Tuesday, July 8, 2008

kisah cinta

Baju hijau pucuk masih tersarung indah pada tubuhku. Aku tersenyum namun hati beralun resah menyelongkar itu ini. Diari, dimanakah kamu? Diari itu terselit sepucuk surat yang aku simpan empat tahun lamanya. Surat itu juga aku harap dapat aku hulurkan pada manusia yang aku ingin dia baca dan tafsirkan. Surat yang aku tidak pasti perlu atau tidak aku berikan.
Di mana???! Arghh, suhu darahku sudah meningkat dek kerana amarah tidak berjumpa diari yang dicari. Sementara dia tidak melangkah masuk ke bilik ini, aku berharap akan cepat ketemu. Aku ingin membacanya buat kali terakhir sebelum aku lupuskan warkah itu dari alam nyata. Juga sebelum aku luputkan segala harapan dan impian agar bersemadi bersama perginya warkah empat tahun itu. Cepatlah!
Mata aku akhirnya melirik pada kotak kasut di bawah katil yang tersorok jauh. Ya! Disitu! Lupa pula aku mengalihkan kedudukannya tatkala aku terlalu asyik membacanya berulang kali. Tidak ditambah lagi berapa kali hati aku mencerlung derita. Betul! Di situ. Aku mengambil perlahan. Berdebar juga. Setelah sekian lama aku simpan, hari ini aku umpil kembali. Membaca sebelum aku kebumikan terus.
Perlahan aku buka, dan setiap baris ayat aku layarkan…
Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, aku mulakan bicara.
Kehadapan seorang manusia yang ingin aku miliki hatinya.
Ahmad Haris,
Saat aku layarkan warkah ini buat kamu, pasti dalam hatimu penuh bicara benci untuk seorang gadis bernama aku, bukan? Tidak kisahlah. Engkau layak untuk benci itu, dan aku layak untuk tindakan aku ini. Dan kita sama-sama tidak mengerti tentang perjalanan hidup yang sengaja kita kelirukan. Sungguh aku bercelaru. Andai surat ini berada dalam tanganmu, anggaplah segala rahsia hati aku terlerai sudah.
Ahmad Haris,
Masih ingatkah saat kita masih kecil remaja. Ya, kita di tingkatan 4. Dan sekarang aku dan kau sudah pun menginjak dewasa. Kita sudah 21 tahun sudah. Manusia begini kalau aku masih tidak mengerti perasaan yang Allah lahirkan dalam hati aku untuk kau, maka tidak normallah aku. Har, sungguh aku ingin kau tahu. Saat kita meniti hari bersama, saat itu jualah aku berkira sendiri. Beginikah rasa meniti usia remaja bersama jejaka sekacakmu. Namun tidak sama sekali aku hancurkan persahabatan yang terjalin hanya kerana rasa yang baru bertunas ini.
Ahmad Haris,
Segala yang tercipta pasti ada rahsia tersimpan. Dan aku yakin dengan kisah aku bersama kamu. Masih ingatkah kamu saat nombor aku tertera pada skrin telefon kamu. Satu nombor pengacau aku kira. Itulah silap terbesar dalam hidup aku. Har, masa tu aku terlalu taksub dengan telefon bimbit yang aku beli. Dan ketaksuban itu bertambah tatkala aku memperolehi nombormu. Bodoh benar aku saat itu. Dan benarlah firman tuhan yang menegaskan bahawa janganlah dihampiri zina. Aku sengaja memilih jalan itu. Jiwa remaja, yang mengundang nestapa hingga saat aku di sini.
Ahmad Haris,
Aku gembira mengenali kamu. Seorang tahfiz yang tidak jemu membantu aku. Tahfiz yang kerap menasihati aku. Aku sungguh gembira mengenali kamu. Seorang tahfiz berpewatakan segak. Tahfiz penuh dengan unsur-unsur nasihat. Tahfiz yang aku kagumi. Itulah selayaknya. Namun Har, aku terlupa bagaiman sifat manusia yang kerap berubah seketika.
Ahmad Haris,
Ingatkah kata-katamu yang ingin memiliki aku. Ingatkah janji-janjimu ingin mengambil aku sebagai surimu? Ingatkah setiap baris ayatmu yang ingin menyuntingku? Har, lupakah kamu kita baru di tingkatan lima. Hati dan perasaan boleh kecundang dek berkhayal jauh tentang masa depan yang masih belum dipastikan hitam putihnya. Tapi Har, aku tidak dapat sama sekali menipu memang aku sudah menetapkan setia bahawa dalam hati aku sudah dimiliki kamu. Sekalipun begitu, aku masih berpegang dengan prinsipku, cinta hanya pada masa dan mereka yang selayaknya. Umur menafikan cinta sebagaimana kematangan tidak membenarkan. Dan saat itu, aku kerap mengulang ayat..andai benar kau untukku, aku gadis yang tercipta dari tulang rusukmu, pasti, aku tetap menjadi milik kamu. Dan engkau acap kali mengingatkan aku tentang setia, tentang hanya aku akan berada di hati kamu, tentang hanya aku yang ingin dikahwini kamu. Bodoh benar zaman remaja. Ah, air mataku menitis lagi!
Har, ini pun aku ingin kamu selalu tahu,
Walaupun bibirku tegar menyatakan tidak tentang hubungan itu, hati aku lain pula bicaranya. Aku sungguh terlalu setia dengan kamu. Aku juga sudah meletakkan hati aku untuk kamu. Tiada dua atau tiga, untuk lelaki yang akan aku gelarkan sebagai suami selain dari kamu. Bahkan, aku tidak meletakkan istilah ‘spare part’ untuk kamu. Har, aku setia. Hingga saat ini. Aku menjaga hati kerana tidak mahu zaman remaja aku, zaman remaja kamu hancur dek dunia perasaan yang menipu. Aku ingin kita menjaga setia dan berjaya. Kerana masa depan hanya ditentukan DIA. Hanya DIA. Namun, kamu berpaling terlebih dahulu. Mungkin doaku belum pasti untuk kamu. Dan juga mungkin aku bukan gadis terbaik untuk tahfiz seperti kamu. Aku hanya gadis biasa. Yang biasa-biasa sahaja. Dan kerana biasa itu, kamu tidak berhenti menyatakan, itulah keistimewaan aku. Har, aku rindu kamu!
Ahmad Haris,
Ada satu ketika kita bergaduh besar. Hanya kerana aku menyaksikan kamu bergembira dengan gadis selain aku. Aku kecewa har! Ketika kamu melangkah ke alam kampus, ketika semua gadis terpana dengan kekacakan tahfiz yang kamu ada, ketika dunia kamu dipenuhi dengan keindahan. Aku, aku kau tolak ketepi. Aku bukan lagi sesiapa di hati kamu. Aku hanya mungkin mimpi ngeri bertandang sekejap dan meniggalkan calit hina. Har! Hati aku haru! Namun, aku sering meletakkan bahawa manusia akan berubah. Pasti berubah. Apatah lagi kamu, yang mengendong quran yang suci di dalam hati. Kalau pun kamu akan berubah nakal, al-quran yang kamu hafal pasti menujukkan jalan. Agar kamu tidak tersungkur jauh. Har, nyatakan pada aku bahawa keyakinan aku ini tidak pernah silap!
Ahmad Haris,
Masih ingatkah juga ketika aku pulang berjumpa kamu. Aku telan segala perubahan kamu. Aku kunyah lumat segala perbezaan kamu. Kamu bukan Haris yang selalu aku kenal. Kamu bahkan menjadi Haris yang baru. Namun, kamu menerima aku. Aku tersenyum bahagia. Semakin mekar bila kamu membicarakan bahawa setiap gadis yang bertandang dalam hidup kamu dulu hanya persinggahan. Walaupun aku kecewa, tersangat kecewa, tetap aku telan. Har, lupakah kamu tentang ayat yang selalu kamu bicarakan. Apakah aku mahu bakal suamiku memilik ramai perempuan? Jika tidak, aku harus menjaga lakuku. Wanita yang baik hanya untuk lelaki yang baik. Lupakah kamu?
Namun, aku tetap telan. Biarpun apa yang menimpa. Aku menerima kamu tanpa syarat, Har. Langsung tanpa syarat. Kini, sudah hancur, punah, musnah! Kamu menunjukkan seorang wanita lagi. Dan, kali ini aku tidak mahu terus menelan. Aku perlu juga menjaga hati yang robek dikoyak kamu. Aku memilih melangkah jauh dari kamu. Dunia kamu, dunia aku sudah jauh berbeza. Kita tidak mungkin lagi dapat berjalan atas laluan yang sama. Sama ada aku tersungkur atau kamu yang akan menolak aku. Kerana dalam hati kamu, aku hanya sampah yang harus dijentik ke tepi. Aku faham maksud tersirat kamu.
Ahmad Haris,
Bukan perkara mudah melupakan kamu. Buktinya sampai saat ini kamu meniti setia dalam setiap hari aku lalui. Har, juga bukan mudah untuk aku memadam segala bentuk perkara yang menghubungkan aku dengan kamu. Tindakan gila ini aku terpaksa lakukan hanya kerana ingin memujuk hati, jika benar kamu lelaki terbaik untukku, terbaik untuk agamaku, terbaik untuk duniaku, terbaik untuk akhiratku..kamu pasti akan kembali dan menjadi milikku. Kerana, aku adalah sebahagian dari tulang rusukmu. Namun jelas, kesetiaanku sudah tiada makna. Langsung tiada.
Ahmad Haris,
Lupakah kamu saat aku membalas mesej kamu. Aku menipu ngatakan aku akan pergi jauh. Aku fikir kamu akan bertanya lanjut, ke mana aku. Tetap silap. Kamu hanya menyindir dan mendoakan keselamatan jasadku. Dan kini aku mengerti, aku memang sudah tiada tempat dalam hatimu.
Har,
Sampai sini sudah warkahku. Tidak tahu apa lagi ingin aku bicarakan. Juga tidak mahu air mata ini menitis tanpa harga. Har, sungguh aku sayang kamu, sungguh aku ingin kamu…menjadi sebahagian aku. Aku masih setia. Andai satu hari nanti kamu kembali mencari aku, carilah aku. Aku menanti kamu. Jika tidak, doakan aku berjaya melupakan kamu. Doa tahfiz mudah di kabulkan. Bolehkan Har?
Ahmad Haris,
Ini kali terakhir aku ingin menyebut penuh namamu. Percayalah, sekalipun wanita yang bakal tercipta dari rusukmu itu bukan aku, percayalah walaupun aku akan kecewa, aku hanya ingin yang terbaik untuk kamu, meski hati aku kamu remuk berjuta kali. Jagalah hati wanita itu, kerana aku tidak mahu ada lagi wanita menderita seperti aku…kerana kamu…
Yang tulus,
Aku..
Air mata mengalir juga. Mengalir lagi. Oh tuhan, tabahkan aku.
“Sayang?”
Senyap.
“Sya?”
Itu suara suami aku, dan aku tidak boleh merahsiakan segalanya kerana dia berhak ke atas aku. Sepenuhnya, termasuk cerita-cerita lalu.
“Sya menangis? Kenapa? Tak gembira kahwin dengan abang?”
Lelaki bernama Ruzaini aku pandang dalam. Aku yakin dia juga penuh persoalan mengapa. Hari ini hari pernikahan aku. Patutnya aku gembira. Lelaki ini aku kenali ketika dia menguruskan aku di wad kecemasan akibat asthma. Dan aku tidak ingat bila dia melamar aku, yang pasti dalam sujud istikharahku, memang benar dia jawapannya. Berkali-kali aku nyatakan aku bukan sesiapa jika dibanding dia. Setiap kali itu juga dia akan menegaskan kerana aku bukan sesiapalah dia mengahwini aku.
“Surat ni, saya nak bagi seorang lelaki yang saya cintai. Itu dulu. Saya nak musnahkan, tidak ingin ingat apa-apa lagi. Setia saya wajib untuk awak..err.. abang. Tapi, saya kena jujur dan menceritakan sebelum segalanya bakal menjadi teruk,”
Aku bersuara tenang dalam ketar. Aku unjukkan juga surat itu. Biarlah. Biarlah kalau dia akan berkecil hati dan memarahiku. Aku redha. Dan, dengan perlahan dia mengambil kertas separuh lunyai dek basah dengan air mata aku. Dia melipat penuh berhati-hati membiarkan aku tertanya-tanya. Lelaki ini memandang tepat, namun kerdipannya penuh sayu dan tenang.
“Sya isteri abang. Pandang sini. Saat abang melamar Sya, saat itu abang menerima setiap buruk baik Sya. Abang fahami setiap yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku antara kita. Yang lepas tidak dapat diputar kembali. Abang terima Sya, dan masa lampaumu itu. Sya, tanpa surat ini pun abang tahu hatimu sudah terisi dengan manusia lain yang pasti bukannya abang. Matamu dah menceritakan segalanya, penolakan berkali-kali Sya ketika abang melamar juga nyata ada rahsia. Lagi jelas bila abang tanya kenapa, Sya tidak menjawab. Abang belum bodoh untuk mengetahui manusia begini. Sya, abang juga istikharah. Jawapannya tetap kamu. Sya lah wanita terbaik untuk abang, untuk agama abang, untuk dunia dan akhirat abang. Sya juga manusia yang melengkapi tulang rusuk abang. Bantulah abang membina mahligai istana didunia dan kahirat dalam mencapa redha DIA dan melengkapi sunah nabi kita,”
Dahi aku dikucup perlahan. Ya Allah, besar sungguh perancanganMU. Selagi aku terus bergantung padaMU, selagi itulah engkau tidak pernah berhenti mengurniakan yang terbaik untukku. Ya Allah, kekalkanlah perasaan ini dalam hidupku. Sungguh, aku bahagia bersuamikan suamiku, dan aku tidak ingin meminta lagi selepasnya apatah lagi mengingati sebelumnya. Biarlah aku menjadi isteri kepada manusia ini Ya Allah….

No comments: