Friday, October 9, 2009

An-Nur: Qada puasa lebih utama

PUASA sunat Syawal sememangnya popular di kalangan masyarakat kita. Di kesempatan ini, saya suka menasihatkan semua yang mengamalkannya supaya berhati-hati daripada tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan individu berpuasa itu bermegah dan riak dengan amalannya.
“Kau dah hari ke berapa?” “Ini hari kelima.” “Esok aku raya (sunat Syawal).”
Itu semua antara kata-kata yang kerap didengari di bulan Syawal ini.
Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam.
Ia agak terpuji tetapi dicemari oleh hebahan yang dibuat berkaitan bilangan hari puasanya bertujuan melihat ‘siapa lebih hebat.’Amat dibimbangi, tindakan itu bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya kerana ia menjatuhkan seseorang di dalam dosa hati yang bernama ‘sum’ah’.
Sum’ah adalah satu penghapus amalan kebaikan apabila amalan kebaikan itu dihebahkan kepada umum bagi meraih pujian dan sanjungan.
Memang benar, tidak semua jenis pemberitahuan kebaikan itu salah. Ia lebih tertumpu kepada kawalan niat dan hati seseorang namun dalam banyak keadaan, ramai individu gagal mengawal niatnya daripada berasa bangga dan menunjukkan kelebihan diri.
Adapun, bagi segelintir orang soleh, mereka juga berkongsi amalan kebaikan khususnya kepada anak murid supaya ia dapat dicontohi dan diikuti.Jika guru mampu mengawal niatnya, ia tidaklah menjadi penghapus kepada amalannya.
Bagi individu biasa, lebih baik jika dapat disembunyikan puasa sunat itu supaya tidak membuka ruang syaitan untuk merosakkan niat.
ZIARAH DAN PUASA SUNAT
Tidak dinafikan ada yang terpaksa memberitahu diri ‘berpuasa’ apabila ada rakan yang menjemput, menjamu dan menziarahi rumah.
Ketika itu, ia tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggungjawab menjaga niat dan hati supaya tidak timbul perasaan terbabit.
Dalam masa sama, puasa sunat juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan atau saudara yang membuat rumah terbuka.
KEUTAMAAN ANTARA SUNAT SYAWAL DAN QADA
Jika ada yang bertanya mana lebih baik di antara puasa sunat Syawal atau puasa qada?Jawapannya sudah tentu puasa qada.
Ini terbukti daripada hadis Qudsi yang sahih bermaksud: “...dan tidaklah hampir kepada-Ku seorang hamba-Ku dengan apa jua pun, maka yang lebih Kusukai adalah mereka melaksanakan amalan fardu/wajib ke atas mereka dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepada-Ku dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah Aku kasih kepadanya...,” (Riwayat Al-Bukhari).
Hadis itu sebagai asas keutamaan. Bagaimanapun, daripada sudut praktikal, jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang. Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu qada puasanya selama berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama ketika Ramadan) dan tubuhnya juga sihat dan diyakini masih kuat, eloklah dia mengerjakan puasa sunat Syawal terlebih dulu.
Ini kerana waktu sunat puasa Syawal yang singkat berbanding qada (sepanjang tahun). Bagaimanapun, perlu diingat, walaupun tempoh bagi puasa qada panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dulu. Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.
Bagaimanapun, seseorang yang mati selepas berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawal, pastinya tiada sebarang masalah, malah mungkin dia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat Syawal itu sekali. Ia berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW: “Barang siapa yang ingin melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, sudah dituliskan Allah SWT baginya pahala penuh, maka jika ia berkeinginan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.” (Riwayat Al-Bukhari).
Kita harus memahami bahawa darjat puasa qada adalah lebih tinggi dan tanggungjawab menunaikannya jauh lebih besar daripada sunat Syawal. Ini kerana, puasa qada adalah puasa wajib dan ‘hutang’ ibadat dengan Allah SWT berbanding puasa Syawal yang hanya sebagai tambahan pahala.
dipetik dari harian metro.....

Thursday, October 1, 2009

Al-Quran pedoman hidup insan takwa

MEMILIH gaya hidup berpandukan al-Quran adalah jalan yang sesuai untuk mengembalikan landskap kehidupan harmonis. Kesempurnaan yang dicari untuk pengisian sebuah jiwa bukan bergantung kepada insan lain atau sebarang bentuk hiburan ataupun kecenderungan minat.
Kesempurnaan jiwa bermula dari kebergantungan kita kepada Allah SWT melalui bacaan al-Quran dengan lidah atau penghayatan maksud ayat suci al-Quran melalui maksud dan tafsirnya. Mencari ketenteraman jiwa melalui menyebut dan berzikir nama Allah adalah permulaan kepada kebahagiaan. Firman Allah, “Orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia”. (Surah Al-Ra‘ad: 28)
Membaca al-Quran setiap kali solat adalah amalan yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan manusia apatah lagi pelajar. Otak yang segar akan terpancar dari kemuliaan lidah yang dibasahkan dengan kalam Allah setiap fajar terbit dan terbenam. Kehitaman atau hati yang berkarat kerana terlalu biasa melakukan dosa juga boleh dipulihkan dengan bacaan ayat al-Quran seperti hadis daripada Ibnu Umar r.a. berkata, sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya hati ini berkarat seperti berkaratnya besi apabila terkena air, seorang sahabat bertanya, “Bagaimana menghapuskan karat itu”? Jawab Nabi SAW, “Banyakkan menyebut mati dan membaca al-Quran”.
Ganjaran membaca ayat suci al-Quran dijelaskan Allah SWT sebagaimana hadis, daripada Ibnu Mas'ud r.a. ia berkata: “Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan 10 pahala, aku tidak bermaksud: Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf. (Riwayat ad Darimi Tarmizi).
Jelas pada hari ini, kebanyakan remaja atau belia memilih untuk menghadiri pusat hiburan sebagai tempat mencari kepuasan hidup. Kepuasan hidup yang cuba dicari melalui pelbagai bentuk hiburan adalah satu pilihan yang boleh menenggelamkan akidah, maruah diri, kemuliaan peribadi dan agama yang akhirnya membawa kepada perbuatan riddah.
Kehidupan yang tidak berasaskan al-Quran dalam rutin harian mampu menolak jauh manusia ke arah petanda kehancuran umat Islam. Kita semakin khuatir bagaimana generasi akan datang melihat Islam kerana agama yang diwarisi dari ibu bapanya adalah lebih bersandarkan kepada namanya Islam, hakikatnya jauh dari apa yang dikatakan penganut Islam.
Ibu bapa pada hari ini perlu menitikberatkan kecenderungan ke arah memberi kefahaman anak-anak mengenai al-Quran. Tanggungjawab ini bukan sekadar menghantar anak untuk belajar mengaji al-Quran tetapi ada sesuatu yang lebih bermakna lagi iaitu bagaimana hendak menjadikan anak-anak cenderung ke arah memahami maksud al-Quran seterusnya boleh menerapkan sebagai asas dalam pemikiran dan segala hal perlakuan.
Jiwa umat Islam yang membiasakan diri dengan bacaan ayat suci al-Quran begitu hebat sehinggakan Rasulullah SAW membuat perumpamaan dalam hadisnya, daripada Abu Musa Al Asy'ari r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Umpama orang mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujjah (seperti limau besar) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis dan umpama orang munafik yang membaca al-Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit. (Riwayat Bukhari & Muslim)
Kebimbangan hari ini adalah sejauh mana kesedaran masyarakat Islam khususnya yang bergelar remaja dan belia memahami al-Quran untuk diletakkan dalam asas tindakan dan perlakuan. Kecenderungan memilih gaya hidup yang bebas sebenarnya mampu membawa masa depan negara ke arah kemusnahan keamanan negara.
Justeru, keprihatinan masyarakat masa kini memilih al-Quran untuk dijadikan panduan dalam segala perkara amatlah dituntut. Kelapangan masa pada waktu malam dan memulakan fajar hidup dengan bacaan al-Quran mampu melunakkan pemikiran agar berubah kepada kehidupan yang lebih permai.
Membaca al-Quran bukan saja mampu menerangi hati, sebaliknya yang paling besar rahmatnya ialah pada hari pembalasan kelak. Pahala membaca al-Quran alah pertolongan kepada kita di sana kelak, hadis Abu Umamah r.a yang mendengar Nabi SAW bersabda, “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”. (Riwayat Muslim).