Monday, October 27, 2008

Air Mata Malam Pertama


Hatiku bercampur baur antara kegembiraan, kesedihan dan kehibaan. Terlalu sukar untuk kugambarkan perasaan hatiku tatkala ini. Sanak saudara duduk mengelilingiku sambil memerhatikan gerak geri seorang lelaki yang berhadapan dengan bapaku serta tuan imam. Hari ini adalah hari yang cukup bermakna bagi diriku. Aku akan diijab kabulkan dengan seorang lelaki yang tidak pernah kukenali; pilihan keluarga. Aku pasrah. Semoga dengan pilihan keluarga ini beserta dengan rahmat Tuhan. Bakal suamiku itu kelihatan tenang mengadap bapaku, bakal bapa mentuanya. Mereka berkata sesuatu yang aku tidak dapat mendengar butir bicaranya. Kemudian beberapa orang mengangguk-angguk. Serentak dengan itu, para hadirin mengangkat tangan mengaminkan doa yang dibacakan lelaki itu.

Ana dah jadi isteri! ” Bisik sepupuku sewaktu aku menadah tangan. Tidak semena-mena beberapa titis air mata gugur keribaanku. Terselit juga hiba walaupun aku amat gembira. Hiba oleh kerana aku sudah menjadi tanggungjawab suamiku. Keluarga sudah melepaskan tanggungjawab mereka kepada suamiku tatkala ijab kabul. “Ya Allah! Bahagiakanlah hidup kami. Kurniakanlah kami zuriat-zuriat yang menjadi cahaya mata dan penyeri hidup kami nanti.” Doaku perlahan. Aku bertafakur sejenak. Memikirkan statusku sekarang. Aku sudah bergelar isteri. Sudah tentu banyak tanggungjawab yang perlu aku tunaikan pada suamiku dan pada keluarga yang aku dan suamiku bina nanti. “Mampukah aku memikul tanggungjawab ini nanti?” Tiba-tiba sahaja soalan itu berdetik di hati. Kadang-kadang aku rasakan seolah-olah aku tidak dapat melaksanakan tanggungjawab seorang isteri terhadap suami.

“Assalamualaikum!” Sapa suatu suara yang mematikan tafakur tadi. Baru aku perasan, seorang lelaki berdiri betul-betul di hadapanku. Aku masih tidak mampu untuk mendongak, melihat wajahnya itu. Aku berteleku melihat kakinya. Sanak saudara yang tadi bersama-samaku, kini membukakan ruang buat lelaki itu mendekatiku. Aku tambah gementar bila dibiarkan sendirian begini. Tanpa kusangka, dia duduk menghadapku.

“Sayang”..Serunya perlahan. Suaranya itu seolah membelai dan memujuk jiwaku supaya melihat wajahnya. Aku memaksa diriku untuk mengangkat muka, melihat wajahnya. Perlahan-lahan dia mencapai tangan kiriku, lalu disarungkan sebentuk cincin emas bertatahkan zamrud ke jari manisku.

“Abang”.. Seruku perlahan sambil bersalam dan mencium tangan lelaki itu yang telah sah menjadi suamiku. “Ana serahkan diri Ana dan seluruh kehidupan Ana ke pangkuan abang. Ana harap, abang akan terima Ana seadanya ini seikhlas hati abang..”Bisikku perlahan. ” Kita akan sama-sama melayari hidup ini dan akan kita bina keluarga yang bahagia.” Janjinya padaku. Itulah kali pertama aku menemui suamiku itu. Aku tidak pernah melihatnya selain daripada sekeping foto yang telah diberikan emak kepadaku.

Kenduri perkahwinan kami diadakan secara sederhana sahaja. Namun meriah dengan kehadiran sanak saudara terdekat dan sahabat handai yang rapat. Senang sikit, tak payah berpenat lelah. Sibuk juga aku dan suamiku melayani para tetamu yang hadir ke majlis itu. Ramai juga teman-teman suamiku yang datang. Mereka mengucapkan tahniah buat kami berdua. Tak sangka, suamiku punyai ramai kawan. Katanya, kawan-kawan sejak dari universiti lagi. Pada pandanganku, suamiku itu memang seorang yang segak. Berbaju melayu putih sepasang serta bersampin. Aku juga memakai baju pengantin putih. Kami dah berpakat begitu. Aku selalu berdoa pada Tuhan agar Dia kurniakan padaku seorang suami yang dapat membimbing dan menunjukkan aku jalan ketuhanan. Mengasihi aku sebagai seorang isteri. Tidak kuminta harta mahupun pangkat, cukuplah sekadar aku bahagia bersamanya dan dia juga bahagia denganku. Aku juga sering berdoa agar dikurniakan zuriat yang dapat membahagiakan kami.

“Ana, ada perkara penting yang mak dan ayah nak bincangkan dengan Ana”. Ayah memulakan mukadimah bicaranya di suatu petang sewaktu kami minum petang di halaman rumah. Mak hanya diam memerhatikan aku, membiarkan ayah yang memulakan bicaranya.

“Apa dia ayah, mak? Macam penting je” Soalku tanpa menaruh sebarang syak wasangka. “Sebenarnya, kami telah menerima satu pinangan bagi pihak Ana.” “Apa!!!”Pengkhabaran begitu membuatkan aku benar-benar terkejut. Aku masih belum berfikir untuk mendirikan rumah tangga dalam usia begini. Aku mahu mengejar cita-citaku terlebih dahulu. Aku tidak mahu terikat dengan sebarang tanggungjawab sebagai seorang isteri. “Kenapa ayah dan mak tak bincang dengan Ana dulu?” Soalku agak kecewa dengan keputusan mak dan ayah yang membelakangi aku. Sepatutnya mereka berbincang denganku terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan yang bakal mencorakkan masa depanku.

“Kami tahu apa jawapan yang akan Ana berikan sekiranya kami membincangkan perkara ini dengan Ana. Pastinya Ana akan mengatakan bahawa Ana masih belum bersedia. Sampai bilakah Ana akan berterusan begitu?” Ayah mengemukakan alasannya bertindak demikian. “Sebagai orang tua, kami amat berharap agar anak kesayangan kami akan mendapat seorang suami yang boleh melindungi dan membimbing Ana. “Ujar mak setelah sekian lama membisu. “Apakah Ana fikir mak dan ayah akan duduk senang melihat anak gadisnya berterusan hidup sendirian tanpa penjagaan dari seorang suami? Kami bukan nak lepaskan tanggungjawab kami sebagai orang tua, tapi itulah tanggungjawab orang tua mencarikan seorang suami yang baik untuk anak gadisnya.” Terang ayah lagi.

“Ana..” Seru ayah setelah dia melihat aku mendiamkan diri, menahan rasa. “Percayalah, kami membuat keputusan ini adalah untuk kebaikan Ana sebab kami terlalu sayangkan Ana.”; “Ini cincinnya, pakailah.” Mak meletakkan satu kotak kecil berbaldu di hadapanku. Perasaanku berbaur. Macam-macam yang datang. Berbelah bagi. Apa yang patut aku lakukan sekarang. Sekiranya aku menerima dan bersetuju dengan keputusan mak dan ayah itu, bermakna aku telah membiarkan cita-citaku semakin kabur dan berbalam di hadapan. Namun kiranya aku menolak, bermakna aku telah melukakan hati kedua-dua orang tuaku itu. Orang tua yang telah banyak berjasa dalam hidupku. Tanpa mereka berdua, aku takkan hadir dan mustahil untuk melihat dunia ini. “Ahhhhgggg…”Keluhku sendirian. Aku dalam dilemma. Yang manakah patut aku utamakan? Perasaan sendiri atau perasaan dan harapan mak dan ayah. Aku selalu tewas bila melibatkan perasaan mak dan ayah. Aku terlalu takut untuk melukakan hati mereka. Aku takut hidupku nanti tidak diberkati Tuhan.

Azan maghrib yang berkumandang mengejutkan aku dari lamunan. Dah masuk waktu maghrib rupanya. Masih banyak lagi barang-barang yang belum dikemaskan. Penat juga nak kemaskan semua ni. “Nanti kite kemas lepas ni. Mari solat maghrib dulu.” Ujar ayah padaku. Adik-adik sibuk bentangkan tikar dan sejadah di ruang solat. Begitulah selalunya apabila kami berkumpul. Solat berjemaah adalah saru agenda yang tidak boleh dilupakan. Semua orang telah siap sedia menunggu sewaktu aku keluar dari berwudhuk di bilik air. Aku cepat-cepat mengenakan telekung dan memasuki saf bersama emak, kakak dan adik. Selesai je iqamah, ayah memberikan penghormatan kepada suamiku untuk menjadi imam. Dia kelihatan serba salah dengan permintaan ayah itu. Dia merenung ke arahku. Aku hanya mengangguk sebagai isyarat supaya dia memenuhi permintaan ayah itu. Maka dengan tenang, dia mengangkat takbir. Menjadi imam solat maghrib kami pada malam itu. Betapa hatiku tenang sekali menjadi makmumnya. Dengan bacaan yang jelas dan merdu itu membuatkan aku berasa kagum dengan suamiku itu. Mungkin tepat pilihan ayah dan mak buatku. Bacaannya lancar lagi fasih. Bagaikan seorang arab yang menjadi imam.

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami terlupa atau tersilap. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kami dengan bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Jangan Engkau pikulkan kepada kami apa-apa yang tidak terdaya kami memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami.” “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami daripada isteri dan suami serta zuriat keturunan yang boleh menjadi cahaya mata buat kami dan jadikanlah kami daripada golongan orang-orang yang muttaqin.” Dia membaca doa dengan khusyuk memohon kepada Tuhan setelah selesai solat. Kami bersalaman.

Aku mendekati suamiku sambil menghulurkan tangan. “Bang, maafkan Ana!” Bisikku perlahan sewaktu mencium tangannya. Dia kemudiannya mengucupi dahiku sebagai tanda kasih yang tulus. “Sayang tak ada apa-apa salah dengan abang.” Ujarnya sambil tersenyum merenung wajahku. Selepas berwirid dan berzikir, dia bangun menuju ke halaman rumah. “Abang nak ke mana tu?” Soalku. “Nak kemaskan barang-barang kat bawah tu. Ada sikit lagi.” Jawabnya. “Dah la tu. Rehat jelah. Esok kita boleh sambung lagi.”Aku kesian melihatnya, keletihan. “Betul kata Ana tu Zul. Sambung esok sajalah.” Sampuk ayah yang tiba-tiba mendengar perbualan kami. Emak pun mengangguk menyetujui sarananku itu. “Takpelah ayah, Ana. Sikit aje tu. Kejap je saya buatnya.” Dia masih berkeras sambil berlalu turun ke halaman rumah untuk mengemas beberapa peralatan yang masih lagi berada di bawah khemah. Aku menukar pakaian, kemudian keluar membantu suamiku mengemas barang-barang di halaman rumah. Dia kelihatan asyik tanpa menyedari kehadiranku. Semua barang-barang telah dikemasnya. Aku mencapai kain pengelap dan mula mengelap meja.

“Bila Ana turun?” Soalnya apabila menyedari aku sedang mengelap meja. ” Baru aje. Asyik sangat abang buat kerja sampai tak sedar Ana datang.” “Maafkan abang sayang.” Dia menghampiriku. “Sayang tak marahkan?” Soalnya lagi sambil memeluk pinggangku erat. Aku merenungnya, kemudian mengeleng-ngeleng sebagai tanda aku tak ambil hati pun pasal tu. Dia tersenyum sambil menghadiahkan satu ciuman di pipiku. “Ish..abang ni! Nanti dilihat orang, malu kita.” Rungkutku tersipu-sipu. Nanti malu juga kalau dilihat oleh ahli keluargaku. “Apa nak malu, kan sayang ni isteri abang.” Jawabnya tersenyum. “Tau la, tapi tengok la keadaan dan tempat. Kalau kita berdua saja, lebih dari cium pun Ana bagi.” “Betul ni?”Soal suamiku cepat-cepat. “Ish..Gatal la abang ni!” Dia cuba mengelak dari menjadi mangsa cubitan tanganku. Aku terasa bahagia disayangi begini. Inilah pertama kali dalam hidupku merasai betapa nikmatnya cinta dan kasih sayang seorang kekasih hati yang aku sayangi.

Aku tidak pernah terlibat dengan cinta walaupun semasa aku di universiti dulu. Dan pada tika ini, aku akan menikmatinya selepas perkahwinan. Cinta seorang suami terhadap seorang isteri. Walaupun begitu,masih ada sedikit rasa takut di hatiku. Aku takut aku tidak mampu untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Aku takut aku tidak mampu untuk menjadi seorang isteri yang solehah dan mulia dalam hidup suamiku. “Apa yang Ana menungkan ni?” Soalan itu mengejutkan aku dari lamunan. Aku berehat sekejap di atas kerusi batu dalam taman di halaman rumah setelah selesai mengemas barang-barang. “Abang ni, terkejut Ana tau!” Aku buat-buat merajuk. Saja nak menduga bagaimana suamiku memujuk. “Alaa..sayang ni..macam tu pun nak marah.” Usiknya sambil mencubit pipiku. “Nampak gayanya terpaksalah abang tidur bawah katil dengan nyamuk-nyamuk malam ni sebab isteri abang dah merajuk. Kesian kat abang yea!” Aku mula tersenyum dengan kata-kata suamiku itu. Pandai juga suamiku buat lawak nak memujuk aku.

“Sayang…” Seru suamiku sambil merangkul tubuhku. “Sayang nak honeymoon kemana?” Tak terfikir pulak akau pasal honeymoon tu. Aku pun tak ada apa-apa plan atau cadangan pasal tu. “Ana ikut aje ke mana abang nak bawa.” “Kalau abang bawa ke bulan atau bintang, sayang nak ikut ke?” Guraunya. “Banyak ke duit abang nak bayar tambang roket dan nak beli set bajunya nanti?” Soalanku itu membuatkan suamiku pecah ketawa. “Nanti sayang nak berapa orang anak?” Soalnya lagi setelah ketawanya reda. “Abang nak berapa?” Soalku kembali tanpa menjawab soalannya. “Abang nak sebanyak mungkin. Larat ke sayang nanti?” “Ish…abang ni. Abang ingat Ana ni kilang anak ke?” Sekali lagi suamiku ketawa. Nampaknya dia adalah orang yang mudah ketawa. “Takdelah macam tu. Tapi abang suka kalau kita ada anak yang ramai. Sama banyak lelaki dan perempuan.” “Insya Allah, kalau ada rezeki nanti Ana sanggup.” Penjelesanku itu membuatkan suamiku tersenyum gembira. “Ni yang buat abang tambah sayang ni.” Satu lagi kucupan mesra singgah di pipiku. Aku terasa bahagia diperlakukan begitu. Aku punyai suami yang baik dan penyayang. Aku rasa dilindungi.

“Zul, Ana! Jom kita makan dulu!” Suara mak memanggil. “Mari bang! Ana pun dah lapar ni.” Ajakku sambil memimpin tangannya. Kami bangun beriringan masuk ke dalam rumah untuk menghadapi hidangan makan malam. Rasa lapar la juga kerana sejak tadi lagi asyik layan tetamu dan buat kerja aje sampai lupa untuk makan. Seronok sangat dengan kahadiran kawan-kawan rapat serta gembira dianugerahi seorang suami yang baik. Sudah beberapa hari aku asyik memikirkan pasal pertunanganku. Terlalu sukar untuk aku menerimanya. Tambah lagi dengan lelaki yang tidak pernah kukenali. Perkahwinan bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah. Kehidupan yang memerlukan persefahaman sepanjang hidup. Tanpa persefahaman dan tolak ansur, mustahil dua jiwa dan dua hati boleh bersatu dalam menjalani hidup sebagai suami isteri. Tidak sedikit cerita yang aku dengar tentang rumah tangga yang hanya mampu betahan buat seketika atau separuh jalan sahaja. Kemudian pecah berkecai umpama kapal dipukul badai. Berselerak dan bertaburan. Apatah lagi kalau dah dikurniakan anak. Anak-anak akan jadi mangsa keadaan. “Mampukah aku menerima suamiku nanti sepenuh hatiku? Mampukah aku menyediakan seluruh ruang isi hatiku ini buat suamiku itu? Bahagiakah aku bila bersamanya nanti?” Bertalu-talu persoalan demi persoalan menerjah benak fikiranku. Aku rasa amat tertekan dengan keadaan ini. Bukan aku tak fakir pasal rumah tangga, tapi aku masih belum bersedia untuk melaluinya.

“Ya Allah, bantulah aku dalam membuat keputusan. Tunjukkanlah aku jalan penyelesaian. Janganlah Engkau biarkan aku sendirian dalam menentukan masa depan hidupku.” “Ya Allah, aku benar-benar tersepit antara kehendak orang tuaku dan persaan hatiku sendiri. Kiranya ia baik buatku, maka berilah aku redha dalam menerimanya wahai Tuhan. Indahnya kuperhatikan suasana kamarku. Aku sendiri yang menghiasinya. Kamar malam pertamaku bersama seorang lelaki yang bergelar suami. Kamar yang akan menjadi saksi bisu bila mana aku menyerahkan khidmatku pada seorang suami. Kegusaran dan sedikit gentar mula bertandang dalam sanubari. Aku rasa takut sendirian untuk melalui keindahan malam pertama ini. Bagaimanakah akan melayani suamiku nanti? Ketukan pada pintu bilik membuatkan hatiku bertambah gusar. Dari tadi lagi aku hanya duduk di birai katil.

“Masuklah, pintu tak berkunci.” Aku bersuara perlahan. Aku pasti, itu adalah suamiku. Dia masuk, kemudian menutup pintu bilik kami dengan perlahan. Dia kemudiannya menghampiri dan duduk di sisiku. ” Kenapa asyik termenung aje ni? Sayang tak gembirakah bersama abang?” Aku tak menyangka soalan itu yang diajukan oleh suamiku tatkala ketakutan di malam pertama begitu membanjiri jiwaku. Aku hanya mampu mengeleng-ngeleng. Aku sendiri tak tahu apa jawapan yang terlebih baik untuk soalan suamiku itu. “Habis tu apa yang sayang menungkan ni?” Ana takut bang!” Itulah aku rasa jawapan yang tepat bagi menjawab soalannya. Dia memelukku erat sambil membelai rambutku. ” Apa yang nak ditakutkan? Abangkan ada. Abang akan bantu dan tolong sayang. Kita sama-sama bina keluarga kita.” Pujuk suamiku.

” Ana takut Ana tak mampu untuk menjalankan tugas sebagai isteri abang. Ana banyak kelemahan bang. Ana takut nanti Ana akan mengecewakan abang. Ana takut..” Aku tidak sempat untuk meneruskan kata-kataku kerana suamiku telah meletakkan telunjuknya di bibirku tanda tidak membenarkan aku menghabiskan bicaraku. Terkebil-kebil mataku memandangnya.

” Sayang, abang terima sayang sebagai isteri abang seadanya. Abang terima segala kelebihan dan kekurangan yang ada pada sayang. Usahlah sayang risaukan pasal itu. Ok sayang! ” Bisiknya. Aku memeluknya syahdu di atas penerimaannya terhadapku. ” Sayang, abang nak mandi kejap. Badan ni dah rasa macam melekit.” Aku bangun membuka almari pakaian dan mencapai sehelai tuala serta kain pelikat. Kuhulurkan kepadanya dengan penuh kasih sayang. Dia tersenyum kepadaku dan mencium pipiku sebelum berlalu ke bilik air. Kemudian aku terdengar siraman air terjun ke lantai. Malam berarak perlahan. Langit kelihatan gelap pekat tanpa bulan dan bintang. Mungkin sekejap lagi hujan akan mencurah, membasahi bumi yang sudah beberapa hari merindui titis air untuk membajai ketandusannya.

“Ayah, mak! Ana dah buat keputusan.” Beritahuku sewaktu kami sedang berehat di beranda rumah pada suatu hari. Ayah yang sedang membaca akhbar dan emak yang sedang menyulam tiba-tiba memandangku serentak, kemudian berpaling sesama sendiri. ” Keputusan tentang apa?” Soal ayah inginkan kepastian. Mungkin mereka tertanya-tanya keputusan apakah yang telah kubuat. ” Pasal peminangan tu.” Ujarku. Ayah dan emak kembali merenungku. Mereka memberikan perhatian kepada apa yang bakal aku beritahu. Keputusan yang telah kubuat setelah berfikir baik dan buruknya. Keputusan yang bakal menentukan masa depan arah perjalanan hidupku. ” Kiranya ini takdir Tuhan, maka Ana redha dengan jodoh yang ayah dan emak pilih.” Terasa pilu sekali hatiku sewaktu meluahkannya. Ada sedikit titis jernih jatuh ke riba. Aku mengesatnya dengan hujung jari. Emak bangun dan memelukku. Aku tidak tahu apakah ertinya pelukan emak itu. Pelukan gembira oleh kerana aku menerima pilihan mereka atau pelukan untuk menenangkan jiwaku yang sedang berkecamuk dan sedih ini? Hanya emak yang tahu hakikatnya.

” Syukurlah, moga Ana bahagia nanti.” Ucap ayah padaku. Aku terpaksa berkorban demi untuk melihat senyuman di bibir ayah dan emak walaupun hatiku sendiri terpaksa menangis. Tapi adalah terlebih baik bagiku memakan hatiku sendiri daripada memakan hati orang tua ku. “Nanti mak kenalkan dia pada Ana.” Ujar emak sambil tersenyum kerana keputusanku memihak kepada mereka. ” Tak payahlah mak. Kenalkan pada Ana di hari perkahwinan tu aje.” Aku rasa lebih baik demikian kerana selepas ijab Kabul aku sudah tidak punyai pilihan lain selain daripada menerima walaupun dengan terpaksa lelaki pilihan ayah dan emak ku itu sebagai suamiku. Aku tidak mahu pertemuan sebelum ijab kabul nanti akan menyebabkan aku berbelah bagi dengan keputusan yang telah aku buat. ” Kenapa pula macam tu? Kan lebih baik kalau Ana berkenalan dahulu dengannya.” Ayah mempersoalkan keputusanku itu. ” Ana telah memenuhi kehendak ayah dan mak dengan menerima pilihan ayah dan mak. Tak bolehkah ayah dan mak memenuhi permintaan dan kehendak Ana pula?” Aku berlalu meninggalkan mereka dalam keadaan tercengang dengan permintaan ku itu.

Aku siapkan kamar tidur seadanya. Aku letakkan pakaian persalinan buat suamiku di atas katil. Aku menunggunya keluar dari bilik air. Aku sendiri telah bersiap-siap menukar pakaian malam menanti suamiku itu dengan penuh debaran. Kedengaran pintu bilik air dibuka. Dia keluar sambil tersenyum ke arahku. ” Sayang, boleh tak ambilkan abang segelas air. Dahagalah.” Pintanya sambil mengelap-ngelap badannya dengan tuala di tangan. ” Baik bang. Bang, ni baju abang.” Ujarku sambil bangun untuk ke dapur. Sewaktu aku keluar, lampu di ruang tamu semuanya telah dipadamkan. Kulihat jam dah dekat pukul 1 pagi. ” Patutlah.” Bisik hatiku. Aku meneruskan langkahku ke dapur dalam smar-samar cahaya bilik yang masih lagi terpasang. Kupenuhkan labu sayung dengan air masak dan ku capai sebiji gelas. Aku membawa kedua-duanya menuju ke bilik. Suasana malam agak sunyi. Tiada bunyi cengkerik atau cacing tanah. Cuma kat luar sana kadang-kadang langit kelihatan cerah diterangi cahaya kilat memancar. Malam yang pekat bakal mencurahkan hujan. Sewaktu aku melangkah masuk ke bilik, kelihatan suamiku sedang khusyuk berdoa atas sejadah. Mulutnya terkumat kamit tanpa kutahu butir bicaranya. Kutuangkan air kedalam gelas dan kuletakkan atas meja menanti suamiku selesai berdoa. Kemudian dia bangun menghampiriku. Aku menghulurkan gelas air kepadanya.

“Bang….”Seruku. “Ada apa sayang?” Soalnya apabila melihat aku tersipu-sipu kearahnya. “Malam ni abang nak…..nak…..”Agak segan untuk kuteruskan pertanyaan itu. Suamiku masih lagi menanti persoalan yang kutanya… ” Nak apa sayang?” Soalnya lagi sambil tersenyum. “Ah..abang ni…”Aku malu sendirian apabila melihat suamiku seolah-olah dapat membaca fikiranku. “Ya, abang nak sayang layan abang malam ni. Boleh tak?” Bisiknya ketelingaku. Aku hanya mampu mengangguk-angguk tanda bersedia untuk melayani segala kehendak dan kemahuannya. Aku cuba untuk mempersiapkan diri sebagai seorang isteri yang mampu menyediakan dan memenuhi segala keperluan dan kemahuan suamiku itu.

“Assalamualaikum, wahai pintu rahmat!” Bisik suamiku. ” Waalaikumussalam wahai tuan pemilik yang mulia.” Jawabku. Malam yang gelap kehitaman itu kulaluinya bertemankan seorang lelaki yang telah kuserahkan kepadanya seluruh jiwa dan ragaku ke dalam tangannya. Dia berhak segala-galanya keatasku. Sebagai seorang isteri, aku mesti sentiasa patuh kepada segala arahan dan suruhannya selagi mana ia tidak bercanggah dengan ketetapan Tuhan dan Rasul. Pertama kali kulalui dalam hidupku, malam bersama seorang lelaki yang telah dihalalkan aku keatasnya. Aku umpama ladang dan suamiku itu adalah peladang. Ia berhak mendatangiku mengikut sekehendak hatinya. Aku telah membaca beberapa buah buku tentang alam perkahwinan, rumahtangga dan tanggungjawab seorang isteri apabila aku menerima pilihan emak dan abah terhadapku. Aku cuba untuk mempraktikkannya selagi aku termampu untuk melakukannya. Aku cuba menjadi yang terbaik bagi suamiku. Aku ingin suamiku bahagia bersamaku. Aku ingin menjadi permaisuri yang bertahta di hati dan jiwanya sepanjang usia hayatnya.

Rasulullah bersabda: “Sebaik-baik isteri itu ialah yang dapat menenangkan kamu apabila kamu melihatnya dan taat kepada kamu apabila kamu perintah dan memelihara dirinya dan menjaga hartamu apabila kamu tiada.” Rasulullah bersabda: “Setiap wanita itu adalah pengurus sebuah rumahtangga suaminya dan akan ditanyakan hal urusan itu.” Rasulullah bersabda: “Isteri yang mulia ini merupakan sesuatu yang terbaik di antara segala yang bermanfaat di dunia.” Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya wanita yang baik itu adalah wanita yang beranak, besar cintanya, pemegang rahsia, berjiwa kesatria terhadap keluarganya, patuh terhadap suaminya, pesolek bagi suaminya, menjaga diri terhadap lelaki lain, taat kepada ucapan suaminya dan perintahnya, dan apabila bersendirian dengan suaminya, dia pasrahkan dirinya kepada kehendak suaminya itu.”

Sesungguhnya perkahwinan ataupun rumahtangga itu bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh atau yang boleh dipermain-mainkan. Ia adalah suatu ikatan yang menghalalkan yang haram sebelumnya. Ia memerlukan persefahaman, tolak ansur, saling mempercayai, tolong-menolong, kasih mengasihi seikhlas hati dan sebagainya. Tanpa itu semua, mana bisa dua jiwa yang berlainan sifat dan sikap mampu mengharungi sebuah kehidupan yang penuh dengan dugaan ini bersama-sama. Ia amat mustahil sekali.

Maka seharusnya kita perlu mempersiapkan diri sebelum memasuki gerbang perkahwinan dengan pelbagai ilmu. Ilmu kekeluargaan, ilmu keibu bapaan, psikologi kanak-kanak dan sebagainya. Jangan cuba untuk menghampirinya selagi mana kita belum benar-benar bersedia untuk menghadapinya. Jangan kita fikirkan tentang nafsu semata-mata. Fikirkan sama tentang tanggungjawab yang bakal kita pikul nanti. Tanggungjawab sebagai seorang suami ataupun isteri, tanggungjawab sebagai seorang bapa ataupun ibu. Mampukah kita semua memenuhi atau menunaikan tanggungjawab dan tuntutan itu. Kita pastinya akan dipersoalkan tentang pertanggungjawaban itu. Sama ada di dunia mahaupun di hadapan Tuhan nanti. Kerana tanggungjawab itu adalah amanah yang perlu ditunaikan oleh setiap orang. Bunyi batuk yang berlarutan menyebabkan aku tersedar dari tidur istimewaku malam ini. Sewaktu aku membuka mata, aku lihat suamiku sedang bersimpuh diatas sejadah.

Dia mengurut-urut dadanya menahan batuk. Aku bingkas bangun, turun dari katil dan menghampirinya. “Abang tak apa-apa?” Soalku risau dengan keadaannya. Aku mula risau, takut-takut suamiku itu mempunyai penyakit-penyakit tertentu yang tidak aku ketahui. “Abang ok je. Mungkin sejuk sikit kot.”Jelasnya. Mungkin juga. Hawa dinihari itu sejuk sebab hujan masih lagi bergerimis selepas mencurah lebat semalam. “Pergilah mandi, ayah dan semua orang sedang menunggu kita untuk berjemaah di luar tu.” Arah suamiku sambil tersenyum merenungku dengan pijama itu. Aku malu sendirian bila mata suamiku menyorot memerhati seluruh tubuhku itu. “Nakallah abang ni.” Aku bangun mencapai tuala dan terus ke bilik air untuk mandi. Aku masih lagi terdengar batuk-batuk dari luar. Ayah mahu suamiku mengimami solat subuh itu, tapi suamiku menolak dengan alasan dia batuk-batuk dan tak berapa sihat. Namun ayah masih berkeras, maka terpaksalah dia menjadi imam. Kesian aku melihatnya. Bacaannya tidak selancar semalam. Banyak tersangkut dan terpaksa berhenti atau mengulanginya kerana asyik batuk-batuk sahaja. Aku mula risau lagi dengan keadaan begitu. Selepas beriwirid pendek, dia membacakan doa dengan perlahan tapi masih boleh didengari oleh semua ahli keluargaku.

Aku lihat muka suamiku agak kepucatan. “Kenapa ni bang?” Soalku sewaktu bersalaman dengannya. ” Entahlah, abang rasa kurang sihat sikit pagi ni..” “Zul sakit ke?” Tanya ayah. “Takdelah, cuma kurang sihat sikit. Mungkin sebab cuaca kot.”Jawabnya. “Elok makan ubat, nanti takut melarat pulak.” Sampuk mak. “Nanti Ana ambilkan ubat.” Aku bangun ke dapur untuk mengambil ubat dalam rak ubat. Ubat-ubatan asas sentiasa tersimpan dalm rak ubat di rumahku. Ini bagi memudahkan bagi tujuan rawatan segera kalau ada apa-apa berlaku. Aku ambil sebotol ubat batuk dan segelas air. Suamiku sudah masuk ke bilik. Batuknya agak berkurangan sedikit dari tadi. Mungkin betul juga ia ada kaitan dengan keadaan cuaca yang sejuk. Dia menghirup sirap batuk yang kusuapkan. “Terima kasih.” Ucapnya perlahan. Aku angguk. “Abang berehatlah.” Ujarku sambil membaringkan badannya ke atas tilam.

Abang minta maaf kerana menyusahkan sayang.” ” Kenapa pula abang cakap macam tu. Sikit pun Ana tak rasa susah.” “Abang tahu sayang susah hati tengok abang begini. Sepatutnya hari pertama begini, abang kena membahagiakan sayang. Tapi abang minta maaf sebab keadaan abang tak mengizinkan.” “Dahla tu bang. Ana isteri abang. Ana sentiasa bersedia berkhidmat untuk abang tanpa sedikit pun rasa susah.”Pujukku walaupun sebenarnya hatiku memang runsing dengan keadaannya. “Walau apapun yang berlaku, abang tetap sayang dan cintakan sayang. Sayanglah satu-satunya buah hati abang.” Sambung suamiku tanpa menghiraukan nasihatku supaya dia berehat saja. Entah kenapa tiba-tiba sahaja hatiku dilanda kesedihan. Entah darimana ia berputik. “Abang minta maaf atas segalanya. Sayang maafkan abang yea” “Abang nak tidur dulu. Mengantuk rasanya.” Ujarnya perlahan. “Abang tidurlah.” Aku menarik selimut untuk menyelimutinya. Aku menciumi dahinya. Sekejap sahaja dia terlena selepas mulutnya terkumat kamit membacakan sesuatu. Aku memerhatikan suamiku buat seketika. Tidurnya kelihatan tenang dengan susunan nafas yang teratur. Aku suka melihat wajahnya yang memberikan ketenangan buatku. Wajahnya yang agak bersih dihiasi dengan kumis dan jambang yang nipis dan terjaga.

Aku berdoa dan berharap agar kurniaan Tuhan ini akan berkekalan bersamaku hingga ke akhir hayat. Namun segala-galanya telah ditentukan Tuhan. Hidup, mati, rezeki, baik dan buruk seseorang hamba itu telah ditentukan Tuhan semenjak ia berada dalam kandungan ibunya lagi. Maka aku sebagai seorang hamba yang lemah terpaksa menerima segala kehendaknya dengan redha dan tenang. Siapa tahu, rupa-rupanya itulah hari pertama dan terakhir aku bersama suamiku yang baru aku kenali itu. Aku hanya mengenalinya seketika sahaja, namun dia telah meninggalkan aku buat selama-lamanya. Aku belum sempat untuk menjalankan tugasan sebagai isteri dengan sepenuhnya. Apalagi yang dapat aku lakukan. Patutlah dia asyik memohon maaf dariku. Sewaktu aku ingin mengejutkannya untuk bersarapan, berkali-kali aku cuba memanggil namanya. Namun dia masih tak menjawab. Aku menggoncang tubuhnya, tetapi tetap tak ada respon. Aku sentuh tangannya, sejuk. Aku memeriksa nadi dan denyutan jantungnya. Senyap! Air mataku terus je mengalir tanpa dapat ditahan lagi. Menangisi kepergian seorang suami. Aku tersedu-sedu sewaktu semua ahli keluarga masuk kebilik untuk melihat apa yang berlaku setelah terlalu lama aku cuba mengejutkan suamiku itu. Tapi rupanya hanyalah jasad yang terbujur kaku.


” Sudahlah Ana, bersyukurlah kerana masih ada lagi pusaka tinggalannya buat Ana.” Pujuk emak. Aku hanya mampu tersenyum dengan pujukan emak itu sambil memandang wajah seorang bayi lelaki yang sedang nyenyak tidur disebelahku. Itulah takdir Tuhan, malam pertama yang telah membuahkan hasil. Walaupun hanya pertama, tapi itulah panglima yang menang dalam pertarungan bagi menduduki rahimku ini. Hari ini, zuriat suamiku itu telah menjenguk dunia ini. Satu-satunya pusaka yang tidak ada nilai buatku selain sebuah rumah yang telah diwasiatkan oleh suamiku buatku. Ya Allah, tempatkanlah rohnya bersama golongan yang soleh. Ya Allah, rahmatilah anakku ini. Jadikanlah dia umpama bapanya yang sentiasa taat kepadamu. Jadikanlah ia berjasa kepada perjuangan dalam menegakkan agamamu. Jadikanlah ia sebagai permata yang membahagiakan aku dan seluruh keluargaku.

Sunday, October 26, 2008

Makanan boleh jadi ubat

PERUT adalah sarang penyakit dan banyak makan adalah punca segala penyakit. Ini yang dipesan Nabi Muhammad SAW supaya umatnya mengamalkan kesederhanaan hidup, terutama dalam bab makan minum.

Malah dalam hadis lain, Rasulullah berpesan yang bermaksud, “Berpuasalah. Nescaya kamu akan sihat.”

Namun dalam masyarakat kita pula berbeza senarionya kerana kita sering menerima ‘nasihat’ supaya makan selagi ada selera.

Akibat mengikut selera, muncul pelbagai penyakit kronik yang dikategorikan sebagai penyakit gaya hidup seperti obesiti, sakit jantung, strok, tekanan darah tinggi, masalah kolesterol tinggi dan kencing manis. Setara dengan namanya, rawatan penyakit kronik payah dan mahal.
Penyakit gaya hidup adalah penyakit global yang membabitkan semua peringkat umur dan kanak-kanak, termasuk di negara membangun seperti Malaysia, akibat kemakmuran ekonomi dan kurang pengetahuan mengenai ilmu pemakanan.
Di Malaysia, perkara ini lebih sukar ditangani kerana kita mempunyai budaya menjamu dan setiap acara mesti diserikan dengan makanan.

Seorang pakar perubatan dalam satu seminar pernah berkata, ayat pelawaan ‘tambahlah lagi’ yang sering digunakan orang kita perlu diubah kepada ‘janganlah makan banyak-banyak’ atau ‘berhenti makan kalau sudah kenyang’.

Saranan ini mungkin kedengaran tidak sopan dan menimbulkan pelbagai persepsi, terutama jika diucapkan tuan rumah, kerana akan dianggap kedekut dan tidak ikhlas menjamu tetamu.

Bagaimanapun, jika difikirkan balik, ia sebenarnya saranan baik (kerana Rasulullah berhenti makan sebelum kenyang) tetapi mungkin sukar dilakukan.

Tabiat makan banyak boleh ‘berjangkit’ dari hari ke hari. Tubuh manusia unik dan boleh mengadaptasi dengan pertambahan kuantiti makanan yang diambil.

Masalah hanya timbul apabila organ yang boleh diumpamakan sebagai kilang memproses dalam badan kita tidak mampu menerima beban kerja yang banyak.

Selain kuantiti, kita perlu memberi perhatian kepada jenis makanan yang diambil kerana pemakanan sihat bukan saja boleh menyelamatkan nyawa tetapi menjadi perangsang kepada badan untuk melawan penyakit, termasuk kanser, kata Perunding Perubatan Holistik, Dr Lim Hua An.

Katanya, penyakit adalah hasil sampingan kepada pemakanan tidak seimbang, pencemaran alam sekitar dan gaya hidup tidak sihat seperti merokok dan kurang bersenam.

Antara kesan fizikal yang boleh dilihat daripada gabungan semua faktor ini ialah pertambahan ukuran pinggang.

Sentiasa pastikan ukuran pinggang dalam julat ‘sihat’ iaitu tidak melebihi 80 sentimeter (32 inci) bagi wanita dan antara 88 hingga 94 sentimeter (36 hingga 40 inci) bagi lelaki. Namun diakui, dalam soal ini wanita biasanya lebih peka dan resah jika ukuran pinggang bertambah.

Apabila pinggang mula lebar, bermakna banyak lemak terkumpul di situ. Andainya ia lemak subkutenaus (yang disimpan di bawah kulit) tidak mengapa, tetapi yang dikhuatiri ialah jika lemak berkumpul pada organ (dipanggil lemak viseral), terutama pada lelaki, kerana boleh meningkatkan risiko penyakit jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi serta strok.



Bagaimana makanan boleh menjadi ubat?

Dr Lim berkata, makanan boleh menjadi ubat jika kita tanya dua soalan kepada diri sendiri setiap kali ketika membuat pilihan iaitu apakah makanan yang boleh mengelakkan penyakit dan makanan mana pula boleh mengakibatkan masalah kesihatan.

Memang benar, tiada makanan boleh dianggap ‘baik’ atau ‘tidak baik’ selagi diambil secara sederhana. Namun, dengan gaya hidup kita hari ini yang banyak makan dan kurang bersenam, makanan yang baik boleh bertukar menjadi berbahaya jika diambil setiap hari.

Namun, perkara paling asas ialah memastikan badan boleh menyerap khasiat daripada semua makanan yang diambil. Perkara ini hanya boleh dicapai jika sel dalam badan, terutama di usus, sihat dan dapat berfungsi dengan baik kerana di sini penyerapan khasiat berlaku. Untuk membolehkan usus berfungsi dengan baik, kita memerlukan serat dan air.

“Kita lebih banyak menumpukan terhadap isu terlebih makan, tetapi kekurangan sumber makanan tertentu juga boleh mendatangkan masalah kesihatan, contohnya serat. Tidak ramai mengambil serat secukupnya (iaitu antara 30 hingga 35 gram sehari). Kekurangan serat menyebabkan masalah dalam usus seperti keradangan dinding usus, ulser, sembelit dan kanser.

“Kira-kira 50 peratus individu berumur 65 tahun ke atas mengalami masalah divertikulosis iaitu pembentukan kantung kecil pada dinding usus kecil disebabkan perubahan pada tabiat usus. Ia menimbulkan ketidakselesaan perut dan menjejaskan penyerapan khasiat makanan.

“Keadaan ini menyebabkan warga tua lebih mudah mengalami masalah tidak cukup zat kerana secara umumnya selera makan berkurang apabila umur meningkat,” katanya pada forum kesihatan anjuran majalah HealthToday.

Serat boleh dibahagi kepada dua jenis, iaitu yang larut dan tidak larut air. Serat tidak larut seperti selulos boleh menyerap air 10 hingga 15 kali saiz asalnya. Ia menambah kuantiti najis dan menjadikannya lembut supaya mudah dikeluarkan dari badan. Bersamanya, ia membawa bahan toksik.

Serat larut air seperti yang terkandung dalam oat dan epal pula merendahkan kolesterol dan mengurangkan risiko penyakit jantung. Secara semula jadi, badan menyingkir kolesterol dengan menghasilkan cecair hempedu yang diserap ke dalam serat.

Maknanya, lebih banyak serat diambil, lebih banyak kolesterol dibuang dari badan. Serat larut air juga menstabilkan paras gula dengan memperlahankan penyerapan gula ringkas daripada makanan, khususnya selepas makan.

Sumber serat paling utama ialah buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang dan bijirin. Untuk mendapat 30 hingga 35 gram serat sehari, kita digalakkan makan sekurang-kurangnya sembilan hidangan sayur dan buah serta dua hidangan kekacang. Manakala bagi tujuan menghindarkan kanser usus, Dr Lim menyarankan supaya pengambilan serat ditingkatkan kepada 40 hingga 50 gram sehari.

“Selain darah, air bertindak sebagai pelarut yang membawa oksigen ke sel. Secara purata kita hilang kira-kira tiga liter air sehari melalui aktiviti harian, tidak termasuk senaman. Tiga liter yang hilang perlu diganti semula dan jika kita bersenam, maknanya kita perlukan lebih banyak air.

“Kita perlu minum kira-kira lima liter air sehari bagi membersihkan badan atau detoksifikasi. Usah bimbang berlaku masalah kembung kerana buah pinggang yang sihat boleh menyingkir kira-kira 900 mililiter air dalam sejam.

“Dalam proses ini semua bahan toksik dalam badan dibuang secara perlahan-lahan. Kekurangan air pula boleh meningkatkan risiko pembentukan batu karang. Jika anda makan banyak serat, anda perlu minum banyak air supaya proses perkumuhan lebih lancar,” katanya.

Antara petua lain untuk mengekalkan kesihatan dan mengelak penyakit ialah melebihkan pengambilan sumber makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan dan mengurangkan makanan daripada sumber haiwan.

Nisbah yang disarankan ialah 85 peratus makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan (terutama berwarna hijau) dan 15 peratus daripada sumber haiwan. Ini kerana sumber makanan berwarna hijau mengandungi enzim, mineral, antioksidan dan bersifat alkali.

Secara semula jadi badan kita bersifat lebih alkali dan memerlukan makanan dengan sifat sama untuk kekal sihat. Sebaliknya makanan bersifat asid, terutama daripada makanan berasaskan haiwan, dikatakan boleh meningkatkan perkembangan sel kanser yang dipercayai ada dalam badan semua orang.

Keadaan beralkali meningkatkan kesihatan sel dan merangsang tindakan saraf. Sebaliknya, sel menjadi ‘sakit’ dan tindakan saraf terencat apabila persekitaran badan menjadi berasid. Apabila darah menjadi lebih berasid ia menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti cepat letih, mudah diserang selesema dan sakit kepala, dada serta perut.

Enzim dalam tumbuh-tumbuhan sangat penting untuk mencegah kita daripada kanser. Sel kanser diliputi protein dan enzim daripada tumbuh-tumbuhan bertindak sebagai perangsang yang membantu memecahkan protein ini. Oleh kerana sel kanser adalah sel yang tidak normal, sel darah putih yang berfungsi sebagai satu barisan pertahanan dalam sistem imun akan memusnahkan sel kanser.

Enzim penting ini (tripsin dan kimotripsin) hanya diperoleh daripada makanan segar seperti buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang, bijirin dan daging. Memasak pada suhu tinggi memusnahkan enzim ini dan menyebabkan makanan lebih sukar dihadam.

Selain itu, makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan adalah pembekal tunggal semula jadi vitamin dan mineral yang diperlukan badan. Ia tiada dalam makanan berasaskan haiwan kerana haiwan juga mendapatkannya daripada tumbuh-tumbuhan.



Mengapa perlu mengurangkan makanan berasaskan haiwan?

“Daging dan makanan laut mengandungi banyak lemak tepu (yang mempunyai kecenderungan tinggi untuk berkumpul pada bahagian pinggang dan menjadi lemak viseral), kolesterol, logam berat, parasit, virus atau bakteria.

“Bagaimanapun ini bukan bermakna makanan berasaskan haiwan tidak selamat, tetapi ambil secara bersederhana. Pastikan makanan ini betul-betul masak untuk mengelak jangkitan parasit kerana ada orang suka makan daging separa atau tiga suku masak.

“Parasit ‘merebak’ melalui daging mentah dan jangkitan ini bersifat kekal. Bermakna sekali anda mendapat jangkitan, sukar menyingkir parasit daripada badan. Jangkitan paling lazim membabitkan parasit dipanggil Toxoplasmo gandii (daripada keluarga kucing dan babi) yang menyebabkan lebih satu bilion kes dilaporkan di seluruh dunia,” katanya.

Terlalu banyak makanan berasaskan haiwan dan kurang daripada sumber tumbuh-tumbuhan juga antara faktor utama masalah sembelit. Jangan fikir sembelit adalah masalah kecil kerana tanpa anda sedari ia boleh menjadi antara perangsang risiko kanser terutama kanser usus.

Walaupun tiada bukti kukuh, pakar perubatan seluruh dunia menyarankan kita melebihkan pengambilan makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan sebagai pembekal serat bagi mengurangkan risiko mendapat kanser.

Seperti diterangkan di atas, serat bukan saja menambah kuantiti najis tetapi mempercepatkan proses pengeluaran bahan kumuh daripada usus dan membuatkan kita lebih selesa.

Lebih 40 peratus kanser boleh dielak melalui pengambilan makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan. Insiden kanser payu dara dan usus lebih tinggi di negara yang penduduknya makan lebih banyak daging. Peningkatan kes kanser ini di negara kita juga mungkin berpunca daripada perubahan pemakanan masyarakat yang dipengaruhi gaya pemakanan Barat.

Selain itu, lakukan beberapa perubahan tabiat pemakanan yang terbukti berkesan mengawal penyakit seperti kanser, sakit jantung, masalah kolesterol tinggi, artritis, kencing manis, tekanan darah tinggi, anemia, keletihan melampau, masalah penghadaman dan Aids.

Pada masa sama, kurangkan pengambilan gula yang menjadi punca pelbagai masalah kesihatan. Ia bukan saja dapat mengawal penyakit kencing manis, malah dapat mengurangkan kesan negatif kanser.

“Bukan makanan saja yang menjadi penentu kesihatan kerana ia turut dipengaruhi faktor psikologi dan persekitaran. Sentiasa berfikiran positif, percaya kepada Tuhan dan amalan pemakanan seimbang boleh menghasilkan sel sihat tanpa disedari,” katanya.


Monday, October 13, 2008

Bersihkan hati daripada hasad dengki, kikis sifat rugikan masyarakat

LAZIMNYA apabila badan rasa panas semacam, kita cepat-cepat mencari ubat untuk menurunkan suhu panas itu. Jika tidak berkurangan selepas memakan ubat, jalan terakhir ialah ke klinik kesihatan berdekatan atau pun hospital.
Semua dilakukan kerana ingin cepat sembuh daripada penyakit panas badan itu. Kita risau jika panas itu berlarutan dua tiga hari boleh mendatangkan penyakit lain pula. Kita mahu tubuh badan sihat sentiasa supaya dapat membuat amal ibadat.
Kebiasaannya begitulah kita cukup menjaga kesihatan tubuh badan. Semua inginkan tubuh badannya sihat, cergas dan bertenaga supaya dapat hidup ceria serta mampu bergerak ke sana sini dengan selesa.
Akan tetapi ada di kalangan kita tidak ambil peduli jika rohaninya sakit. Dibiarkan saja rohaninya sakit sekian lama tanpa berusaha mengubatinya. Ramai kurang memberi perhatian terhadap kesihatan rohani walaupun penyakit rohani lebih bahaya daripada penyakit moden.
Salah satu unsur rohani ialah hati. Hati memainkan peranan penting dalam tubuh badan manusia kerana elok hati maka eloklah manusia itu. Kotor hati, buruk akhlak manusia itu. Justeru, hati perlu dibersihkan selalu. Rohani sihat kerana hati sihat.
Allah tidak melihat manusia berdasarkan paras wajah yang cantik atau tampan. Allah tidak juga melihat akan kehebatan atau terkenalnya manusia itu dalam masyarakat atau negara. Yang Allah lihat ialah hatinya.
Sabda Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada badanmu, rupamu, tetapi langsung melihat kepada hati dan perbuatanmu." � (Hadis riwayat Muslim)
Oleh itu Allah sangat membenci orang yang membutakan hatinya. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya kami jadikan sebagai isi neraka jahanam kebanyakan di antara jin dan manusia. Mereka mempunyai hati tapi tidak dipergunakan untuk memahami ayat Allah. Dan mereka mempunyai mata tetapi tidak dipergunakan untuk melihat tanda kekuasaan Allah. Dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengar ayat Allah. Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai." � (Surah al-Araf, ayat 179)
Orang yang disebut Allah dalam firman-Nya itu ternyata rohaninya (hatinya) tidak sihat dan tentunya berpenyakit. Apabila rohani berpenyakit maka berlakulah sifat bertentangan tuntutan agama dan lebih buruk lagi boleh mengakibatkan manusia itu ingkar kepada Allah.
Firman Allah yang bermaksud: "Di dalam hati mereka ada beberapa penyakit, lalu Allah menambah penyakit itu, dan untuk mereka itu azab yang pedih kerana mereka telah berdusta." � (Surah al-Bazarah, ayat 10)
Antara penyakit rohani yang cukup akrab menghinggapi orang Islam ialah hasad dengki, sombong, takbur, angkuh, buruk sangka, riak, bakhil, pendendam, kufur nikmat, cinta dunia, bangga diri dan sebagainya.
Sifat hasad dengki misalnya adalah sifat yang banyak membawa keburukan dan kemusnahan. Orang berpenyakit hasad dengki ini tidak suka melihat orang lain berjaya daripada dirinya, tidak kira dalam apa juga bidang. Dia akan berusaha sedaya upaya menjatuhkan atau menggagalkan orang yang lebih daripadanya itu. Dia akan melakukannya sehingga berjaya, iaitu sehingga musuhnya jatuh gagal dan tewas.
Allah sangat benci kepada orang yang ada penyakit hasad dengki dalam hatinya. Firman Allah yang bermaksud: "Mereka itu orang yang dikutuk Allah. Barang siapa yang dikutuk Allah maka tak akan engkau peroleh baginya penolong. Bahkan adalah bahagian dari kerajaan? Jika ada, mereka tiada mendatangkan kebajikan kepada manusia sedikit pun. Bahkan adalah mereka berhati hasad (iri dengki) kepada manusia, kerana Allah memberikan kurnia kepadanya? Sesungguhnya telah Kami berikan kepada keluarga Ibrahim Kitab dan hikmah dan Kami berikan kepada mereka kerajaan yang besar. Maka di antara mereka ada yang beriman kepadanya (Muhammad) dan di antara ada yang berpaling daripadanya. Cukuplah neraka jahanam yang menyala sebagai azab bagi mereka." � (Surah an-Nisa', ayat 52-55)
Rasulullah SAW juga memperingatkan dalam hadis Baginda yang bermaksud: "Hati-hatilah kamu daripada hasad dengki kerana hasad dengki itu akan memakan semua amal kebaikan sebagaimana api memakan kayu kering atau rumput kering." � (Hadis diriwayatkan Imam Abu Dawud)
Justeru, marilah kita menghindarkan diri kita dari ditimpa penyakit rohani yang bernama hasad dengki dan segera mengubatinya jika ada tanda demikian. Kikis sifat yang merugikan diri dan masyarakat Islam seluruhnya.
Bersihkan hati kita daripada sifat hasad dengki dan sifat lain yang dinyatakan. Sesungguhnya hidup akan lebih ceria, selesa dan sejahtera jika diri sihat dan rohani (hati) juga tidak berpenyakit. Kitalah yang menentukan berubah atau tidaknya diri kita.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengubah keadaan suatu kaum, sebelum kaum itu sendiri yang berusaha mengubah keadaannya (nasibnya)." � (Surah ar-Ra'd, ayat 11)

Wednesday, October 8, 2008

Tajdid Iman: Ramadan tiada makna jika amalan merosot

Syawal sebenarnya gamit jiwa kembali kepada fitrah elak terjebak maksiat

RAMADAN sudah meninggalkan tapak semaian ibadat yang mekar di hati seorang mukmin. Jiwanya masih lagi dipengaruhi bekas amal salih, sabar dan reda menahan hawa nafsu, munajat dan sujud, tadabbur al-Quran dan sedekah, doa yang panjang, tangisan dan taubat pada akhir malam.

Semua itu amat bermakna bagi membersihkan jiwa. Maka, pada Syawal ini janganlah disurutkan langkah ke belakang dan dikotori jiwa dengan maksiat. Apatah lagi untuk memutuskan diri dengan 'pencen ibadat'?

Jika demikian tentu sia-sia madrasah Ramadan dalam membentuk karakter jiwa yang bersih, tahan lasak melawan hawa nafsu dan kuat mujahadah. Syawal yang mulia seharusnya menggamit jiwa untuk kembali kepada fitrah.

Dunia kembali kepada wajah yang jelek dan huru-hara akibat perangai manusia bersifat seperti syaitan. Kembali bergolak dengan kejahatan dan kezaliman di mana-mana, dosa dan maksiat dianggap sesuatu yang lumrah dan semakin lembik suara mengajak kepada amar makruf nahi mungkar. Apakah ini semua berlaku kerana berakhirnya Ramadan?

Tidak, sesungguhnya Ramadan dijadikan sebagai bulan pembekal iman dan penguat semangat ketakwaan orang mukmin. Kekurangan ilmu dan ketandusan kefahaman agama menjadi sebab dan punca sesetengah umat Islam tidak mampu menterjemahkan semangat Ramadan sepanjang kehidupan mereka.

Janganlah kerana berpegang secara silap kepada hadis Rasulullah SAW yang menyatakan syaitan diikat pada Ramadan maka ada yang pandai-pandai beranggapan dosa dan maksiat yang dilakukan kini bukan atas kemahuan mereka, tetapi kerana rasukan serta hasutan syaitan selepas rantai dilepaskan.

Bukankah manusia sudah dibekalkan dengan kekuatan dan senjata untuk melawan pengaruh syaitan? Allah menolong hamba-Nya dan memberi penjagaan serta bimbingan wahyu untuk menyelamatkan manusia daripada kejahatan makhluk itu.

Mengapa menuduh syaitan menjadi punca kemerosotan iman, padahal setiap insan dibekalkan akal, hati, mata dan telinga untuk menerima hidayah Allah? Rasul diutuskan dan agama diturunkan dengan sempurna.

Bukankah Allah memberi jaminan dan perlindungan kepada setiap hamba-Nya daripada gangguan syaitan? seperti firman-Nya yang bermaksud: "Bagi manusia ada malaikat yang selalu mengikutinya secara bergilir, di depan dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia." (Surah al-Ra'd, ayat 11)

Allah berfirman yang bermaksud: "Hampir-hampir neraka itu terpecah-pecah lantaran marah. Setiap kali dilemparkan ke dalamnya sekumpulan orang kafir, penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka: Apakah belum pernah datang kepada kamu (di dunia) seorang pemberi peringatan? Mereka menjawab: Benar ada. Sesungguhnya telah datang kepada kami seorang pemberi peringatan, maka kami mendustakannya dan kami katakan: Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu tidak lain hanyalah di dalam kesesatan yang besar. Dan mereka berkata: Jika kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) nescaya tidaklah kami termasuk penghuni neraka yang menyala-nyala. Mereka mengakui dosa mereka. Maka kebinasaanlah bagi penghuni neraka yang menyala-nyala." (Surah al-Mulk, ayat 8-11)

Antara amalan yang membuat syaitan berputus asa menggoda manusia ialah dengan kembali kepada Allah selepas tersilap langkah. Sesungguhnya tipu daya syaitan itu amat lemah bagi orang yang sentiasa dekat dengan Allah dan menyedari bahawa ada Malaikat Hafazah dan Malaikat Rakib juga Atid yang menemani serta memerhati pergerakan amalan mereka.

Sehingga melalui lisan Nabi-Nya SAW dinyatakan setiap anak Adam pasti berdosa. Mereka tidak terlepas daripada gangguan syaitan, bahkan dalam aliran darah mereka melainkan orang yang menang dan kuat melawan pengaruhnya dengan pertolongan Allah.

Hal ini dinyatakan Baginda SAW yang bermaksud: "Bahawasanya Rasulullah SAW pernah keluar dari rumah Aisyah pada waktu malam, lalu aku (Aisyah) berasa cemburu terhadapnya. Apabila Baginda kembali dan melihat apa yang aku lakukan, Baginda bersabda: Wahai Aisyah! Apakah engkau cemburukan aku? Aku menjawab: Bagaimanakah orang seperti aku ini tidak cemburu kepada orang sepertimu? Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Kenapa begitu? Apakah syaitan merasukmu? Lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah aku mempunyai syaitan? Sabda baginda: Benar. Aku bertanya lagi: Apakah syaitan itu berada pada semua orang? Sabdanya: Benar. Aku bertanya lagi: Pada dirimu juga ada syaitan? Sabda Baginda: Benar, akan tetapi Tuhanku menolongku terhadap syaitan itu sehingga akhirnya dia menyerah kalah." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Betapa lemahnya manusia apabila Allah melepaskan genggaman-Nya ke atas hati mereka, apabila Allah memalingkan pandangan rahmat-Nya dari jiwa mereka dan apabila Allah membiarkan mereka menjaga diri sendiri tanpa kekuatannya-Nya.

Sebaik-baik jalan keluar bagi menyelamatkan diri ialah dengan menghapuskan dosa lalu dan kembali kepada Allah dalam keadaan bertaubat. Jika tersilap lagi, bangkitlah semula dan jangan berputus asa mencari jalan pulang.

Sikap optimis dalam mencari hidayah dan melazimi taubat kepada Allah adalah amalan terbaik yang membuat syaitan menangis berputus asa. Bayangkanlah, ketika syaitan sudah hampir mencapai matlamatnya untuk menyesatkan seorang insan, tiba-tiba dengan segenap kekuatan insan itu berpatah balik pulang kepada Allah. Pasti syaitan laknatullah tersungkur menghumbankan wajah mereka ke tanah menangis sambil berkata: "Oh alangkah ruginya, sedikit saja lagi aku hampir menyesatkannya!"

Amalan seterusnya yang membuat syaitan berputus asa ialah membentuk benteng hati bersama ulama dan orang salih. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa antara kamu yang menginginkan kebahagiaan syurga, hendaklah dia melazimkan diri dalam jemaah. Sebab syaitan suka kepada orang yang bersendirian." (Hadis sahih riwayat Imam al-Tirmizi)

Pergaulan sihat mesti dilandaskan iman dan takwa. Memilih sahabat adalah ibadat. Setiap insan mesti memastikan dirinya berada dalam lingkungan iman yang baik, amal salih berterusan dan ilmu semakin meningkat serta penghayatan mendalam dalam kehidupan seharian. Keadaan sebegini memusnahkan impian syaitan laknatullah menyesatkan manusia beriman.

Kedudukan ulama ikhlas dan orang salih yang warak kadang-kadang dipinggirkan disebabkan perbezaan pandangan serta tindakan mereka terhadap orang jahil. Setiap perbezaan dan khilaf dalam masyarakat adalah ketentuan Allah yang berlaku pada setiap zaman.

Sudah selayaknya orang yang faham dan alim berlapang dada atas perlakuan orang jahil seperti Rasulullah SAW diarah untuk merendahkan 'sayapnya' (menurut bahasa al-Quran) di hadapan orang kurang memahami.

Demi membentuk benteng teguh menangkis serangan syaitan laknatullah, tiada jalan terbaik selain mengikuti sunnah Rasulullah SAW, bersaudara dengan orang salih dan menimba ilmu daripada pewaris Nabi.