panas terik tidak memberhentikan kakinya daripada terus melangkah, berlari ke segenap penjuru mencari insan yang paling dikasihinya.

“Khalid.. Khalid anak umi…” Suara lembut itu membuatkan kepala Khalid menoleh ke arah sisinya.

Wajahnya yang dibasahi peluh tersenyum senang melihat kehadiran Nur Laili, satu-satunya ahli keluarganya yang masih hidup pada saat itu. Khalid berlari ke arah Nur Laili, Nur Laili mendakapnya senang.

“Umi, Khalid ingat umi dah tinggalkan Khalid macam abi...”

* * *

“Khalid... Mari cepat pergi masjid, sekejap lagi azan ni!” Kedengaran suara Salman Al-Farisi memanggil dari luar rumah.

Khalid yang baru sahaja keluar dari bilik air terkedek-kedek lari mendapatkan bapanya.

“Umi, Khalid pergi dulu..” ucapnya seraya melangkah pergi.

“Abi, kenapa kita kena solat kat masjid? Umi tak pergi masjid pun abi...” Khalid bertanya.

Matanya yang bening memandang tepat ke dalam anak mata Salman Al-Farisi. Salman Al-Farisi menarik nafas panjang.

“Kita kan orang Islam sayang, kita lelaki, lelaki kuat, jadi kena solat kat masjid. Umi tak apa solat kat rumah. Lagipun, bila ramai-ramai orang Islam berkumpul kat masjid, orang kafir pun akan gerun, nampaklah orang Islam ni bersatu, bila bersatu,kita kuat kan sayang?”

Salman Al-Farisi cuba menerangkan seringkas mungkin buat kanak-kanak berusia 6 tahun itu.

“Tapi abi....”

“Kenapa Khalid?”

“Kenapa dulu masjid kosong je.. Sekarang ni baru nampak penuh... Bukankah sekarang ni banyak tentera, kat setiap penjuru ada tentera, dulu tak ada tentera kenapa orang tak sibuk ke masjid?” Penuh ketulusan suara itu bertanya.

Salman Al-Farisi termenung jauh. Tangannya yang memimpin tangan Khalid digenggam seerat mungkin. Bagaimanakah cara terbaik untuknya menerangkan keadaan ummah pada masa kini kepada kanak-kanak sekecil Khalid.

“Khalid... Kalau Khalid dapat apa yang Khalid nak, tapi Khalid degil, tak mahu dengar cakap abi. Tiba-tiba satu hari semua tu abi ambil balik , Khalid hidup susah, baru Khalid rasa betapa bermaknanya kesenangan yang lalu kan?”

Khalid angguk.

“Macam tu jugalah keadaan sekarang ni. Dulu, Allah bagi nikmat banyak sangat. Tapi manusia tak mahu bersyukur malah manusia tak nak dengar cakap Allah. Sekarang ni,bila dah susah baru semua tahu betapa pentingnya sesuatu arahan Allah. Mustahil arahan daripadaNya itu sia-sia.”

“Abi, Khalid tak mahu lawan cakap Allah!” Khalid bersemangat.

“Ye sayang, Khalid kena jadi macam Khalid Al-Walid. Dia seorang panglima perang yang hebat, dia tak pernah gentar dalam mempertahankan Agama Islam bahkan dia rela mati di jalan Allah” Bersemangat Salman Al-Farisi memberi kekuatan buat si anak kecil.

Satu-satunya anak yang masih tinggal untuk bersama-samanya berjuang di jalan Allah.

“Macam abang-abang?” Khalid bertanya lagi.

Terlalu perit kenangan yang lalu itu untuk dikenang. Anak-anaknya semua berjumlah 5 orang. Kelima-limanya adalah lelaki dan 4 orang daripadanya telah pun syahid di jalan Allah. Biarpun perit, namun Salman Al-Farisi tetap bersyukur kerana mempunyai anak-anak yang bergelar mujahid fi sabilillah!

“Abi.....”

Khalid mula menyorok di belakang Salman Al-Farisi. Lamunan Salman Al-Farisi terhenti. Matanya tertancap,melihat objek-objek yang bergerak di hadapannya. Kelihatan beberapa orang tentera berlegar-legar dengan senapang di sisi. Salman Al-Farisi memandang Khalid di sisi yang ketakutan.

"Allah... lindungilah anak yang tidak berdosa ini.."

Salman Al-Farisi mendukung tubuh kecil Khalid dan melangkah gagah menuju ke masjid yang berada beberapa langkah lagi di hadapannya. Khalid menangis semahunya di bahu abi tercinta.

* * *

Pom! Pom!

Bunyi ledakan peluru membantutkan konsentrasi seluruh jemaah yang sedang bersolat. Khalid terpaku melihat beberapa baris jemaah yang telah pun rebah ke bumi akibat ditembak ketika sedang bersolat. Sebentar sahaja, dan tentera-tentera kejam itu pun pergi meninggalkan mayat-mayat bergelimpangan di dalam masjid. Khalid mula tidak keruan. Di mindanya tergambar wajah abi tercinta. Khalid mundar-mandir. Satu persatu wajah para syuhada’ yang berada di lantai masjid di tatapnya. Dan...

“Abi!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!” Khalid meraung.

Wajah insan yang amat disayanginya berada di situ. Kepala Salman Al-Farisi berlubang ditembusi peluru. Darah yang berwarna merah pekat mengalir membasahi separuh mukanya.Mengerikan.

“Abi... Kenapa tinggalkan Khalid...”

Pandangan Khalid mulai kelam dan Khalid rebah di situ.

* * *

“Umi...” Khalid bersuara dalam sendunya yang masih berbaki.

Nur Laili yang asyik mengelamun tersentak.

“Ya sayang..” Tangan yang mampu menggoncang dunia itu mengusap lembut kepala Khalid. Penuh kasih.

“Kenapa negara Islam yang lain tak bantu kita?”

Nur Laili terdiam, terpegun dengan pertanyaan si anak kecil yang dimatangkan dengan kesusahan hidup, kengerian peperangan,melarat tanpa insan bergelar ayah di sisi.

“Mereka bantu sayang, mereka beri duit, makanan..”

“Tapi umi, Khalid nak senjata! Khalid nak lawan tentera-tentera yang zalim tu!” Nur Laili tersentak sekali lagi.

“Umi...” Perlahan, Khalid memanggil.

“Ya sayang...”

“Adakah mereka mendoakan kita?”

“Siapa?”

“Semua orang Islam. Orang Islam semua bersaudara, kan umi?” Nur Laili terdiam.

Kepetahan Khalid membuatkan jiwanya bergelora. Ya Allah, adakah kami berada dalam ingatan saudara-saudara kami yang sedang hidup dalam kesenangan sekarang?

“Umi...” Khalid memanggil lagi.

“Ya...”

“Tidak malukah mereka apabila ditanya di Padang Mahsyar nanti apa yang mereka telah lakukan untuk saudara mereka yang berada dalam kesusahan seperti kita?”

“Siapa?”

“Semua orang Islam. Orang Islam semua bersaudara, kan umi?”

Nur Laili diam.

“Umi..”


“Ya nak..”

“Apa yang telah mereka lakukan untuk kita?”


Khalid yang selesa berada dalam pelukan seorang wanita bergelar umi menggenggam erat tangan wanita solehah itu.

“Siapa?”

“Semua orang Islam. Orang Islam semua bersaudara, kan umi?”
Ayat yang sama diulang-ulang oleh anak kecil itu.

Mata Nur Laili mula digenangi air.

“Umi tidak tahu sayang...” Oh Allah... Masihkah kami layak bergelar saudara. Nur Laili berbicara dengan hatinya.

“Umi...”

“Ya sayang...”


Nur Laili mengucup penuh kasih dahi anak kecil itu. Khalid tidak seharusnya merasai suasana seperti ini, terlalu kejam buat dirinya.

“Umi... Abi pernah kata kalau perang, seharusnya mereka berperang dengan tentera sahaja, bukan orang awam macam kita. Betulkah umi?”

“Ya sayang..”


“Jadi mengapa kita digelar pengganas umi?”

Nur Laili tidak mampu lagi menahan air matanya daripada tumpah. Setitik demi setitik, dia tidak tahu mengapa mereka digelar pengganas. Mungkinkah faktor media massa atau apa? Itu semua dia tidak kisah tapi mengapa ada juga segelintir umat Islam yang mengatakan mereka pengganas? Tidakkah mereka tahu keadaan saudara mereka ketika ini.

“Kenapa umi menangis?”

Khalid yang merasa titisan air mata jatuh ke atas kepalanya lantas bangun dan mengelap air mata itu.

“Umi, di padang Mahsyar nanti, air mata ini bakal menjadi saksi buat saudara-saudara kita yang diam, membisu tanpa memberi bantuan,kan umi?”

Nur Laili angguk.

Pom!

Ledakan peluru itu tepat mengenai dada Nur Laili. Khalid terperanjat. Ini merupakan kali kedua insan kesayangannya rebah di hadapan matanya. Khalid menangis. Tangannya yang kecil menggoncang-goncang tubuh Nur Laili yang kaku. Sekejap sahaja, tangannya merah dibasahi darah umi tercinta.

“Umi, siapa lagi yang akan menerangi malam Khalid...”

Tentera-tentera kejam itu mara menghampiri Khalid. Senapang diacukan ke kepala kanak-kanak kecil itu. Khalid memandang dengan perasaan amarah kerana maruah dia dan keluarganya telah dirobek-robek. Dia tidak lagi gentar. Batu di sebelahnya di genggam kemas, dan..

“Aku mahu jadi seperti Khalid Al-Walid. Allahu akbar!!”

Khalid bangun dan melontar batu itu ke arah tentera yang hampir dengannya. Serentak dengan itu juga bunyi ledakan peluru kedengaran lagi,tepat menembusi kepala Khali.Khalid rebah di samping uminya.

“Umi.... Kita dapat jumpa abi dan abang-abang nanti...”

Dan mata Khalid terpejam jua, untuk selamanya.