Tuesday, July 29, 2008

Khas buat diri dan sahabat yang disayangi

Terasa berat bagi kaki ini melangkah kerana setiap hari dosaku semakin bertambah. Namun Allah itu tidak pernah membebani hamba-hambaNya melainkan sesuai dengan keupayaan. Oleh itu Dia telah berjanji bahawa:
’Kecuali orang-orang yang bertaubat dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani’ [Al-Baqarah:160]

Serulah asma’ Nya yang terkandung nama-namaNya bagi menenangkan jiwa yang lara, serulah At-Tawwab itu, Al-Ghaffar ,Ar-Rahman kerana telah dijanjikan olehNya.

’... Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.’ [Ar-Rad:28]

Agama itu sebuah pencarian wahai sahabatku. Tidaklah Allah mengurniakan hidayahNya kepada mereka yang tidak berusaha. Walhal Rasulullah s.a.w yang dicintai, kekasihNya jua pergi beruzlah di gua Hira’ sebelum menjadi seorang Rasul. Baginda bermunajat, beribadah dan berdoa. Baginda mengkaji dan mendalami erti kehidupan sambil merenung keindahan ciptaanNya untuk memahami kerosakan dan kehancuran masyarakat arab jahiliah ketika itu. Peristiwa Hijrah sendiri menekankan syariatullah dan sunnatullah bukan semata-mata mengharapkan bantuanNya kerana usaha itu sebahagian daripada tawakal. Oleh itu, ayuh sahabat perkukuhkanlah keinginan dihati, kuatkanlah munajat dimalam harimu. Berdoalah agar Allah melindungimu disetiap langkah hidup mu hingga akhirnya bisa bertemu dengan pemilik mutlak seluruh semesta.

Ilmu adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan lagi kepentingannya. Setiap perkara memerlukan ilmu agar diri dapat beramal dengannya dan ilmu itu mestilah ilmu yang bersumberkan Quran dan Sunnah. Seorang doktor yang berilmu namun tidak beramal dengan ilmunya pasti akhirnya akan lupa dan tidak dapat lagi untuk mengubati pesakitnya, kerana luasnya dan banyaknya ilmu seorang yang bernama doktor itu apatah lagi seorang muslim seperti:

Hadis Rasulullah s.a.w : “Kebijaksanaan itu barang hilang kepunyaan orang beriman. Di mana saja ia menemuinya, dialah yang lebih berhak ke atasnya.”

Justeru,marilah kita tambahkan ilmu di dada agar kita faham apa yang dilakukan yang seterusnya akan menimbulkan bibit-bibit kemahuan untuk melaksanakannya.Diharapkan akhirnya kita akan berjaya menyampaikan kepada saudaranya.

’Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.’[Al-Imran:104]

Jadikanlah masa silam, dosa-dosamu dan kesilapan lalu sebagai pendorong untuk diri semakin dekat kepada Nya. Tiada manusia di dunia yang tidak berbuat salah melainkan Nabi dan Rasul pilihanNya. Kita tiada bezanya, tiaga guna riak dan ujub itu kerana suatu masa nanti semua pasti akan dibuka

’ Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri,’ [Al-Qiyamah:14]

dan ketika itu

’Sesiapa yang datang membawa amal baik (pada hari akhirat) maka baginya balasan yang lebih baik daripadanya dan sesiapa yang datang membawa amal jahat, maka mereka yang melakukan kejahatan tidak di balas melainkan dengan apa yang mereka kerjakan.’[Al-Qasas:84]

Sebuah lagu lama yang ingin dikongsi. Suatu masa lalu ia hanyalah sebuah lagu yang didendangkan tanpa hala tuju. Kini aku mengerti setiap sesuatu itu tiadalah dijadikan Nya dengan sia-sia.

’Dan berserahlah engkau kepada Allah Tuhan Yang Hidup, yang tidak mati; serta bertasbihlah dengan memujiNya dan cukuplah Dia mengetahui secara mendalam akan dosa-dosa hambaNya;’ [Al-Furqan:58]

Sunday, July 20, 2008

Kerana Dia Manusia Biasa


Email ini dipetik daripada seorang sahabat, dan saya forwardkan untuk manfaat kepada diri saya dan semua.

Semoga bermanfaat baik untuk yang melamar ataupun yang dilamar, ataupun bagi yang sudah berumah tangga. Renungan buat yang sedang mencari pasangan hidup ataupun yang sedang mengemudi bahtera rumah tangga. Mengapa? Kerana Dia Manusia Biasa.

Setiap kali ada sahabat yang ingin menikah, saya selalu mengajukan pertanyaan yang sama. Kenapa kamu memilih dia sebagai suami/isterimu? Jawappannya ada bermacam-macam. Bermula dengan jawapan kerana Allah hinggalah jawapan duniawi. Tapi ada satu jawapan yang sangat menyentuh di hati saya. Hingga saat ini saya masih ingat setiap butir percakapannya. Jawapan dari salah seorang teman yang baru saja menikah. Proses menuju pernikahannya sungguh ajaib. Mereka hanya berkenalan 2 bulan. Kemudian membuat keputusan menikah. Persiapan pernikahan mereka hanya dilakukan dalam waktu sebulan saja. Kalau dia seorang akhwat, saya tidak hairan. Proses pernikahan seperti ini selalu dilakukan. Dia bukanlah akhwat, sebagaimana saya. Satu hal yang pasti,dia jenis wanita yang sangat berhati-hati dalam memilih suami. Trauma dikhianati lelaki membuat dirinya sukar untuk membuka hati. Ketika dia memberitahu akan menikah, saya tidak menganggapnya serius. Mereka berdua baru kenal sebulan. Tapi saya berdoa, semoga ucapannya menjadi kenyataan. Saya tidak ingin melihatnya menangis lagi. Sebulan kemudian dia menemui saya. Dia menyebutkan tarikh pernikahannya. Serta meminta saya untuk memohon cuti, agar dapat menemaninya semasa majlis pernikahan. Begitu banyak pertanyaan dikepala saya.



Saya ingin tahu! Mengapa dia begitu mudah menerima lelaki itu. Ada apakah gerangan? Tentu suatu hal yang istimewa. Hingga dia boleh memutuskan untuk bernikah secepat ini. Tapi sayang, saya sedang sibuk ketika itu(benar-benar sibuk). Saya tidak dapat membantunya mempersiapkan keperluan pernikahan. Beberapa kali dia menelefon saya untuk meminta pendapat tentang beberapa perkara. Beberapa kali saya telefon dia untuk menanyakan perkembangan persiapan pernikahannya. Kami tenggelam dalam kesibukan masing-masing. Saya mengambil cuti 2 hari sebelum pernikahannya. Selama cuti itu saya memutuskan untuk menginap di rumahnya. Pukul 11 malam sehari sebelum pernikahannya, baru kami dapat berbual -hanya-berdua. Hiruk-pikuk persiapan akad nikah esok pagi, sungguh membelenggu kami. Pada awalnya kami ingin berbual tentang banyak hal. Akhirnya, dapat juga kami berbual berdua. Ada banyak hal yang ingin saya tanyakan. Dia juga ingin bercerita banyak perkara kepada saya. Beberapa kali Mamanya mengetuk pintu, meminta kami tidur.

"Aku tak boleh tidur." Dia memandang saya dengan wajah bersahaja.

Saya faham keadaanya ketika ini.

"Matikan saja lampunya, biar disangka kita dah tidur."

"Ya.. ya." Dia mematikan lampu neon bilik dan menggantinya dengan lampu yang samar.

Kami meneruskan perbualan secara berbisik-bisik. Suatu hal yang sudah lama sekali tidak kami lakukan. Kami berbual banyak perkara, tentang masa lalu dan impian-impian kami. Wajah keriangannya nampak jelas dalam kesamaran. Memunculkan aura cinta yang menerangi bilik ketika itu. Hingga akhirnya terlontar juga sebuah pertanyaan yang selama ini saya pendamkan. "Kenapa kamu memilih dia?" Dia tersenyum simpul lalu bangkit dari baringnya sambil meraih telefon bimbitnya dibawah bantalku. Perlahan dia membuka laci meja hiasnya. Dengan bantuan lampu LCD handphone dia mengais lembaran kertas didalamnya. Perlahan dia menutup laci kembali lalu menyerahkan sekeping sampul kepada saya. Saya menerima handphone dari tangannya. Sampul putih panjang dengan cop surat syarikat tempat calon suaminya bekerja. Apa ini?. Saya melihatnya tanpa mengerti.

Eeh..., dia malah ketawa geli hati.

"Buka aja."

Sebuah kertas saya tarik keluar. Kertas putih bersaiz A4, saya melihat warnanya putih. "Teruknya dia ni."

Saya menggeleng-gelengka n kepala sambil menahan senyum.

Sementara dia cuma ketawa melihat ekspresi saya. Saya mula membacanya. Saya membaca satu kalimat diatas, dibarisan paling atas. Dan sampai saat inipun saya masih hafal dengan kata-katanya. Begini isi surat itu........

************ ********* *******

Kepada ...... Calon isteri saya, calon ibu anak-anak saya, calon menantu Ibu saya dan calon kakak buat adik-adik saya Assalamu'alaikum Wr Wb. Mohon maaf kalau anda tidak berkenan. Tapi saya mohon bacalah surat ini hingga akhir. Baru kemudian silakan dibuang atau dibakar, tapi saya mohon, bacalah dulu sampai selesai. Saya, yang bernama_____menginginkan anda______ untuk menjadi isteri saya. Saya bukan siapa-siapa. Saya hanya manusia biasa. Buat masa ini saya mempunyai pekerjaan. Tetapi saya tidak tahu apakah kemudiannya saya akan tetap bekerja. Tapi yang pasti saya akan berusaha mendapatkan rezeki untuk mencukupi keperluan isteri dan anak-anakku kelak. Saya memang masih menyewa rumah. Dan saya tidak tahu apakah kemudiannya akan terus menyewa selamannya. Yang pasti, saya akan tetap berusaha agar isteri dan anak-anak saya tidak kepanasan dan tidak kehujanan. Saya hanyalah manusia biasa, yang punya banyak kelemahan dan beberapa kelebihan. Saya menginginkan anda untuk mendampingi saya. Untuk menutupi kelemahan saya dan mengendalikan kelebihan saya. Saya hanya manusia biasa. Cinta saya juga biasa saja. Oleh kerana itu Saya menginginkan anda supaya membantu saya memupuk dan merawat cinta ini, agar menjadi luar biasa. Saya tidak tahu apakah kita nanti dapat bersama-sama sampai mati. Kerana saya tidak tahu suratan jodoh saya. Yang pasti saya akan berusaha sekuat tenaga menjadi suami dan ayah yang baik. Kenapa saya memilih anda? Sampai saat ini saya tidak tahu kenapa saya memilih anda. Saya sudah sholat istikharah berkali-kali, dan saya semakin mantap memilih anda. Yang saya tahu, Saya memilih anda kerana Allah. Dan yang pasti, saya menikah untuk menyempurnakan agama saya, juga sunnah Rasulullah. Saya tidak berani menjanjikan apa-apa, saya hanya berusaha sekuat mungkin menjadi lebih baik dari sekarang ini. Saya memohon anda sholat istiqarah dulu sebelum memberi jawapan pada saya. Saya beri masa minima 1 minggu, maksima 1 bulan. Semoga Allah redha dengan jalan yang kita tempuh ini. Amin Wassalamu'alaikum Wr Wb



************ ********* *********

Saya memandang surat itu lama. Berkali-kali saya membacanya. Baru kali ini saya membaca surat 'lamaran' yang begitu indah. Sederhana, jujur dan realistik. Tanpa janji-janji yang melambung dan kata yang berbunga-bunga. Surat cinta biasa. Saya menatap sahabat disamping saya. Dia menatap saya dengan senyum tertahan.

"Kenapa kamu memilih dia.....?"

"Kerana dia manusia biasa......." Dia menjawab mantap.

"Dia sedar bahawa dia manusia biasa. Dia masih punya Allah yang mengatur hidupnya. Yang aku tahu dia akan selalu berusaha tapi dia tidak menjanjikan apa-apa. Soalnya dia tidak tahu, apa yang akan terjadi pada kami kemudian hari. Entah kenapa, justeru itu memberikan kesenangan tersendiri buat aku.."

"Maksudnya?"

"Dunia ini fana. Apa yang kita punya hari ini belum tentu esok masih ada dan menjadi milik kita. Betul tak? Paling tidak.... Aku tau bahawa dia tidak akan frust kalau suatu masa nanti kami jadi miskin. "

Ssttt....."Saya menutup mulutnya.

Khuatir kalu ada yang tau kami belum tidur. Terdiam kami memasang telinga. Sunyi. Suara jengkering terdengar nyaring diluar tembok. Kami saling berpandangan lalu gelak sambil menutup mulut masing-masing.

"Udah tidur. Esok kamu mengantuk, aku pula yang dimarahi Mama."

Kami kembali berbaring. Tapi mata ini tidak boleh pejam. Percakapan kami tadi masih terngiang terus ditelinga saya.

"Gik.....?" "Tidur.....Dah malam." Saya menjawab tanpa menoleh padanya.

Sedar bahawa ada hal lain yang mengatur segala kehidupannya. Begitu juga dengan sebuah pernikahan. Suratan jodoh sudah terpahat sejak roh ditiupkan dalam rahim. Tidak ada seorang pun yang tahu bagaimana dan berapa lama pernikahannya kelak. Lalu menjadikan proses menuju pernikahan bukanlah sebagai beban tetapi sebuah 'proses usaha'. Betapa indah bila proses menuju pernikahan mengabaikan harta, takhta dan 'nama'. Status diri yang selama ini melekat dan dibanggakan (aku anak orang ini/itu), ditanggalkan. Ketika segala yang 'melekat' pada diri bukanlah dijadikan pertimbangan yang utama. Pernikahan hanya dilandasi kerana Allah semata. Diniatkan untuk ibadah. Menyerahkan segalanya pada Allah yang membuat senarionya. Maka semua menjadi indah. Hanya Allah yang mampu menggerakkan hati setiap hamba-NYA. Hanya Allah yang mampu memudahkan segala urusan. Hanya Allah yang mampu menyegerakan sebuah pernikahan. Kita hanya boleh memohon keredhaan Allah. MemintaNYA mengurniakan barakah dalam sebuah pernikahan. Hanya Allah jua yang akan menjaga ketenangan dan kemantapan untuk menikah. Jadi, bagaimana dengan cinta? Ibu saya pernah berkata, Cinta itu proses. Proses dari ada, menjadi hadir,lalu tumbuh, kemudian merawatnya. Agar cinta itu dapat bersemi dengan indah menaungi dua insan dalam pernikahan yang suci. Cinta tumbuh kerana suami/isteri (belahan jiwa). Cinta paling halal dan suci. Cinta dua manusia biasa, yang berusaha menggabungkannya agar menjadi cinta yang luar biasa. Amin.

Wallahu 'alam.

Thursday, July 17, 2008

Masalah hanyalah perencah

“Kadang-kadang ALLAH hilangkan sekejap matahari kemudian dia datangkan pula guruh dan kilat. Puas kita mencari di mana matahari, rupa-rupanya ALLAH nak hadiahkan kita pelangi yang indah”

Kalaulah kita boleh selalu berfikir sebalik kepada sebalik, kita menjadi lebih kuat untuk mendepani apa juga cabaran dan dugaan. Masalahnya kita selalu melihat apa yang terlihat oleh kita, langsung tidak mahu menduga apa yang tersembunyi di sebaliknya.
Kalau dilihat semua kesusahan itu kesedihan, yang dapat ialah kesusahan dan kesedihan belaka. Andainya ingin dilihat kepayahan sebagai kemudahan yang mungkin tersembunyi di mana-mana hati kita akan lebih berbaik sangka.
Bukan semua yang menggembirakan itu baik untuk kita, ada kalanya menjadi masalah yang sangat menyusahkan. Dan bukan semua yang tidak kita sukai baik untuk kita, ada kalanya itulah punca berbahagianya kita.
Hidup perlu dilihat dari perspektif yang berbeza-beza. Bukan ALLAH tidak kasih apabila menurunkan ujian tetapi kita yang gagal melihat kebaikan yang terselindung.
Apabila cuaca dikatakan buruk, ia mungkin baik untuk kitaran, tumbuhan dan serangga. Hujan yang keterlaluan dan panjang, tidak semestinya tidak baik untuk manusia. Mungkin di situlah letaknya keseimbangan pada musim yang mendatang.
Kalau dilihat semua perkara buruk sebagai buruk, hidup tidak akan lebih indah daripada ketakutan-ketakutan kita terhadap kehidupan itu sendiri. Hidup tidak perlu ditakuti. Memang wajahnya pelbagai. Tetapi takut pada hidup selalunya akan memperhodoh pandangan dan pendirian.
Kadang-kadang hidup perlu dilalui dengan selamba. Anggap semua masalah sebagai perencah. Yang menggembirakan pula sebagai kebetulan agar yang pahit tidak terlalu dirisaukan.
Hakikatnya tiada manusia bebas daripada masalah. Sejak seseorang manusia itu dilahirkan ke bumi dia menghadapi masalah. Maka itu, dia menangis hingga ditenteramkan oleh sang ibu dalam pelukan erat yang memperlindung. Apabila dia membesar sebagai kanak-kanak dia sering jatuh dan bangun. Walaupun luka, sakit dan geram, dia berusaha lagi untuk berjalan. Akhirnya dia benar-benar boleh berdiri di atas kaki sendiri.
Apakah masalahnya telah selesai? Tidak. Tatkala dia telah pandai berjalan, di situlah bermulanya pelbagai lagi masalah dalam hidupnya. Dia mengorak langkah mahu membina kehidupan, tapi langkah-langkah yang sumbang menyebabkan dia ditimpa petaka. Sehinggalah nafasnya yang terakhir, dia menghadapi masalah untuk menyudahkannya.
Lalu, ‘kehidupan’ selepas itu juga tidak menentu. Jika baik amalannya semasa hidup di dunia, dia bakal menikmati kebaikan di alam sana, jika sebaliknya dia menderita sepanjang masa tanpa penghujung.
Sama ada nikmat atau tidak hidup di dunia, kesudahannya serupa. Yang nikmat jika tidak pandai mensyukuri bakal menjadi petaka di neraka; derita jika tahu menilainya menjadi ibadah lalu bertukar menjadi nikmat di syurga.
Tidak ada manusia yang dilimpahi nikmat sepanjang masa. Ada kalanya menderita juga. Tidak ada manusia yang menderita sepanjang masa. Ada kalanya bahagia juga. Yang membezakan adalah bagaimana seseorang itu melihat apa yang dikatakan derita dan apa yang dikatakan bahagia. Yang membezakan adalah persepsinya serta dari sudut apa dia melihatnya. Yang membezakan adalah pegangan apa yang dianutinya.
Fikir, renung dan lihat.....

Tuesday, July 15, 2008

Tajdid Iman: Penghayatan ilmu, hidayah bentuk peribadi Muslim

Umat Islam perlu manfaat pengetahuan untuk mengurangkan dosa

SUATU hari ketika seorang hamba membuka sebuah buku yang membincangkan mengenai iman, tanpa disengaja tajuk taubat menjadi pilihannya. Hatinya bekerja keras untuk menghayati setiap perkataan yang dibaca dan akal berfikir kebenarannya.

Akhirnya dia berkata: "Alangkah jauhnya penyelewengan yang sudah aku lakukan selepas Allah memberi petunjuk kepadaku suatu masa dulu." Tetapi dalam penyesalan itu muncul satu kesyukuran yang terbit daripada hidayah Allah, bahawa betapa beruntungnya dia mendapat kembali hakikat ilmu yang lama hilang daripada jiwanya.

Ada sedikit kebenaran pada perkataan sebahagian ahli makrifah yang bermaksud, ketika seseorang itu jatuh melakukan dosa, janganlah dia berputus asa dari rahmat Allah, tetapi bersyukurlah kerana daripada perlakuan dosa yang disedari itu, lahirlah penyesalan dan taubat.

Kerana dosa yang disedari ini manusia boleh mendekatkan diri dengan Allah. Dosa itu membuatnya menjadi hamba yang cepat bertaubat dan mengakui kelemahan diri di hadapan Allah. Lalu dia sentiasa berhati-hati dalam segala perbuatannya. Berbanding dengan seseorang yang berasa tidak pernah berbuat dosa dan sentiasa berasa dirinya betul, sungguh orang seperti ini bertambah jauh dirinya daripada Allah akibat kesombongan melampau atas nama ilmu dan amal.

Selepas menyedari keadaan seperti itu, barulah kita sedar betapa kita perlukan ilmu yang boleh membawa kepada kefahaman dan penghayatan sebenar mengenai diri kita, Allah dan tabiat dunia yang fana ini.

Hakikat ilmu itu, ia datang dan pergi, sehingga Rasulullah SAW pernah mengingatkan sahabat dengan satu perumpamaan yang bermaksud: "Ikatlah ilmu itu kerana ia terlalu cepat hilang berbanding unta yang terikat."

Maknanya setiap insan mesti menyediakan masa untuk hati dan akalnya berinteraksi dengan ilmu. Sesiapapun yang meninggalkan ilmu dalam masa satu hari saja boleh jadi dia akan mengalami gejala kelalaian hingga mungkin jatuh ke lembah kesesatan apabila hal ini berlanjutan sekian lama.

Matlamat manusia mencari ilmu ialah untuk mencapai satu keyakinan mengenai kebenaran, selepas yakin barulah timbul penghayatan yang membawa kepada ketundukan jiwa.

Ada orang berkata: "Tak payah bacalah, sebab kami sudah membaca dan mengetahui ilmu ini." Memang benar kita sudah faham dan tahu hal itu tetapi apakah kita sudah mencapai penghayatan yang sempurna? Apakah boleh dipastikan ilmu itu sentiasa melekat di hati dan memacu diri untuk sentiasa merapatkan diri dengan Allah?

Seseorang pasti memahami perbezaan dirinya ketika dia sedang minat membaca atau ketika suka membuang masa. Tentulah berbeza keadaan jiwa dan perasaan orang yang suka menelaah, mengkaji dan membahas ilmu berbanding orang yang suka termenung dan mendengar hiburan.

Mungkin kita perlukan pendedahan tajuk ilmu yang sama pada masa tertentu, seperti saat kita sedih ditimpa musibah, tajuk sabar dan syukur adalah sesuai di kala itu. Jika rezeki bertambah atau naik pangkat, pendedahan mengenai alam akhirat mesti lebih difokuskan supaya diri tidak tenggelam dalam nikmat dan tipu daya dunia.

Apabila kurang nikmat ibadah, tidak khusyuk dan rasa keras hati eloklah ingat ilmu zuhud dan mengingati mati. Namun demikian, segala ilmu berpusat pada induknya iaitu al-Quran dan hadis. Barang siapa menginginkan kesempurnaan ilmu mestilah mendekatkan diri kepada keduanya.

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai ahli kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul Kami, menjelaskan kepadamu banyak dari isi al-Kitab yang kamu sembunyikan, dan banyak (pula yang) dibiarkannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan Kitab yang menerangkan. Dengan Kitab itulah Allah menunjukkan orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan Kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang itu dari gelap-gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya, dan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus." (Surah al-Maidah, ayat 15-16)

Bagaimana halnya dengan orang yang sudah mencapai darjat alim yang tinggi? Adakah perlu baginya membaca dan menuntut ilmu lagi selepas kedudukannya itu? Alangkah baiknya jawapan al-Imam Sufyan bin 'Uyainah, ulama Tabi'in tersohor pada zamannya apabila ditanya hal ini: "Siapakah manusia yang paling berhajat kepada ilmu? Beliau berkata: Orang yang paling alim di kalangan mereka. Beliau ditanya lagi: Mengapa begitu? Dijawabnya: Kerana kesalahan orang yang alim dalam ilmunya lebih jahat dan teruk berbanding orang jahil."

Orang yang pandai membeza antara hak dan batil tetapi memilih yang batil kerana hawa nafsunya tentu amat besar dosa diperolehnya akibat melanggar larangan Allah. Bukan kerana jahil tetapi 'terlalu cerdik' sehinggakan akalnya mahu berdolak-dalih untuk menghalalkan apa yang nyata haram di sisi agama, semata-mata menurut hawa nafsu manusia.

Bukan setakat itu saja, dia pula mengajak orang lain melakukan jenayah sama atas nama kecerdikan dan kewarasan palsu. Jelaslah bahayanya orang alim melakukan kejahatan dengan jenayah ilmunya yang tidak dipraktikkan semata-mata kerana mahu mengikut hawa nafsu manusia.

Sungguh pelik, orang yang jauh dan mendalam ilmunya mengenai Allah tetapi sekelip mata boleh berpaling daripada-Nya. Mereka adalah orang yang mengenal kejahatan syaitan tetapi sebaliknya boleh terpedaya menjadi pengikut syaitan.

Mereka adalah orang yang mengenal tipu daya dunia tetapi rela menjadi hamba dunia yang hina. Di situlah letaknya kelemahan manusia, setinggi mana ilmu diperoleh namun jika hidayah Allah tidak bersamanya maka segala kefahaman agama dan penghayatan hakiki menjadi sia-sia. Dalam keghairahan menuntut ilmu, jangan lupa memohon petunjuk dan hidayah Allah supaya ilmu itu bermanfaat untuk dunia dan akhirat.

Kerana ilmu yang sudah terpahat dalam ingatan dan hati sanubari tidak dijamin dapat kekal selamanya melainkan atas kuasa Allah. Adakalanya seseorang itu tidak mendapat hidayah daripada ilmu yang dituntutnya, belajar mengaji bertahun-tahun tetapi perangai tak berubah-ubah, akhlak dan ibadatnya masih seperti ketika dia tidak berilmu. Jadi untuk apa letih-letih mencari ilmu jika tiada penghayatan?

Ada pula orang yang belajar hanya setakat ilmu Taharah, selama bertahun-tahun diulang-ulang lagi tanpa ada peningkatan. Takkan nak main air saja, bila lagi masa untuk belajar sembahyang yang khusyuk, memahami doa yang dibaca, belajar tafsir al-Quran dan mengikuti al-Hadis? Akhirnya orang ini tak sampai pada tujuan sebenar kerana hampir tiada peningkatan iman yang ketara.

Al-Imam Ibnu Abdul Barri meriwayatkan daripada Abu Ghassan, katanya: "Kamu sentiasa menjadi alim selagi mana kamu tetap menuntut ilmu, apabila kamu merasa cukup maka sesungguhnya kamu telah menjadi jahil."

Perjalanan mencapai reda Allah tiada penghujungnya. Bagaimana mungkin seseorang boleh berkata: "Telah cukup ilmuku dan telah baik amalanku." Padahal perkataan itu umpama rantai yang mengikat kakinya ke bumi sehingga dia tidak akan sampai ke destinasi yang dijanjikan Tuhannya.

Sunday, July 13, 2008

4 golongan laksana risalah Allah

Nabi, siddiqin, syuhada dan salihin tonggak keberhasilan masyarakat unggul

SETIAP Muslim wajib membaca surah al-Fatihah sekurang-kurangnya 17 kali sehari semalam jika dia masih mahu diperakui sebagai seorang Muslim. Dalam surah yang dibahagikan menjadi dua bahagian oleh Allah itu membabitkan sebahagian milik-Nya dan sebahagian lagi milik hamba-Nya � seorang Muslim selalu berdoa, ihdinassiratal mustaqim, anugerahkan kami petunjuk menuju jalan yang lurus. Dan jalan yang lurus ini adalah jalan orang yang diberikan nikmat oleh Allah SWT. Siapa mereka?

Dalam surah lain, orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah adalah maksudnya: "Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul, mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu: Nabi, siddiqin, orang yang mati syahid dan orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya." � (al-Nisa: 69)

Ayat ini datang sejurus selepas ayat yang bermaksud: "Dan pasti Kami tunjukkan mereka kepada jalan yang lurus." � (Surah al-Nisa: 68)


Begitu pula apabila kita membaca tahlil dan doa arwah, kita sentiasa mendoakan mereka supaya dicucuri rahmat dan dimasukkan ke dalam golongan orang dianugerahi nikmat daripada nabi, siddiqin, orang mati syahid dan orang soleh. Allahumma unqulhum min diq al-qabri wa al-luhud ila jannatika jannatil khulud... Ya Allah, pindahkan mereka daripada sempitnya kubur dan liang lahat ke taman syurga-Mu yang kekal bersama orang yang Engkau anugerahkan nikmat daripada golongan nabi, siddiqin, syuhada, dan salihin.

Empat golongan inilah yang menjadi tonggak keberhasilan dakwah setiap nabi yang membawa risalah agama. Jika tidak ada mereka, maka risalah itu akan sia-sia tanpa makna. Mereka adalah golongan yang mempercayai risalah ajaran agama yang diturunkan Allah kepada manusia.

Nabi sebagai pemimpin membawa risalah agama, siddiqin sebagai pengikut mempercayai bulat-bulat ajaran risalah berkenaan. Syuhada pula sebagai pengawal memperjuangkan dengan harta dan nyawa mereka risalah yang dibawa nabi itu, manakala salihin sebagai pelaksana adalah golongan manusia yang mengamalkan risalah secara amnya agar agama Allah tetap dilaksanakan di muka bumi. Dengan kewujudan empat golongan manusia ini maka terserlah pelaksanaan risalah Allah dan sempurnalah agama.

Keempat-empat golongan ini adalah tonggak keberhasilan masyarakat utama yang unggul yang dicita-citakan al-Quran. Dengan kewujudan mereka, nikmat dan rahmat kurnia Allah akan diperoleh oleh sesuatu umat.

Imam Fakhrurrazi dalam kitab tafsirnya, Mafatih al-Ghaib, jilid 5, muka surat 273-278 menjelaskan secara terperinci keempat-empat golongan dalam ayat 69 Surah al-Nisa di atas.

Jika nabi sudah jelas siapa sebenarnya mereka, tapi siddiqin, syuhada dan salihin belum jelas personaliti mereka. Oleh itu, Imam Fakhrurrazi ketika sampai pada penjelasan nabi tidak menjelaskan secara terperinci. Tapi, baki tiga golongan dijelaskan lebih lanjut. Kenabian adalah sifat yang tidak boleh didapati oleh siapa pun kecuali diberikan Allah, manakala sifat siddiq, syahid dan soleh boleh diperoleh oleh sesiapa yang mendambakan dan mencarinya.

Dalam mentafsir tiga sifat berkenaan, al-Razi menyebut bahawa ada yang berpendapat ketiga-tiga sifat itu hanya dimiliki oleh seseorang saja tapi ada juga yang berpendapat bahawa ia boleh dipisahkan yakni masing-masing satu sifat bagi tiga golongan manusia.

Siddiqin pula ada yang berpendapat bahawa mereka adalah mana-mana individu yang mempercayai mana-mana agama, atau pembesar di kalangan sahabat nabi, atau orang yang terdahulu mempercayai nabi.

Di pihak lain, syuhada tidak hanya dikhaskan bagi orang yang mati syahid dalam memerangi orang kafir tapi ia lebih luas lagi daripada sekadar terbunuh dalam peperangan. Al-Razi mempunyai beberapa alasan mengenainya termasuk pengertian syahadah lebih luas daripada hanya mati syahid tapi ia juga boleh bermakna apapun perjuangan dan orang mukmin diajarkan untuk berdoa meminta syahadah di mana jika ia diertikan dengan mati syahid saja maka ia dilarang oleh agama kerana kita dilarang untuk memohon kematian dari Allah.

Jadi, pengertian syuhada dalam ayat ini adalah orang yang mempercayai kebenaran agama Allah menerusi perjuangan dengan hujah dan penjelasan mahupun perjuangan pedang dan alat peperangan yang lain.

Akhirnya, orang soleh adalah orang yang betul dan benar akidah serta amal ibadahnya kerana kebodohan adalah kerosakan i'tikad, manakala maksiat adalah kerosakan amal ibadah. Kesimpulannya menurut al-Razi setiap siddiq adalah syahid tapi tidak setiap syahid adalah siddiq. Begitu pula, setiap syahid adalah orang soleh tapi tidak setiap orang soleh adalah syahid.

Keempat-empat golongan di atas adalah pelaku dakwah, sekali gus hasil daripada kejayaannya yang dilakukan berdasarkan ayat yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat petunjuk." � (Surah al-Nahl:125)

Dalam konteks umat Nabi Muhammad SAW, keempat-empat golongan adalah hasil upaya Nabi yang dijelaskan al-Quran maksudnya: "Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan." � (Surah al-Nahl:127)

Dalam beberapa riwayat hadis dikisahkan bahawa ada beberapa sahabat nabi berasa sedih dan gundah gulana apabila memikirkan keadaan masa hadapan di akhirat. Seorang antara mereka ada yang berkata kepada Rasulullah bahawa dia selalu mengingati Baginda walaupun dia sudah sampai di rumah kemudian kembali lagi ke masjid hanya untuk berjumpa dengan Baginda. Yang menyedihkannya adalah jika di akhirat kelak, bagaimana dia boleh berjumpa dengan Nabi kerana dia tidak sedarjat. Allah mendengar rintihan ini dan tidak membiarkan kesedihan lama berlaku maka diturunkan wahyu yang memberi khabar gembira dalam ayat 69 Surah al-Nisa di atas.

Walaupun mereka tidak sedarjat dengan Nabi, tapi mereka boleh bersama dengan Nabi sebagai habuan daripada taat mereka kepada Allah dan Rasul-Nya.

Satu pertanyaan yang mungkin dibangkitkan di sini adalah bagaimana dengan kehidupan hari ini di mana sudah tidak ada Nabi lagi?

Kemusykilan di atas boleh diatasi dengan satu kenyataan bahawa ulama adalah pewaris Nabi. Jadi penyebar ajaran agama menjadi tanggungjawab ulama dan di samping ulama ada siddiqin, syuhada dan salihin yang selalu berganding bahu dalam menegakkan agama Allah.

Agama Allah memerlukan ulama, siddiqin, syuhada dan orang salih agar ia tetap hidup menurut rancangan Ilahi. Dengan tegaknya agama Allah yang dilaksanakan oleh keempat-empat golongan ini maka kenikmatan hidup di dunia akan dikecapi oleh umat sebagaimana mereka akan mengecapi di akhirat kelak. Oleh itu, jika masyarakat ingin mendapatkan nikmat dunia maka mereka mestilah menghargai keempat-empat golongan ini agar keberkahan hidup dianugerahkan Allah.

Dalam sebuah hadis disebutkan maksudnya: "Hai manusia, sesungguhnya ilmu itu didapati dengan belajar, dan faham agama itu dengan menuntut faham, dan siapa yang Allah menghendaki kebaikan pada dirinya, Dia menjadikannya memahami agama, dan sesungguhnya yang takutkan Allah itu adalah ulama'. (Hadis riwayat Bukhari)

Keempat-empat golongan ini dalam menjunjung tugas melaksanakan ajaran agama akan sentiasa mengingati perintah nabi yang bermaksud: "Tegakkan batas-batas Allah pada yang hampir dan yang jauh dan jangan pedulikan celaan orang yang mencela di dalam perkara agama Allah." � (Hadis riwayat Ibnu Majah). Dan juga hadis yang bermaksud: "Maka sesungguhnya kamu dibangkitkan sebagai orang yang bersikap pemudah bukannya pemayah." � (Hadis riwayat Bukhari)

Keempat-empat golongan ini akan menjadikan manusia sebagai manusia dan menonjolkan kemanusiaan manusia bukan kebinatangan manusia agar mengecapi kenikmatan hidup. Mempromosi kemanusiaan manusia adalah satu keindahan.