Sunday, October 26, 2008

Makanan boleh jadi ubat

PERUT adalah sarang penyakit dan banyak makan adalah punca segala penyakit. Ini yang dipesan Nabi Muhammad SAW supaya umatnya mengamalkan kesederhanaan hidup, terutama dalam bab makan minum.

Malah dalam hadis lain, Rasulullah berpesan yang bermaksud, “Berpuasalah. Nescaya kamu akan sihat.”

Namun dalam masyarakat kita pula berbeza senarionya kerana kita sering menerima ‘nasihat’ supaya makan selagi ada selera.

Akibat mengikut selera, muncul pelbagai penyakit kronik yang dikategorikan sebagai penyakit gaya hidup seperti obesiti, sakit jantung, strok, tekanan darah tinggi, masalah kolesterol tinggi dan kencing manis. Setara dengan namanya, rawatan penyakit kronik payah dan mahal.
Penyakit gaya hidup adalah penyakit global yang membabitkan semua peringkat umur dan kanak-kanak, termasuk di negara membangun seperti Malaysia, akibat kemakmuran ekonomi dan kurang pengetahuan mengenai ilmu pemakanan.
Di Malaysia, perkara ini lebih sukar ditangani kerana kita mempunyai budaya menjamu dan setiap acara mesti diserikan dengan makanan.

Seorang pakar perubatan dalam satu seminar pernah berkata, ayat pelawaan ‘tambahlah lagi’ yang sering digunakan orang kita perlu diubah kepada ‘janganlah makan banyak-banyak’ atau ‘berhenti makan kalau sudah kenyang’.

Saranan ini mungkin kedengaran tidak sopan dan menimbulkan pelbagai persepsi, terutama jika diucapkan tuan rumah, kerana akan dianggap kedekut dan tidak ikhlas menjamu tetamu.

Bagaimanapun, jika difikirkan balik, ia sebenarnya saranan baik (kerana Rasulullah berhenti makan sebelum kenyang) tetapi mungkin sukar dilakukan.

Tabiat makan banyak boleh ‘berjangkit’ dari hari ke hari. Tubuh manusia unik dan boleh mengadaptasi dengan pertambahan kuantiti makanan yang diambil.

Masalah hanya timbul apabila organ yang boleh diumpamakan sebagai kilang memproses dalam badan kita tidak mampu menerima beban kerja yang banyak.

Selain kuantiti, kita perlu memberi perhatian kepada jenis makanan yang diambil kerana pemakanan sihat bukan saja boleh menyelamatkan nyawa tetapi menjadi perangsang kepada badan untuk melawan penyakit, termasuk kanser, kata Perunding Perubatan Holistik, Dr Lim Hua An.

Katanya, penyakit adalah hasil sampingan kepada pemakanan tidak seimbang, pencemaran alam sekitar dan gaya hidup tidak sihat seperti merokok dan kurang bersenam.

Antara kesan fizikal yang boleh dilihat daripada gabungan semua faktor ini ialah pertambahan ukuran pinggang.

Sentiasa pastikan ukuran pinggang dalam julat ‘sihat’ iaitu tidak melebihi 80 sentimeter (32 inci) bagi wanita dan antara 88 hingga 94 sentimeter (36 hingga 40 inci) bagi lelaki. Namun diakui, dalam soal ini wanita biasanya lebih peka dan resah jika ukuran pinggang bertambah.

Apabila pinggang mula lebar, bermakna banyak lemak terkumpul di situ. Andainya ia lemak subkutenaus (yang disimpan di bawah kulit) tidak mengapa, tetapi yang dikhuatiri ialah jika lemak berkumpul pada organ (dipanggil lemak viseral), terutama pada lelaki, kerana boleh meningkatkan risiko penyakit jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi serta strok.



Bagaimana makanan boleh menjadi ubat?

Dr Lim berkata, makanan boleh menjadi ubat jika kita tanya dua soalan kepada diri sendiri setiap kali ketika membuat pilihan iaitu apakah makanan yang boleh mengelakkan penyakit dan makanan mana pula boleh mengakibatkan masalah kesihatan.

Memang benar, tiada makanan boleh dianggap ‘baik’ atau ‘tidak baik’ selagi diambil secara sederhana. Namun, dengan gaya hidup kita hari ini yang banyak makan dan kurang bersenam, makanan yang baik boleh bertukar menjadi berbahaya jika diambil setiap hari.

Namun, perkara paling asas ialah memastikan badan boleh menyerap khasiat daripada semua makanan yang diambil. Perkara ini hanya boleh dicapai jika sel dalam badan, terutama di usus, sihat dan dapat berfungsi dengan baik kerana di sini penyerapan khasiat berlaku. Untuk membolehkan usus berfungsi dengan baik, kita memerlukan serat dan air.

“Kita lebih banyak menumpukan terhadap isu terlebih makan, tetapi kekurangan sumber makanan tertentu juga boleh mendatangkan masalah kesihatan, contohnya serat. Tidak ramai mengambil serat secukupnya (iaitu antara 30 hingga 35 gram sehari). Kekurangan serat menyebabkan masalah dalam usus seperti keradangan dinding usus, ulser, sembelit dan kanser.

“Kira-kira 50 peratus individu berumur 65 tahun ke atas mengalami masalah divertikulosis iaitu pembentukan kantung kecil pada dinding usus kecil disebabkan perubahan pada tabiat usus. Ia menimbulkan ketidakselesaan perut dan menjejaskan penyerapan khasiat makanan.

“Keadaan ini menyebabkan warga tua lebih mudah mengalami masalah tidak cukup zat kerana secara umumnya selera makan berkurang apabila umur meningkat,” katanya pada forum kesihatan anjuran majalah HealthToday.

Serat boleh dibahagi kepada dua jenis, iaitu yang larut dan tidak larut air. Serat tidak larut seperti selulos boleh menyerap air 10 hingga 15 kali saiz asalnya. Ia menambah kuantiti najis dan menjadikannya lembut supaya mudah dikeluarkan dari badan. Bersamanya, ia membawa bahan toksik.

Serat larut air seperti yang terkandung dalam oat dan epal pula merendahkan kolesterol dan mengurangkan risiko penyakit jantung. Secara semula jadi, badan menyingkir kolesterol dengan menghasilkan cecair hempedu yang diserap ke dalam serat.

Maknanya, lebih banyak serat diambil, lebih banyak kolesterol dibuang dari badan. Serat larut air juga menstabilkan paras gula dengan memperlahankan penyerapan gula ringkas daripada makanan, khususnya selepas makan.

Sumber serat paling utama ialah buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang dan bijirin. Untuk mendapat 30 hingga 35 gram serat sehari, kita digalakkan makan sekurang-kurangnya sembilan hidangan sayur dan buah serta dua hidangan kekacang. Manakala bagi tujuan menghindarkan kanser usus, Dr Lim menyarankan supaya pengambilan serat ditingkatkan kepada 40 hingga 50 gram sehari.

“Selain darah, air bertindak sebagai pelarut yang membawa oksigen ke sel. Secara purata kita hilang kira-kira tiga liter air sehari melalui aktiviti harian, tidak termasuk senaman. Tiga liter yang hilang perlu diganti semula dan jika kita bersenam, maknanya kita perlukan lebih banyak air.

“Kita perlu minum kira-kira lima liter air sehari bagi membersihkan badan atau detoksifikasi. Usah bimbang berlaku masalah kembung kerana buah pinggang yang sihat boleh menyingkir kira-kira 900 mililiter air dalam sejam.

“Dalam proses ini semua bahan toksik dalam badan dibuang secara perlahan-lahan. Kekurangan air pula boleh meningkatkan risiko pembentukan batu karang. Jika anda makan banyak serat, anda perlu minum banyak air supaya proses perkumuhan lebih lancar,” katanya.

Antara petua lain untuk mengekalkan kesihatan dan mengelak penyakit ialah melebihkan pengambilan sumber makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan dan mengurangkan makanan daripada sumber haiwan.

Nisbah yang disarankan ialah 85 peratus makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan (terutama berwarna hijau) dan 15 peratus daripada sumber haiwan. Ini kerana sumber makanan berwarna hijau mengandungi enzim, mineral, antioksidan dan bersifat alkali.

Secara semula jadi badan kita bersifat lebih alkali dan memerlukan makanan dengan sifat sama untuk kekal sihat. Sebaliknya makanan bersifat asid, terutama daripada makanan berasaskan haiwan, dikatakan boleh meningkatkan perkembangan sel kanser yang dipercayai ada dalam badan semua orang.

Keadaan beralkali meningkatkan kesihatan sel dan merangsang tindakan saraf. Sebaliknya, sel menjadi ‘sakit’ dan tindakan saraf terencat apabila persekitaran badan menjadi berasid. Apabila darah menjadi lebih berasid ia menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti cepat letih, mudah diserang selesema dan sakit kepala, dada serta perut.

Enzim dalam tumbuh-tumbuhan sangat penting untuk mencegah kita daripada kanser. Sel kanser diliputi protein dan enzim daripada tumbuh-tumbuhan bertindak sebagai perangsang yang membantu memecahkan protein ini. Oleh kerana sel kanser adalah sel yang tidak normal, sel darah putih yang berfungsi sebagai satu barisan pertahanan dalam sistem imun akan memusnahkan sel kanser.

Enzim penting ini (tripsin dan kimotripsin) hanya diperoleh daripada makanan segar seperti buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang, bijirin dan daging. Memasak pada suhu tinggi memusnahkan enzim ini dan menyebabkan makanan lebih sukar dihadam.

Selain itu, makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan adalah pembekal tunggal semula jadi vitamin dan mineral yang diperlukan badan. Ia tiada dalam makanan berasaskan haiwan kerana haiwan juga mendapatkannya daripada tumbuh-tumbuhan.



Mengapa perlu mengurangkan makanan berasaskan haiwan?

“Daging dan makanan laut mengandungi banyak lemak tepu (yang mempunyai kecenderungan tinggi untuk berkumpul pada bahagian pinggang dan menjadi lemak viseral), kolesterol, logam berat, parasit, virus atau bakteria.

“Bagaimanapun ini bukan bermakna makanan berasaskan haiwan tidak selamat, tetapi ambil secara bersederhana. Pastikan makanan ini betul-betul masak untuk mengelak jangkitan parasit kerana ada orang suka makan daging separa atau tiga suku masak.

“Parasit ‘merebak’ melalui daging mentah dan jangkitan ini bersifat kekal. Bermakna sekali anda mendapat jangkitan, sukar menyingkir parasit daripada badan. Jangkitan paling lazim membabitkan parasit dipanggil Toxoplasmo gandii (daripada keluarga kucing dan babi) yang menyebabkan lebih satu bilion kes dilaporkan di seluruh dunia,” katanya.

Terlalu banyak makanan berasaskan haiwan dan kurang daripada sumber tumbuh-tumbuhan juga antara faktor utama masalah sembelit. Jangan fikir sembelit adalah masalah kecil kerana tanpa anda sedari ia boleh menjadi antara perangsang risiko kanser terutama kanser usus.

Walaupun tiada bukti kukuh, pakar perubatan seluruh dunia menyarankan kita melebihkan pengambilan makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan sebagai pembekal serat bagi mengurangkan risiko mendapat kanser.

Seperti diterangkan di atas, serat bukan saja menambah kuantiti najis tetapi mempercepatkan proses pengeluaran bahan kumuh daripada usus dan membuatkan kita lebih selesa.

Lebih 40 peratus kanser boleh dielak melalui pengambilan makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan. Insiden kanser payu dara dan usus lebih tinggi di negara yang penduduknya makan lebih banyak daging. Peningkatan kes kanser ini di negara kita juga mungkin berpunca daripada perubahan pemakanan masyarakat yang dipengaruhi gaya pemakanan Barat.

Selain itu, lakukan beberapa perubahan tabiat pemakanan yang terbukti berkesan mengawal penyakit seperti kanser, sakit jantung, masalah kolesterol tinggi, artritis, kencing manis, tekanan darah tinggi, anemia, keletihan melampau, masalah penghadaman dan Aids.

Pada masa sama, kurangkan pengambilan gula yang menjadi punca pelbagai masalah kesihatan. Ia bukan saja dapat mengawal penyakit kencing manis, malah dapat mengurangkan kesan negatif kanser.

“Bukan makanan saja yang menjadi penentu kesihatan kerana ia turut dipengaruhi faktor psikologi dan persekitaran. Sentiasa berfikiran positif, percaya kepada Tuhan dan amalan pemakanan seimbang boleh menghasilkan sel sihat tanpa disedari,” katanya.


No comments: