Saturday, August 30, 2008

Puasa tarbiah jiwa taat, ikhlas lakukan ibadat

Ramadan bulan istimewa apabila setiap amalan dijanjikan ganjaran berlipat ganda

KEDATANGAN Ramadan memang ditunggu umat Islam dengan perasaan gembira. Namun, ada juga sebilangan kecil umat Islam yang berasa tidak selesa, gelisah dan ceria dengan kedatangan Ramadan kerana terpaksa menjalani ibadat puasa.

Bagi golongan kedua ini mereka berasakan satu beban berat kepada mereka dengan kehadiran Ramadan. Apa pun, suka atau tidak, Ramadan daripada perkiraan Islam cukup istimewa dan penuh dengan limpahan ganjaran pahala daripada Allah.

Kira-kira dua hari lagi Ramadan akan menjelma dan umat Islam diwajibkan berpuasa. Adalah berdosa bagi sesiapa yang sudah akil baligh, sama ada lelaki atau perempuan, jika tidak menunaikan ibadat puasa.

Andainya ada yang tidak berpuasa pada bulan itu sedangkan ia sudah akil baligh, maka ia hendaklah qada' (menggantikan) puasa yang ditinggalkannya pada Ramadan sebelum ini.

Ibadat puasa Ramadan dan puasa sunat pada bulan lain bertujuan melatih diri supaya menjadi orang yang murqarrabin (orang yang dekat dengan Allah). Puasa juga boleh menginsafkan diri bahawa kita ini adalah hamba Allah yang lemah di sisi-Nya.

Bagi orang berpuasa pada Ramadan dengan hati tulus ikhlas dan mengharapkan keampunan Allah, akan diampuni Allah dosanya yang lalu.

Berpuasa itu juga adalah sebagai tanda kita syukur dan terima kasih kepada Allah yang tidak putus memberi rezeki-Nya serta nikmat (kesihatan, keselamatan, ketenangan dan banyak lagi) yang tidak terhingga kepada kita selama ini.

Sesungguhnya Ramadan mempunyai kelebihan dan keistimewaannya jika dibandingkan dengan bulan lain dalam kalendar Islam.

Firman Allah yang bermaksud: "Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk perbezaan di antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan maka hendaklah ia berpuasa." - (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Siapa berpuasa bulan Ramadan dengan penuh keimanan, mengharap balasan daripada Allah, diampunkan baginya dosa yang telah lalu." - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain berpuasa melatih diri supaya bersifat sabar ketika berdepan dengan ujian, berpuasa juga menurut beberapa penyelidik ahli ilmu perubatan boleh menghindarkan penyakit dalam tubuh manusia. Demikian antara hikmah bagi orang yang berpuasa.

Menyentuh ibadat puasa ini, menurut Imam Al-Ghazali ada tiga tingkat puasa iaitu puasa umum, puasa istimewa dan puasa paling istimewa.

Puasa umum, ujar Imam al-Ghazali, ialah menghindarkan perut daripada makan, minum dan menahan anggota seks daripada memuaskan nafsu. Puasa istimewa pula ialah puasa yang dapat menghindar dan mengawasi pancaindera iaitu mata, telinga, lidah, tangan dan kaki daripada melakukan sebarang dosa.



Puasa paling istimewa, menurut Imam al-Ghazali, iaitu puasa yang ditambah lagi dengan puasa hati daripada semua keinginan yang rendah dan fikiran keduniaan. Inilah puasa yang paling tinggi darjatnya dan puasa semacam inilah yang dikehendaki Allah.

Beruntung orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa dalam erti kata sebenar-benarnya seperti puasa paling istimewa yang disebut Iman al-Ghazali.

Walau apa pun, ada dua kesenangan bagi orang yang mengerjakan puasa seperti diterangkan hadis Rasulullah SAW, iaitu kesenangan di kala berbuka dan kesenangan di kala bertemu dengan Allah di padang Mahsyar.

Oleh kerana Ramadan adalah bulan mulia, maka umat Islam diingatkan supaya sentiasa menjaga kemuliaannya dengan tidak melakukan perbuatan atau pun tingkah-laku yang boleh mencemarkan kemuliaan bulan itu.

Mencemarkan kemuliaan Ramadan bukan saja dengan melakukan makan minum di tempat terdedah kepada mata orang ramai di waktu siang, bahkan tidak bersolat, bercakap bohong serta mengumpat dan mengata orang juga boleh dikira mencemarkan bulan Ramadan. Sewajarnya sifat negatif itu tidak dilakukan dalam bulan Ramadan dan bulan lain juga.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah mengeluarkan perkataan yang kotor dan jangan bertengkar. Jika kamu dicaci orang atau pun diajak berlawan, maka katakanlah sesungguhnya aku berpuasa." - (Hadis riwayat Bukhari dan Musim)

Puasa Ramadan adalah perintah Allah. Orang yang berjaya menyempurnakan perintah Allah ini dan sekali gus berjaya melawan ujian serta godaan hawa nafsu dihadapkan kepadanya, maka sesungguhnya mereka adalah orang yang beroleh kemenangan besar.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling takwa." - (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Pada Ramadan, selain turunnya al-Quran, ada satu malam di antara malamnya yang Allah pilih sebagai satu malam tinggi nilainya iaitu malam lailatul qadar. Malam inilah yang dicari dan dirindui setiap umat Islam kerana ganjarannya adalah syurga bagi mereka yang berjaya memperoleh malam itu sewaktu mengerjakan amal ibadat.


Saturday, August 23, 2008

Cinta oh cinta...


CINTA. Kalimah yang sering menghantui remaja dulu, kini dan selamanya. Satu fitrah manusia yang tidak dapat tidak perlu dikendalikan dengan bijaksana. Jika tidak, tunggulah saat kebinasaan dan kehancuran. Adakah Islam membenarkan percintaan sebelum pernikahan? Persoalan yang sering membelenggu benak remaja.

Pertama sekali, sebagai seorang muslim sejati, seharusnya kita menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan utama sepertimana Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud; “Telah aku tinggalkan dua perkara yang mana jika kamu mengikutinya maka kamu tidak akan tersesat untuk selamanya, iaitu Al-Quran Sunnahku”.

Kita lihat kepada dalil Quran yang dibangkitkan oleh si penanya iaitu Surah al-Isra’;32

32. Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk.

Dalam konteks bercinta sebelum kahwin, kalau dilihat dewasa ini, lebih banyak mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan syarak. Kelakuan percintaan seperti berdua-duaan sama ada di tempat sunyi atau ditempat awam, berpegangan tangan, dan bercumbu-cumbuan dilihat sebagai muqaddimah zina. Mula-mula pegang tangan, lepas tu… hanya tuhan yang tahu. Kita jangan lupa bahawa syaitan akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menggoda dan menyesatkan anak cucu Adam iaitu kita semua.

Justeru, ada pertanyaaan seperti “kalau tak bercinta, macam mana nak kenal sesuai ke tak jadi pasangan hidup ustaz?”. Bila direnung-renung betul betul jugak kan? So, ustaz berpendapat bahawa “term” bercinta sebelum kahwin perlu ditukar kepada “term” berkenalan sebelum kahwin. Jom kita refer kepada sirah sekejap. Pada zaman Rasulullah ada seorang sahabat yang ingin kahwin. Lalu oleh kerana “tawakkal” nya begitu tinggi dengan selambanya dia memberitahu Rasulullah untuk mencari calon isterinya. Katanya dia akan terima sahaja walaupun tak pernah melihat bakal isterinya.

Rasulullah menasihati supaya melihat dahulu bakal isterinya sebelum berkahwin. Namun, si sahabat berkata tidak mengapa Rasulullah. Lalu pernikahan pun berlangsung. Walau bagaimanapun selepas berkahwin, si dia tadi terkejut melihat isterinya yang tidak menepati langsung cita rasanya. Dia pun mengadu kepada Rasulullah. Rasulullah pun menempelak si dia tadi. Tu lah, sebelum kahwin tak nak tengok dulu. Kan dah menyesal. Ibrahnya, kalau nak berkahwin tu, setidak-tidaknya perlulah kenal dahulu. Oleh sebab itu, dalam Islam juga menganjurkan supaya melihat bakal suami ata isteri terlebih dahulu dengan prosedur yang diiktiraf oleh syarak.

Macam mana plak prosedurnya? Ha, kalau nak tengok calon tu, jangan jumpe berdua je. Bawalah teman yang mahram ataupun seelok-eloknya ibu bapa atau pasangan yang telah berkahwin untuk menjadi perantara. Dengan cara ini. Pertemuan terkawal, hajat pun sampai dan insya Allah tidak timbul perkara-perkara yang menghampiri zina.

Selain itu, di zaman cyber ni faham2 la. Macam2 teknologi seperti SMS (sistem pesanan ringkas), YM (Yahoo Messenger) dan sebagainya. Islam tidak mengharamkan penggunakan medium ini untuk berkenalan, namun perlulah si pengguna teknologi memahami batas-batas syarak. Janganlah perbualan menjurus kepada kata-kata yang tidak perlu seperti kata-kata lucah dan yang sewaktu dengannya. Anda lebih mengetahui niat anda dalam melakukan perkara-perkara tersebut.

Secara kesimpulannya, dalam perhubungan di antara muslimin dan muslimat boleh lah rujuk surah An-Nur ayat 30 bagi lelaki dan surah An-Nur ayat 31 bagi wanita.

Sekian dimaklumkan. Bagi mengakhiri artikel ini, ustaz selitkan seloka untuk renungan semua.

Anda telah bersedia untuk bercouple jika...

Anda telah bersedia untuk bercouple jika...

Niat anda memang untuk berkahwin dengan si dia demi menjaga agama dan akhlak agar sentiasa terpelihara.

Sebaliknya anda belum bersedia untuk bercouple jika...

Niat anda hanya untuk suka-suka atau ingin berseronok-seronok demi melayani kehendak nafsu semata-mata.

Anda telah bersedia untuk bercouple jika...

Sudah punya kekuatan dan ketahanan diri untuk tidak terlibat dengan perkara-perkara yang diharamkan oleh agama seperti berdua-duaan di tempat yang sunyi,berpegangan tangan dan tindakan-tindakan yang membawa kepada ‘muqaddimah’ zina.

Sebaliknya anda belum bersedia untuk bercouple jika...

Masih sukar mengawal nafsu dan tidak punya keyakinan untuk menahan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan negatif seperti berpegangan tangan,menyentuh dan..

Anda telah bersedia untuk bercouple jika...

Sudah lepas ilmu ‘fardhu ain’ dan mempunyai tahap pencapaian akademik yang baik dalam pengajian anda.Atau sebaik-baiknya sudah mempunyaipekerjaan yang tetap.

Sebaliknya anda belum bersedia untuk bercouple jika...

Masih kandas ilmu fardu ain,mengaji Quran pun lintang pukang dan punya masalah besar dalam pelajaran.Atau anda adalah penganggur yang masih tercari-cari pekerjaan..

Anda telah besedia untuk bercouple jika..

Sudah istiqamah menjaga solat lima waktu,berpuasa di bulan ramadhan dan sedaya upaya menjadi muslimin dalam erti kata yang sebenar.

Sebaliknya anda belum bersdia untuk bercouple jika..

Mengucap dua kalimah syahadah pun belum fasih,solat jarang-jarang,puasa kadang-kadang...aduhai!

Anda ada apa-apa cerita tentang cinta?


petikan dari : http://ustaz-zamri.com/

Thursday, August 21, 2008

Antara Sabar dan Mengeluh



Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.

"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu, tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati."

Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."

Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu?"

Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?"

Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu," Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu.

Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan.

Dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya.

Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."

Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu?"

Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeza. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."

Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah.

Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi: "Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda: "Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."

Dan sabdanya pula, "Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)

Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.

Qala Allah: "Ya ayyuhallazeena aamanu Isbiru wa Saabiru wa Raabitu wa AttaquLlah.....(ilakh) "

Tuesday, August 12, 2008

Ganjaran syurga, neraka ikut amalan seseorang

SAYYID Qutb menjelaskan kewujudan manusia pada alam ini mempunyai matlamat tertentu. Matlamat itu akan dapat dicapai dengan melakukan tugas yang ditetapkan, iaitu memperhambakan diri kepada Allah.

Untuk mendapatkan keredaan Allah, umat Islam hendaklah sentiasa memastikan segala amalan dilakukan termasuk dalam kategori yang disuruh dan meninggalkan segala amalan yang dilarang.

Mereka yang berusaha mendapatkan keredaan Allah akan sentiasa melakukan perkara kebaikan dan apabila berlaku pertentangan antara apa yang diredai Allah dengan kehendak diri, tanpa rasa ragu memilih keredaan Allah.

Sikap istiqamah dalam melakukan kebaikan mendorong mereka melaksanakan kebaikan sepanjang masa sama ada ketika bersendirian mahupun bersama orang ramai, kerana dia mengetahui Allah Maha Melihat perbuatan hambanya.

Kehidupan bagi mereka yang ingin mendapatkan keredaan Allah mendorong untuk memahami bahawa segala nikmat diberikan mesti dimanfaatkan untuk meraih ganjaran yang disediakan Allah.

Mereka yang mendapat keredaan Allah akan ditempatkan dalam syurga.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan (sebaliknya) akan dijauhkan (azab neraka) itu daripada orang bertakwa bersungguh-sungguh, yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan harta bendanya, sedang ia tidak menanggung budi sesiapa pun, yang patut dibalas, hanyalah mengharapkan keredaan Tuhan Maha Tinggi. Dan demi sesungguhnya ia tetap akan berpuas hati (pada hari akhirat dengan mendapat segala yang diharapkan)." (Surah al-Lail, ayat 17-21)

Menurut al-Quran, mereka ini digambarkan sebagai golongan kanan yang berada dalam syurga di kelilingi pohon bidara yang rendang, tidak berduri dan mempunyai banyak buahnya yang tidak pernah putus.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya dalam syurga ada sebatang pohon. Jika orang yang berkenderaan berjalan di bawahnya selama seratus tahun, ia tetap berada di bawah naungannya dan tidak berhasil menaklukinya." ( Hadis riwayat Muslim dan Tirmizi)

Hadis itu menjelaskan bahawa syurga Allah terlalu luas seperti diwahyukan dalam al-Quran, di mana sungai mengalir dengan air yang tidak berubah rasa dan aromanya serta diciptakan Allah untuk mereka bidadari yang langsing.

Sebaliknya, bagi mereka yang disediakan Allah pelbagai nikmat tetapi tidak berusaha mendapatkan keredaan Allah akan dimasukkan ke neraka kerana mereka kufur dengan nikmat itu hingga leka terhadap tanggungjawab kepada Allah.

Mereka ini akan diseksa oleh Allah dengan angin yang sangat panas, air mendidih dan naungan asap hitam dalam neraka kelak seperti dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: "Mereka diseksa dalam angin yang amat panas dan air panas yang mendidih dan dalam naungan asap yang hitam yang tidak sejuk dan tidak pula memberi kesenangan." (Surah al-Waqiah, ayat 42-44)

Oleh demikian, marilah bertindak serta berusaha membetulkan perjalanan hidup kita supaya benar-benar memenuhi matlamat mendapatkan keredaan Allah, mudah-mudahan kehidupan di dunia ini akan beroleh berkat serta mendapat rahmat berkekalan.

Thursday, August 7, 2008

Terap istiqamah dalam keimanan, amalan

Kecewa, mudah bosan penyakit berbahaya melenyapkan harapan capai kemajuan

MENJADI idaman setiap Muslim berkeinginan mengecapi kecemerlangan hidup bukan saja di dunia malah di akhirat. Namun, untuk memperolehnya seseorang itu hendaklah terlebih dulu berusaha keras meningkatkan keimanan walau apapun dugaan atau halangan yang datang.

Kecewa dan mudah bosan memang penyakit sangat berbahaya dan mampu melenyapkan harapan untuk mencapai hidup maju. Perasaan itu mesti dilontarkan sejauh-jauhnya. Inilah sifat istiqamah yang sewajarnya menjadi identiti bagi setiap muslimin supaya tidak hanyut mengikut nafsu.


Allah berfirman yang bermaksud: "Oleh yang demikian, maka ajaklah (mereka) dan berdirilah dengan lurus sebagaimana engkau diperintah, dan janganlah engkau turut hawa nafsu". � (Surah as-Syura, ayat 15)

Sehaluan dengan perintah itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Katakanlah: Aku percaya kepada Allah kemudian berlaku lurus (istiqamah)." � (Hadis riwayat Muslim)

Istiqamah seharusnya diterapkan dalam segala bidang pekerjaan kerana bekal keimanan serta sifat berhubung kait dengan hati dan ibadat membolehkan seseorang itu melihat segala kebaikan atau keburukan yang datang daripada sudut pemikiran rasional.

Sewajarnya apabila kecundang dalam sesuatu yang diperjuangkan, sama sekali tidak boleh menyalahkan takdir bahkan sehingga ada yang tergamak beranggapan bahawa Allah sudah benci kepadanya.

Sebaliknya, lihat pada diri sendiri, selidik dan teliti apa kekurangan atau kecacatan supaya dapat diperbaiki dan meneruskan usaha dengan akal sihat, subur, akhirnya bertawakal kepada Allah. Anggaplah kekalahan itu sebagai ujian Allah yang perlu dihadapi penuh kesabaran dan keimanan.

Dengan itu, mudah-mudahan tidak berulang lagi kegagalan yang sama dalam hidup. Di sinilah seseorang perlu kepada sifat istiqamah. Sesungguhnya orang yang mengaku beriman itu tetap diuji Allah untuk mengukur sejauh mana kekentalan iman di dadanya.

Firman Allah yang bermaksud: "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami menguji orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta." � (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Umat Islam perlu tekun mematuhi perintah Allah untuk mengharungi kehidupan masa kini selain memastikan diri sentiasa beristiqamah kerana mereka yang beristiqamah akan mendapat rahmat Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan bahawasanya jika mereka tetap berjalan lurus (istiqamah) di atas jalan itu (agama Islam) benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar atau rezeki yang banyak." � (Surah al-Jin, ayat 16)

Dr Hamzah Ya'qub dalam bukunya Tingkat Ketenangan dan Kebahagiaan Mukmin, menyimpulkan istiqamah ini kepada tiga tahap iaitu istiqamah dengan hati, lisan dan perbuatan.



Istiqamah dengan hati bermaksud teguh iman, mempertahan kejujuran dan sifat mazmumah lain. Mereka yang memiliki iman teguh tidak mudah tergoda, terpengaruh dan rebah kepada godaan. Oleh itu, setiap tindak-tanduknya adalah mencerminkan hati yang suci.

Istiqamah dengan lisan ialah sentiasa memelihara tutur kata supaya ikhlas dan benar. Apa yang diucapkan itu mengikut landasan agama dan bukan atas kehendak nafsu. Firman Allah yang bermaksud: "Allah menetapkan orang beriman dengan perkataan yang tetap dalam penghidupan dunia dan akhirat." � (Surah Ibrahim, ayat 27)

Akhir sekali, istiqamah dengan perbuatan iaitu tekun dalam bekerja, berusaha, berjuang, tidak jemu berusaha, tidak kecewa, cemas dan takut apabila jatuh sebaliknya terus saja berjuang sehingga berjaya.

Ketiga-tiga tingkatan tadi, tidak boleh tidak wajib dimiliki setiap orang yang beriman kerana ia adalah salah satu antara ciri orang mukmin yang akan membuahkan keuntungan dan kemenangan di dunia serta akhirat.

Allah memberi khabar gembira kepada orang istiqamah melalui firman yang bermaksud: "Sesungguhnya mereka yang mengakui Allah Tuhan kami, kemudian berlaku lurus (istiqamah) akan turun malaikat kepadanya untuk menghibur dengan kata-kata: Jangan takut dan jangan berduka cita, dan bergembiralah kamu dengan syurga yang dijanjikan kepadamu." � (Surah Fushshilat, ayat 30)

Friday, August 1, 2008

Nabi sedih ramai wanita penghuni neraka

SAIDINA Ali berkata: “Saya dengan Fatimah pergi menghadap Rasulullah SAW. Kami dapati beliau sedang menangis, lalu kami bertanya kepadanya, apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?”

Baginda SAW menjawab: “Pada malam aku diisrak hingga ke langit, di sana aku melihat perempuan dalam keadaan amat dahsyat. Dengan sebab itu aku menangis mengenangkan azab yang diterima mereka.”

Ali bertanya: “Apakah yang ayahanda lihat di sana?” Rasulullah SAW menjawab: “Aku lihat ada perempuan digantung rambutnya, otak kepalanya menggelegak. Aku lihat perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair di-curah ke dalam halkumnya (tekak).


“Aku lihat perempuan yang digantung kedua kakinya terikat, tangannya diikat ke ubun-ubunnya, disuakan ular dan kala. Aku lihat perempuan yang memakan dagingnya sendiri, di bawahnya dinyalakan api neraka. Aku lihat perempuan mukanya hitam dan memakan tali perutnya sendiri.

“Aku lihat perempuan yang telinga pekak dan matanya buta, diisikan ke dalam peti yang diperbuat daripada api neraka, otaknya keluar daripada lubang hidung, badan bau busuk kerana penyakit kusta dan sopak.

“Aku lihat perempuan yang kepalanya seperti babi, badannya seperti himar berbagai kesengsaraan dihadapinya. Aku lihat perempuan yang rupanya seperti anjing, kala dan ular masuk ke kemaluannya, mulut dan pelepasnya (punggung). Malaikat memukulnya dengan corong api neraka.”

Fatimah pun bertanya kepada ayahandanya: “Ayahanda yang dikasihi, beritakanlah kepada anakanda, apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan itu?”

Rasulullah menjawab: “Fatimah, adapun perempuan tergantung rambutnya itu adalah perempuan yang tidak menutup rambut daripada bukan muhrimnya. Perempuan tergantung lidahnya ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki dan menyakiti hati suaminya.

“Perempuan yang digantung susunya adalah perempuan yang menyusukan anak orang lain tanpa suaminya. Perempuan kedua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya.

“Perempuan tidak mahu mandi daripada suci haid nan nifas ialah perempuan yang memakan badannya sendiri, juga kerana ia berhias untuk lelaki bukan suaminya dan suka mengumpat orang.

“Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka kerana ia memperkenalkan dirinya kepada orang asing, bersolek dan berhias supaya kecantikannya dilihat lelaki lain.

“Perempuan diikat kedua kakinya dan tangannya ke atas ubun-ubunnya, disuakan ular dan kala kepadanya kerana ia boleh sembahyang tetapi tidak mengerjakannya dan tidak mandi janabah.

“Perempuan kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar ialah ahli pengumpat dan pendusta. Perempuan rupanya seperti anjing ialah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya.

Seterusnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perempuan menyakit hati suami dengan lidahnya pada hari kiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat di belakang tengkoknya.”

Abu Bakar as-Sidik mengatakan, aku dengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perempuan menggunakan lidah untuk menyakiti hati suaminya ia akan dilaknat dan kemurkaan Allah.”

Usamah bin Zaid menceritakan, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku berdiri di atas syurga, kebanyakan yang masuk ke dalamnya adalah golongan miskin dan orang kaya tertahan di luar pintu syurga kerana dihisab. Selain daripada itu ahli neraka diperintahkan masuk ke dalam neraka, dan aku berdiri di atas pintu neraka, ku lihat kebanyakan yang masuk ke dalam neraka adalah perempuan.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya aku saksikan kebanyakan ahli neraka adalah perempuan.”

Rasulullah SAW ditanya, mengapa ya Rasulullah? Baginda SAW menjawab: “Perempuan mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ihsannya, Jika engkau membuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia belum berpuas hati dan cukup.” (Hadis riwayat Bukhari)